Wanita ibarat tulip, semasa tertutup iaitu yang masih menguncup, kelihatan cantik dan kemas, begitu juga wanita yang berhijab sebagaimana tuntutan syarak, indah dipandang mata serta sejuk mata memandang. Wanita, makin tertutup bertambah indah!
Tulip bertambah kembang, serinya semakin kurang. Hingga ia kembang penuh, kecantikan aslinya hilang dan rupanya menyerabutkan. Begitu jugalah wanita yang membuka auratnya sedikit, bertambah kurang seri keimanannya. Makin terdedah auratnya, semakin hodoh dan menyerabutkan hati orang-orang yang beriman. Jika hamba Allah yang mukmin merasa serabut melihat penampilan kita, apatah lagi pandangan Allah dan RasulNya. Jika wanita merasa cantik sedangkan dia melanggar perintah Allah ataupun ambil separuh-separuh, kepala ditutup badan dibalut sehingga menampakkan bentuk badan… perasaan ‘syok sendiri’ yang mengundang dosa mazmumah itu harus dibuang.
Alternatifnya, kembalikan keyakinan bahawa yang cantik dan indah itu adalah selagi ianya indah pada pandangan Allah dan RasulNya. Meskipun dipandang hina serta tidak up- to- date oleh hamba yang fasik dan munafik. Wanita beriman mengutamakan pandangan Allah mengatasi pandangan manusia.
Kita mahu up -to- date dan moden menurut kacamata Islam agar di akhirat kelak kita mendapat syurga yang up- to- date dan moden juga, insya Allah.
Bertaubat sebelum terlambat itulah ciri-ciri hamba yang cerdik.
Beristighfar jika masih ’tidak rasa apa-apa’ kerana mendedahkan aurat. Ia tanda hati yang sakit kerana tidak mampu mengesan kepahitan dosa. Penawarnya ialah memohon taufik dan hidayahNya seperti doa ini,
“Ya Allah… lembutkanlah hatiku agar aku merasa sensitif dengan kemarahanMu…
Ya Allah… bimbinglah aku ke jalanMu…
Berilah sedikit rasa cinta kepadaMu hingga aku mampu menurut langkah-langkah muslimah solehah yang dikasihiMu…
Ya Allah…
Peliharalah daku dari hasutan syaitan dan iblis… yang mahu menjauhkan aku dariMu dan meramaikan teman mereka di neraka kelak…
Ya Allah… Yang Maha Gagah Perkasa…
Berilah kekuatan kepadaku untuk bermujahadah kembali kepadaMu…
Ya Allah yang maha pengampun…
Peliharalah daku dari kemurkaan dan azabMu…
Aku terlalu lemah ya Allah…
Aku hanya insan hina dan tidak berdaya menguasai hawa nafsuku kecuali mendapat pertolongan dariMu…
serta menumpang kekuatanMu…
Ya Allah yang maha penyayang…
Engkau mengasihiku melebihi kedua ibubapaku…
Maka ambillah daku yang hina dina ini ke dalam pelukan kasih sayangMu…
Bimbinglah daku sehingga daku selamat kembali kepadaMu dalam keadaan Engkau meredaiku…
Aku terlalu kerdil Ya Allah… untuk menanggung azabMu yang pedih…
Aku tidak berdaya ya Allah…
Tanpa pertolongan dan kekuatan dariMu…
Siapalah aku…
Ya Allah…
Pandanglah daku dengan kasih sayangMu
dan ampunilah segala dosa-dosaku, dulu, kini dan sehingga ke akhir hayatku.
Salam dan selawat buat junjungan Nabi Muhammad, ahli keluarga, sahabat-sahabat dan para pengikut semuanya.”
Masih ada ibrah istimewa di sebalik bunga tulip ini. Saya serahkan kepada para pembaca yang budiman dan beriman untuk menafsirkannya.
Dan berikan peringatan, sesungguhnya peringatan itu berguna bagi orang yang beriman.” [Az-Zaariyaat, 51:55].