Friday, December 30, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Damai Dalam Pelukan Ibu~(Wajib Membacanya)


 Ibu seorang pelajar datang berjumpa suatu petang. Katanya anak perempuannya tidak pulang ke rumah. Setelah disemak kedatangannya dengan guru kelas didapati dia juga tidak datang ke sekolah.
Ibu itu menangis di hadapan saya. Dia seorang ibu tunggal. Suaminya entah sudah hilang ke mana. Oleh kerana kesempitan dia terpaksa membuat pelbagai jenis kerja untuk menyara hidup dan menanggung dua orang anaknya yang sedang bersekolah.
Anak sulungnya seorang perempuan yang sedang belajar di Tingkatan Dua. Anak keduanya seorang lelaki yang sedang belajar di sekolah rendah. Anak perempuannya yang tidak pulang ke rumah.
Saya kenal akan pelajar ini kerana pernah dirujuk kepada saya atas masalah ponteng. Dia pernah didenda, dan diberikan nasihat. Pelajar ini agak cantik tetapi tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas.
Ibunya memberikan beberapa nama pelajar lain yang sering kali bersamanya. Dia meminta saya mencari anaknya. Dia sangat bimbang akan keselamatan anaknya kerana sudah semalaman tidak pulang ke rumah.
Setelah berbincang dengan pembantu saya, kami keluar mencari pelajar yang hilang. Kami mencari di bandar, di tempat-tempat hiburan dan di taman-taman. Akhirnya berjaya juga kami menemui pelajar tersebut bersama seorang pelajar lain sedang bermain buaian.
Mereka tidak lari melihat kedatangan kami dengan bas sekolah. Mereka juga tidak kelihatan takut. Mereka penat dan seolah-olah hilang arah tuju. Kami membawa mereka kembali ke sekolah.
Secara berasingan kami betemu dengan kedua-dua orang pelajar sekembali ke sekolah. Oleh kerana permintaan ibunya, saya memilih untuk menyoal pelajar Tingkatan Dua tadi. Kami berbual agak panjang. Saya tidak marah kepadanya kerana tidak pergi ke sekolah tetapi cuba mendapatkan cerita sebenar di sebalik tindakannya itu.
Dia tidak banyak bercakap pada mulanya. Tetapi apabila soalan yang sama tetapi ditanya dengan pelbagai cara akhirnya dia terperangkap dan rahsia terbongkar sedikit demi sedikit. Dia keluar bersama teman lelakinya. Mereka berdua-duaan dalam kerete di tepi pantai. Sebelum subuh mereka kembali ke rumah teman lelakinya. Ibu bapa lelaki itu sudah tidur. Mereka tidur bersama.
Itulah pengakuannya setelah hampir sejam kami bercakap. Dia tahu dia telah melakukan kesalahan dan tidak berani pulang ke rumah kerana tidak mahu menghampakan ibunya. Dia sayang dengan ibunya dan mengharapkan kasih sayang tetapi ibunya terlalu sibuk mencari nafkah.
Dia faham akan tanggungjawab dan pengorbanan ibunya terhadap dirinya dan juga adik lelakinya. Dia juga sedar betapa tinggi harapan ibu kepadanya. Dia anak sulung. Dialah yang diharapkan akan dapat belajar bersungguh-sungguh dan menjadi orang yang berjaya.
Namun apakan daya, sebagai seorang gadis meningkat remaja dia juga mengharapkan kasih sayang daripada ibu bapanya. Bapanya sudah menghilangkan diri entah ke mana sejak dia masih kecil. Ibunya sekadar dapat memberikan keperluan material kepadanya.
Bentuk kasih sayang yang dapat diberikan oleh ibunya adalah sekadar keperluan asas. Pengorbanan ibu untuk anak-anaknya sebenarnya lahir daripada kasih sayang yang amat mendalam. Tetapi anak kecil yang membuat perbandingan dengan orang lain, dengan kawan lain, dengan keluarga lain yang lebih bahagia, merasa kecil hati dengan apa yang apa pada dirinya.
Meminta seorang gadis muda berumur 14 tahun untuk menerima realiti hidup pada usia yang terlalu muda amat kejam. Dia tidak dapat menerimanya. Lalu dia mencari kasih sayang daripada kawan-kawannya, dan berakhir dengan teman lelakinya.
Apabila sudah terlanjur dengan perbuatan diri sendiri ditambah dengan kesempatan yang diambil oleh teman lelakinya, penyesalan sudah terlambat. Apa lagi yang boleh dilakukannya?
Saya sedar dan turut bersedih akan perasaan dan apa yang menimpa dirinya. Saya bertambah sedih memikirkan perasaan ibunya apabila diberitahu keadaan yang sebenar. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana reaksinya nanti.
Tetapi apa lagi pilihan yang lebih baik yang ada untuk kami jika tidak memberitahu perkara ini kepada keluarganya? Nasi sudah jadi bubur. Setelah berbincang dengan pembantu saya dan setelah mendapatkan nasihat daripada pengetua kami, kami mengambil keputusan untuk menelefon ibunya.
Pada ketika itu sudah hampir jam tujuh malam. Semua guru dan pelajar sudah pulang meninggalkan sekolah semenjak jam 6 petang lagi. Hanya kami berempat sahaja yang masih tinggal di sekolah.
Sebentar kemudian ibunya datang dengan seorang lagi ahli keluarga lain yang tidak kami kenali. Dengan hati yang berat kami memaklumkan apa yang kami dapati daripada siasatan kami. Ibunya terkejut besar mendengar apa yang kami katakan.
Kedua beranak itu terus memeluk satu sama lain dan mula menangis. Tugas kami terpaksa dihentikan setakat itu sahaja. Kami tidak boleh mencampuri urusan rumah tangga mereka. Mereka terpaksa mencari penyelesaian yang terbaik.
Beberapa hari kemudiannya kami dimaklumkan pelajar tersebut telah meminta untuk berhenti sekolah. Teman lelakinya sanggup mengahwininya setelah sedar bahawa jika dia tidak mahu bertanggungjawab dia akan dihukum merogol gadis bawah umur.
Apa yang boleh kami lakukan sekadar mendoakan semoga mereka bahagia. Tetapi doa kami tidak kesampaian. Belum sampai setahun mereka berkahwin mereka telah bercerai. Pelajar perempuan berumur 14 tahun tadi menjadi janda dalam sekelip mata. Teman lelaki atau bekas suaminya terlepas daripada sebarang pendakwaan undang-undang.
Bayangkan masa depan seorang gadis dihancurkan begitu sahaja apabila tersilap langkah. Bayangkan betapa hancurnya hati ibunya yang banyak berkorban untuk anaknya. Menanggung malu barangkali perkara yang kedua tetapi apabila masa depan seorang anak dimusnahkan begitu sahaja bukanlah senang untuk diterima oleh seorang ibu tunggal.
Apa yang terjadi sudah terjadi. Tiada gunanya kita persalahkan sesiapa kerana yang hilang tetap sudah hilang. Tetapi siapakah pula yang akan menjadikan kejadiaan ini sebagai teladan kepada ramai lagi anak-anak muda yang sedang menjejak kasih yang tidak mungkin? Siapakah yang akan memastikan bahawa perkara yang sama tidak berlaku lagi pada anak-anak yang lain?
Biarpun peristiwa ini sudah lama berlalu tetapi apa yang berlaku masih jelas dalam ingatan saya. Ia menyentuh hati saya dengan begitu mendalam sekali. Saya cuma sedar apabila sesuatu yang buruk berlaku biar apapun yang kita lakukan kita tidak dapat mengubahnya.
Biarpun kita sering memberikan nasihat dan memberikan peringatan, sebelum seorang benar-benar terjerat dan terperangkap dalam rasa ingin tahunya sendiri, dia tidak akan dapat memahami betapa nasihat seorang guru atau ibu bapa begitu penting.
Anak-anak muda yang sedang meningkat remaja biasanya terlalu mudah untuk dipengaruhi. Tanpa hubungan yang rapat di antara anak dengan ibu bapa pada waktu ini, satu kesilapan kecil sahaja mungkin membawa padah yang terasa sehingga seumur hidup.
Berapa hari yang lepas apabila saya mengunjungi sebuah syarikat kerana urusan pekerjaan. Salah seorang kakitangan di sana mengecam saya. Katanya dia pernah berjumpa dengan saya beberapa tahun yang lepas. Saya memerhatikan wanita tersebut beberapa ketika tetapi saya tidak dapat mengingati sama ada saya pernah berjumpa dengannya atau tidak.
Dia kemudian memberitahu saya bahawa dia pernah berjumpa dengan saya semasa saya menyampaikan satu ceramah motivasi kepada ibu bapa dan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan PMR. "Cikgu Leelah yang best," katanya. Merah muka saya dipujinya.

Dalam sesi motivasi tersebut saya menekankan pentingnya ibu bapa menjalinkan hubungan yang mesra biarpun anak-anak mereka meningkat remaja. Adalah menjadi kebiasaan anak-anak remaja lebih suka berkongsi masalah dengan rakan sebaya mreka.
Bagi saya ibu bapa harus mengambil tahu apa yang anak-anak mereka lakukan di sekolah dan juga di luar rumah. Jika ibu bapa kurang mengambil tahu dengan alasan sibuk maka hubungan mereka dengan anak akan menjadi renggang.
Anak-anak akan beranggapan ibu bapa mereka semakin hari semakin tidak memahami perasaan mereka. Ini secara tidak langsung memaksa anak-anak kita mencari sahabat lain dan mendapatkan kasih sayang yang mereka perlukan daripada orang lain.
Saya juga mencadangkan bahawa salah satu cara untuk merapatkan hubungan di antara anak dengan ibu bapa ialah dengan cara sentuhan secara fizikal dan yang paling baiknya dengan pelukan. Malah saya membuat demonstrasi dengan meminta semua yang hadir bangun dan cuba memeluk diri mereka sendiri.
Saya bertanya kepada mereka apakah perasaan apabila dipeluk. Mereka jawab seronok. Ada yang menjawab merasa diri mereka diperlukan. Kemudian saya meminta mereka berpelukan antara ibu atau bapa dengan anak-anak mereka.
Permintaan saya ini tidak disambut dengan segera. Ramai yang merasa begitu janggal walaupun sekadar memeluk anak mereka sendiri. Setelah permintaan saya diulangi dan diyakinkan bahawa berpelukan begitu sebenarnya satu tanda kasih sayang.
Maka satu demi satu mereka mula mendekati satu sama lain dan mula berpelukan. Percayalah saya tidak pernah melihat keadaan yang begitu terharu sekali. Begitu ramai anak dan ibu bapa yang menangis apabila mereka berpelukan. Pelukan yang begitu lama diharapkan tetapi tidak pernah dizahirkan. Hari ini saya telah berjaya membawakan pelukan yang mereka tunggu-tunggu. Saya sendiri turut menitiskan air mata menyaksikan suasana yang sungguh mengkagumkan.
Saya dapat bayangkan telah sekian lama hubungan yang renggang di antara ibu bapa dengan anak-anak mereka telah menjejaskan komunikasi yang sebenar di antara mereka. Biarpun dengan satu pelukan ini, saya percaya saya telah berjaya merapatkan hubungan mereka. Pastinya hubungan yang baik akan dapat memberikan lebih banyak sokongan dan keyakinan kepada anak-anak mereka untuk menghadapi peperiksaan.
Bagi saya matlamat sesi motivasi saya telah berjaya. Apabila bertemu semula dengan ibu bapa yang pernah mendengar ceramah saya dan diberitahu bahawa anaknya telah berjaya mendapat keputusan yang lebih baik daripada dijangkanya, saya bertumpang gembira.
Saya hanya mengharapkan lebih ramai ibu dan bapa memeluk anak-anak mereka dan begitulah sebaliknya. Biar apa juga keadaan keluarga kita, tidak usah menyalahkan orang lain tentang apa yang berlaku. Kita sendiri dapat memberikan kasih sayang, biar dalam bentuk yang berbeza. Kita sendiri bertanggungjawab untuk mencari kebahagiaan untuk keluarga kita.

p/s:Tidak usahlah menjejak kasih dari luar, semuanya ada dalam tangan kita. Mahu atau tidak, itulah yang membezakannya.


Wednesday, December 28, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Melati Puteh~

Lapang benar dada Pak Uteh bila pegawai yang bertugas di kaunter Pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan ibadah fardhu haji pada tahun ini.
“Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu ringgit lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,” beritahu pegawai itu lagi.
“Insya’Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera,” janji Pak Uteh. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji, dia terus balik ke rumah.
“Pah….. Ooo….. Pah!” teriak Pak Uteh sebaik turun dari keretanya.
“Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?” tanya Mak Pah.
“Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ni akan tertunai. Insya’Allah, dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai,” cerita Pak Uteh dengan wajah berseri-seri.
“Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai.”
“Betullah Pah oii…….. saya ni baru je balik dari Pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan.”
“Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itupun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu.” Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.
“Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.” Wajah Pak Uteh semakin berseri-seri. Dia yakin anak-anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.
“Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik, boleh kita berunding,” cadang Pak Uteh.
“Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah minta duit anak-anak.” Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uteh.
“Pah…. Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh, lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni.” Yakin benar Pak Uteh, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.
“Tapi bang………..”
“Dahlah…… pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu,” pintas Pak Uteh sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uteh bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang, kemudian Pak Uteh menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.
“Insya’Allah, Kis balik nanti Abah. Ermm! Abah nak Kis suruh Melati balik sama?” tanya Balkis.
“Ikut suka kaulah, bagi Abah yang pentingnya kau dan Muaz. Melati tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya….,” balas Pak Uteh.
Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya, tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Melati. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar, tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uteh ingat gara-gara sikap keras kepala Melati untuk bekerja kilang, mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.
“Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi.” Pak Uteh tidak bersetuju dengan niat Melati yang hendak bekerja kilang.
“Melati dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Melati kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram.” Bantah Melati menaikkan darah Pak Uteh.
“Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?”
“Itulah Abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat Abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh Abah.” Melati cuba membuat Abahnya faham.
“Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!”
“Melati memang tak sama dengan Kak Balkis, Abah. Melati suka berterus-terang, kalau tak kena Melati cakap depan-depan, bukan membebel kat belakang,” balas Melati selamba menyemarakkan bara dalam dada Abahnya.
“Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi….. aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah.”
“Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!” Sejak kejadian itu, Pak Uteh memang tidak mempedulikan langsung apa yang Melati nak buat. Namun begitu, Melati tetap pulang setiap kali cuti. Dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak mempedulikannya. Melati selalu menghulur duit, tapi hanya kepada maknya sahaja.
Riang hati Pak Uteh bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu, selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isyak, mereka duduk berborak di ruang tamu.
“Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit,” Pak Uteh memulakan bicara.
“Hajat apa pula Abah?” tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.
“Abah dan Mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian Mak kau masih belum cukup lagi, abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,” Pak Uteh mengutarakan hasratnya.
“Boleh tu boleh Abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru je keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz.
“Tapi…… Pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan.”
“Kalau dalam seminggu dua ni Abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan,” jawab Muaz serba salah.
“Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Uteh melindungi kekecewaannya.
“Rumah baru tu besar sikit Abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi Abah, pelaburan masa depan juga,” sampuk Mira isteri Muaz. Pak Uteh terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis.
“Kamu macam mana Kis, boleh tolong Abah? Nanti Abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti,” Pak Uteh berpaling pada Balkis.
“Kis pun rasanya tak dapat nak tolong Abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan Abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah…… ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi.” Hancur berderai rasa hati Pak Uteh mendengar jawapan Balkis.
“Man bukan tak nak tolong Abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.”
“Betul kata Man tu Abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,” sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uteh. Bila dia bertemu pandang dengan Melati, Pak Uteh terasa bagai ditertawakan oleh Melati bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.
“Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah Abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki, Mak pula pergi,” Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.
“Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau Awak tak pergi, biarlah kita sama-sama tak pergi….. dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?” Pak Uteh bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal. Melati tahu Abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya, tapi Melati faham kecewa Abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.
 “Nak ke mana pulak tu?” tanya Pak Uteh melihat Mak Pah bersiap-siap.

“Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kejab lagi Melati sampai saya nak beli kuih lepat ubi kegemarannya.” Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebutnya anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uteh yang gemar membeza-bezakan anak. Pagi Isnin itu selepas bersarapan, Melati bersiap-siap hendak keluar.
“Nak ke mana Melati pagi-pagi dah bersiap ni?”
“Melati ada hal sikit kat bandar mak. Melati pergi dulu ye.”
“Kalau nak ke bandar suruhlah Abah kau tu hantarkan,” suruh Mak Pah.
“Tak payah mak, Melati nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula Abah tu. Melati pergi dulu.” Mak Pah menggeleng memerhatikan Melati berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri. Ketika Melati pulang dari bandar tengah hari itu, mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.
“Kau ni Melati buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni Abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api.”
“Ingat lagi Abah lauk kegemaran Melati rupanya,” usik Melati tak bertangguh mencapai pinggan.
“Mak Bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak,” jawap Pak Uteh sinis. Melati tersenyum pahit.
Selesai mengemas pinggan mangkuk, Melati menunaikan solat Zohor, kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.
“Mak, Abah….. Melati ada hal sikit nak cakap ni….,” ujar Melati menghampiri mereka. Pak Uteh menurunkan suratkhabar yang dipegangnya., kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.
“Apa hal….. kamu nak kahwin ke?” soal Pak Uteh merenung Melati. Tawa Melati meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Melati tergelak besar, Pak Uteh turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.
“Abah ni…… ke situ pulak….”
“Habis tu?”
“Ini….. kad Tabung Haji Mak. Tadi Melati ambil dalam laci tu. Yang ini resit memasukkan duit ke akaun Mak. Semuanya Melati dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek Mak dan Abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti.” Melati memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uteh.
“Apa???” Pak Uteh terkejut. Matanya merenung Melati dan duit ditangannya bagai tidak percaya.
“Ini duit simpanan Melati sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Melati yang halal Abah, terimalah. Selama ini Melati banyak kali kecewakan Abah. Melati tak pernah dapat membahagiakan hati Abah. Selama ini pun Melati selalu sangat rasa kalah pada Abang Az dan Kak Balkis. Melati tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Melati tahu Abah selalu kecewa dengan Melati. Hanya kali ini Melati dapat tunaikan hasrat Abah.”
“Dah banyak kali Abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pulak tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Melati harap Abah sudi terima pemberian Melati,” tutur Melati perlahan memerhatikan air mata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.
“Terima kasih Melati. Malu rasanya Abah nak ambil duit kamu…… dulu Abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi, tapi akhirnya anak Abah yang kerja kilang yang membantu Abah,” luah Pak Uteh sambil mengesat air mata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.
“Sudahlah Abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Melati gembira Abah sudi terima pemberian Melati.”
“Pemberian kau ni terlalu berharga bagi Abah dan Mak kau Melati….,” ujar Pak Uteh. Melati peluk abahnya erat.
“Hah……tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni,” Mak Pah mengusik Pak Uteh sambil mengesat air mata penuh kesyukuran.
“Mak ni…..,” gelak Melati memandang abahnya yang tersengih.
Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uteh dan Mak Pah. Melati memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba.
“Semua dah siap ke Mak?” tanya Melati menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.
“Dah rasanya…… ada apa-apa yang Melati nak pesan Mak belikan di sana nanti?”
“Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli Mak. Yang penting Mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.”
“Hah! Awak dengan tu…. Kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah,” tambah Pak Uteh yang turut mendengar perbualan dua beranak itu.
“Melati tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Melati mahu, doakan Melati bahagia di dunia dan akhirat,” pesan Melati sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uteh berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Melati itu.
Setelah selesai menunaikan ibadah haji.Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uteh mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Melati bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uteh terkenangkan mimpinya bertemu Melati di Tanah Suci. Melati tidak berkata sepatah pun, tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.
“Kenapa resah aje ni Bang?” Mak Pah terjaga.
“Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Melati dan anak-anak kita.”
“Sabarlah, dah nak sampai dah ni,” pujuk Mak Pah.
Dari jauh lagi Pak Uteh sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.
“Mak….. Abah…..,” Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan air mata menitis laju.
“Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak Uteh tertinjau-tinjau mencari wajah Melati.
“Mereka menanti di rumah, Abah,” beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uteh.
“Melati pun tak datang juga ke?” tanya Pak Uteh terasa hampa.
“Awak ni….. kan Man dah kata mereka menunggu di rumah.” Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ni nama Melati tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uteh. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.
“Dua tiga malam sebelum balik, Abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Melati. Kalau Melati dengar cerita ni tentu dia gelihati.” cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu.
“Tentulah Abah ingatkan Melati, sebab Melati yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.
“Tapi Abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi Abah tu, Abah nampak Melati macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun, hanya renung Abah. Melati tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?”
“Err….. tak ada Abah. Kita berhenti minum dulu Abah, tentu Mak haus,” ajak Azman.
“Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik,” tolak Pak Uteh. Azman dan Muaz hanya berpandangan.
Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.
“Mak dengan Abah sihat ke?” tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.
“Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Melati mana, dia tak balik ke?” Mak Pah mula berdebar bila Melati tidak kelihatan.
“Naik dulu Ngahnya…….,” suruh Long Semah.
“Melati mana?” Pak Uteh mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Melati. Pantas dia memanjat tangga menuju ke bilik Melati. Matanya terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.
“Az….. mana Melati? Mana adik kau Az?” tanya Pak Uteh dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.
“Sabar Abah….,” Muaz menggosok belakang abahnya.
“Kenapa Az…….. kenapa?” Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Melati.
“Mak…. Melati dah tak ada Mak,” Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uteh terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu menglilinginya. Pak Uteh duduk di tepi kepalanya.
“Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Melati pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,” pujuk Long Semah yang masih belum pulang.
“Melati ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,” Pak Uteh menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.
“Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?” tanya Mak Pah.
“Kami semua ada Mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya Mak. Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan Abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi, tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isyak dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital, tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal Subuh hari Jumaat Mak…….. tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak,” cerita Muaz.
Mak Pah menggenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Melati memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Melati berpesan, “Melati tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Melati mahu, Mak dan Abah doakan Melati bahagia di dunia dan akhirat…..”

Sunday, December 25, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

"Saya hanyalah seorang hamba!"




Seorang lelaki berserban dan berjubah berjalan seorang diri meredah padang pasir yg tandus.Sampai di pertengahan jalan seorang anggota tentera yang sedang menunggang kuda lalu di kawasan itu.

"Awak ni siapa?"tanya tentera tersebut.
"Saya hanyalah seorang hamba!"beritahu lelaki berjubah itu.
"Errr! Mana jalan nak pergi ke kota paling hampir di sini?" tanya tentera itu lagi.
"Nun di sana tu,"kata lelaki berjubah itu sambil menunjukkan ke arah sebuah perkuburan lama.
"Ho! Orang tua! Engkau sengaja nak permain-mainkan aku ya!"tengking tentera itu

Lelaki berjubah itu dibelasah sehingga kepalanya luka dan berdarah.Kemudian tentera itu mengikat leher lelaki tersebut dengan seutas tali dan mengheretnya di atas pasir.
Perbuatan tentera itu diperhatikan sekumpulan penduduk dari kota berhampiran dengan penuh kehairanan. Mereka beramai-ramai mendekati dan terkejut melihat lelaki yang didera itu seorang yang amat dihormati.

"Hei! Jangan seksa orang tua ni! Kalau kamu nak tahu inilah Ibrahim Adham,orang alim yang paling disegani di kota ini," jerit seorang penduduk tempatan. Tentera itu tergamam. Serta-merta dia berlutut di depan lelaki berjubah itu sambil menangis.
Maafkan saya tuan! Ampunkanlah kesalahan saya! Saya menyangka tuan benar-benar seorang hamba!" rayu tentera itu. Ibrahim bertanya sambil tersenyum.
"Siapakah manusia yang bukan bergelar hamba?"

Lelaki itu terdiam. Dia tidak mampu menjawab pertanyaan Ibrahim. Rasa malu menyelinap dalam dirinya kerana tidak sengaja telah menganiaya ulama terkemuka itu.

Ketika itulah Ibrahim mengangkat tangan sambil berdoa:
"Aku mendoakan agar hidup engkau mendapat berkat. Balasan terhadap diriku kerana perbuatanmu adalah syurga dan aku tidak senang hati jika balasan untukmu adalah neraka... ." Lelaki itu bertanya kepada Ibrahim: "Kenapa tuan menunjukkan kawasan perkuburan bila saya tanya arah nak ke kota?
" Ibrahim dengan nada perlahan menjawab: "Sebab,makin lama kota semakin kosong tapi kubur semakin penuh!"



Friday, December 23, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Bila Hati Kata Sayang~


Bila hati kata sayang....
Kenapa cinta susah datang?
Walau mata sudah bertentang,
Walau hati sudah bergoncang,
Walau Sayang sudah terbentang.

Bila hati kata sayang...
Kenapa cinta susah datang?
Bila kekusutan selalu dikongsi,
Bila sayang sama berbahagi,
Bila melodi bertukar ganti.

Bila hati kata sayang...
Kenapa cinta susah datang?
Walau hati menggigil menahan rindu,
Walau wajahmu tak terpadam dihatiku,
Walau hatiku seakan-akan milikmu.

Bila hati kata sayang...
Kenapa cinta susah datang?
Bila hati mula tak keruan,
Bila pertanyaan jadi soalan,
Bila jawapan jadi pertaruhan.

Bila hati kata sayang...
Kenapa cinta susah datang?
Walau ia ujian kesabaran,
Walau jodoh bukan ketentuan,
Walau ini kehendak Tuhan.

Bila hati kata sayang...
Kenapa cinta susah datang?
Sebab cinta tiada paksaan,
Sebab sayang hanya persahabatan,
Sebab takdir yang layak menentukan.


~Pertemuan Kasih Di Pantai Hati~

Cinta monyet menjadi sinonim dalam hidup setiap insan… namun ada juga insan yang tidak mahu menerima sejauh mana kehebatan cinta monyet itu sebenarnya…
Kelas 1 wira…

Daun pintu kelas itu dikuak oleh seorang pelajar lelaki yang mempunyai sepasang mata yang bulat. Rafi namanya. Tiba-tiba, dia bersuara, “water! Mai sini jap”. Water itu adalah panggilan mesranya kepada sahabat yang paling dia sayang, Tiara. Tanpa berlengah, Tiara meninggalkan tempat duduknya dan mendapatkan Rafi yang sedang menanti di daun pintu.

“hepi befday!”, Rafi ucapkan kepada Tiara sambil menghulurkan satu bungkusan kecil yang berwarna merah. Senyuman Rafi turut dibalas dengan senyuman manis Tiara. “jangan bukak sekarang tau, nanti orang nampak, malulah aku..”, kata Rafi sambil ketawa kecil. Tiara turut ketawa dan berjanji akan membuka hadiah tersebut selepas pulang ke asrama.
Setahun kemudian, di pagi yang nyaman Tiara sampai awal ke kelas. Hari itu adalah ulang tahun kelahirannya yang ke-14.
Selepas melabuhkan punggungnya di kerusi, dia ternampak satu bungkusan merah di dalam laci mejanya. Kali ini bungkusan itu lebih besar daripada bungkusan yang diterimanya setahun lalu. Tiara hanya mampu tersenyum.
“ Assalamualaikum…” Tersentak Tiara dari lamunannya. Tiara mencari dari manakah suara itu datang. Rupa-rupanya, Rafi sudah lama berdiri di belakang Tiara. Dihulur sekuntum bunga ros putih kepada Tiara bersama-sama dengan sekeping kad kecil berbentuk hati. Sejurus menyerahkan ros dan kad itu, Rafi meninggalkan Tiara tanpa berkata apa-apa. “malu agaknya..”, bisik hati kecil Tiara.
“salam, water… selamat hari jadi ke-15..semoga persahabatan kita akan berkekalan sehingga nafas aku yang terakhir…aku doakan untuk kejayaan kau… maaflah, tiada bungkusan merah untuk kau tahun ini..
“tak pe Rafi, aku tak kesah..asalkan kau ingat hari jadi aku setiap tahun, itu sudah memadai bagi memberi aku kebahagiaan..” bisik Tiara yang keseorangan di dalam kelasnya. Tetapi, apa yang menghairankan Tiara ialah, “kenapa bunga ros yang dia bagi aku warna putih?”

Sehari sebelum ulang tahun kelahiran Tiara yang ke -15, di dalam sebuah kedai hadiah.
“kak, esok hari jadi kekasih saya. Saya nak bagi hadiah. Tapi,…”
“tapi ape?” penjual itu cuba mendapatkan maksud disebalik wajah Rafi yang penuh dengan kerisauan.

“dia tak tahu yang saya suka kat dia…”
“oh..bagilah ros merah..”
“tak nak, saya tak nak dia tahu yang saya cintakan dia, saya takut nanti dia tinggalkan saya…”
“ok..ok..nah, ambil ros putih ni dan bagi kat dia..”, kata penjual itu sambil menghulurkan sekuntum ros putih.
“kenapa ros putih?” tanya Rafi kebingunggan.
“ros putih, lambang kasih sayang yang sejati dan suci,…” hurai penjual itu.

Beberapa bulan kemudian, Tiara dan Rafi pun menduduki peperiksaan menengah rendah, PMR. Sehari sebelum peperiksaan bermula, Tiara menerima satu kad ucapan dari Rafi yang tercatat ucapan, “good luck”.
Peperiksaan itu berlangsung selama seminggu. Selepas menduduki kertas peperiksaan yang terakhir, pelajar Kelas 3 Wira bercadang untuk berkelah di tepi pantai dan secara kebetulan, rumah Rafi terletak tidak jauh dari pantai Pengkalan Balak, Melaka. Akhirnya, mereka bersetuju untuk pergi berkelah di sana.
Sedang ombak membuai merdu, Tiara mengelamun memikirkan betapa hebatnya ikatan persahabatan yang terjalin antara dia dan Rafi. Tiba-tiba, matanya terpaku ke arah satu ukiran pada batu yang tidak jauh dari tempat duduknya. Ukiran itu seperti sudah lama dan terdapat beberapa huruf yang tidak kelihatan. Namun, ianya masih lagi boleh Tiara baca.

“ air, aku sayang kau”, perkataan “air” itu seperti sengaja di ulang ukirannya supaya dapat dilihat dengan lebih jelas. Tiara percaya bahawa pengukir itu ada maksud yang hendak disampaikan disebalik perkataan “air” yang diukirnya.
Lamunan Tiara dikejutkan oleh panggilan rakan-rakannya. “ Tiara, cepat, jom kita cari gemis!”. “gemis?”, tanya hati Tiara. Biarpun dia tidak tahu apa itu gemis, dia bingkas bangun dari himpunan batu itu dan pergi menyertai rakan-rakannya.
“wei, gemis tu ape?”, tanya Tiara sambil ketawa kecil. “ni hah!”, sampuk Rafi sambil menunjukkan gemis ditangannya. Rupa-rupanya, gemis tu adalah sejenis hidupan laut yang seakan-akan kerang, namun ianya lebih kecil berbanding kerang.
“hehe…tu ke dia..”, kata Tiara sambil tersenyum. Semua rakan-rakan Tiara mentertawakannya.
Usaha gigih mereka berhasil apabila mereka berjaya mengumpul sedulang gemis dalam masa kurang dari dua jam. Tiara kelihatan sungguh gembira.
Tibalah waktu makan tengah hari, Tiara dan rakan-rakannya sudah bersedia untuk menjamu selera hidangan yang disediakan oleh ibu Rafi. Gemis yang mereka cari tadi, turut dihidangkan bersama-sama dengan sambal belacan.
“bismillah…”, doa dibaca oleh Syamsul selaku ketua tingkatan 3 Wira. Selesai sahaja doa yang dibaca, mereka mula makan hidangan yang tersedia. Kesemua pelajar 3 Wira berebut-rebut mengambil gemis yang dihidangkan untuk dimakan bersama-sama dengan nasi. Namun, tidak bagi Tiara, dia hanya merenung ke arah hidangan gemis itu sambil mengerutkan dahinya. Dia seperti memikirkan sesuatu.
“water..”, tegur Rafi. “makanlah, aku cari gemis tu, untuk kau..”, sayu suara Rafi menyatakan keinginannya untuk melihat Tiara menjamah gemis yang terhidang itu. Tiara tersentak, lalu berkata, “aku tak makan ni…”, rupa-rupanya, Tiara tidak makan makanan laut melainkan ikan sahaja. Muka gembira Rafi berubah sedih, dia tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Dia berasa hampa kerana Tiara tidak mahu menjamah gemis itu walaupun cuma sedikit.

Suasana yang meriah tadi, bertukar suram, Tiara berasa serba salah. Akhirnya, dia berkata, “ok..ok..demi kau, aku makan, tapi, satu je tau..” sambil ketawa. Walaupun Tiara tidak suka akan rasanya, namun dia telan juga gemis itu demi menjaga hati sahabat karibnya. Rafi tersenyum. Suasana di ruang makan itu kembali meriah.
“kring….” Loceng sekolah berbunyi menandakan bahawa tibalah masanya untuk semua pelajar tingkatan tiga untuk berkumpul di dewan sekolah. Pada hari tersebut, keputusan PMR akan diumumkan. Debaran melanda dalam diri setiap pelajar tingkatan tiga. Akhirnya, mereka pun menerima keputusan masing-masing.

Rafi mendapat keputusan 7A dan 2B manakala Tiara cuma mendapat, 6A dan 3B. Tiara menangis dan telah dipujuk oleh Rafi. Pada masa itu, Rafi turut menghulurkan bungkusan merah seperti mana yang dia pernah beri kepada Tiara, namun kali ini bungkusan itu lebih besar. “nah, tahniah”, itulah ucapan dari mulut Rafi namun pada masa yang sama hatinya berbisik, “tahniah sebab kau berjaya mencuri hati aku”.
Tahun berikutnya, Tiara dan rakan-rakannya berpisah apabila mereka masing-masing telah memilih aliran yang diminati. Pada tahun tersebut, Tiara tidak lagi sekelas dengan Rafi seperti tiga tahun yang lalu. Tahun itu juga menjadi penghalang dalam persahabatan mereka. Mereka tidak berpeluang untuk belajar bersama dan bergurau senda seperti dulu.
Tibalah hari ulang tahun kelahiran Tiara yang ke-16, pagi tu, dia datang awal ke kelas dan meninjau ke dalam laci mejanya. Namun, harapannya untuk melihat bungkusan merah pada pagi itu musnah kerana tiada apa-apa pun di dalam lacinya seperti mana tahun lalu. Dia sedar, mungkin Rafi terlupa dengan hari jadinya kerana mereka tidak lagi serapat dulu.
Dua tahun berlalu, dan akhirnya tibalah hari terakhir peperiksaan SPM. Sejurus sahaja keluar dari dewan peperiksaan, Tiara mendapat satu mesej daripada nombor yang tidak dikenalinya, “water, aku nak balek dah…”. “Rafi?”, terkejut Tiara apabila setelah dua tahun lamanya dia tidak mendengar panggilan tersebut.

Tiara mengatur langkahnya menuju ke tempat letak kereta di belakang dewan. Dari jauh dia telah melihat pandangan sayu dari Rafi. Tiba-tiba, langkahnya terhenti, tanpa disangka-sangka, dia menitiskan air mata. Dia tidak mampu untuk meneruskan langkahnya, kakinya lemah. Dia sendiri tidak tahu mengapa.

Rafi berasa sungguh hairan. Namun, dia sedar yang Tiara merasa kecewa dengan sikapnya selama ini. Langkah yang tadinya diatur menuju ke tempat letak kereta, telah ditukar menuju ke asrama puteri. Langkah Tiara diiringi dengan tangisan. Rafi hanya mampu melihat Tiara, kekasih hatinya itu berlalu pergi dari pandangan matanya.
Pintu kamar puteri dibuka, alangkah terkejutnya Tiara apabila mendapati ada satu bungkusan merah yang besar beberapa kali ganda dari bungkusan yang pernah dia terima satu masa dulu. Bungkusan itu diletakkan di atas katilnya. Ada sekeping kad disisi bungkusan itu.

 

“friends forever…I need two years to make this, special for u, my love…”
Sejurus membaca kad itu, Tiara berlari dengan berkaki ayam menuju ke tempat letak kereta. Namun, dia hampa pabila mendapati Rafi sudah pun pergi meninggalkannya. Tapak kakinya yang berdarah itu tidak dihiraukan, dia terus mengejar kereta yang dipandu oleh ayah Rafi. Namun, usahanya itu gagal.

Kegagalannya untuk memahami betapa cintanya Rafi kepadanya selama ini telah menjadikannya manusia paling bodoh di dunia. Tangisannya kini tidak berguna lagi. Dia cuba menghubungi Rafi, namun tidak dapat. Rafi mematikan telefon bimbitnya. Rafi malu dengan Tiara. Dia tahu, Tiara tidak akan dapat menerima cintanya, kerana Tiara amat menghargai persahabatan mereka sehinggakan tidak mampu untuk menukarnya kepada cinta.
Rafi malu untuk mengucapkan cintanya kepada Tiara kerana dia takut Tiara tidak dapat menerimanya dan akan meninggalkan dia bersama-sama dengan cintanya itu. Namun, Rafi silap kerana Tiara turut memiliki perasaan yang sama sepertinya.
Hari perpisahan itu diiringi dengan tangisan Rafi dan Tiara. Cinta mereka hanya terpendam di hati masing-masing.

Sebulan berlalu, Tiara duduk dijendela biliknya di rumah. Dia masih lagi teringatkan Rafi. Sudah beratus kali dia cuba menghubungi Rafi, namun usahanya tidak berhasil. Dia beranggapan bahawa Rafi sudah pun menukar nombor telefon bimbitnya.
Kesunyiannya terhenti apabila Tiara membuka satu kotak di bawah katilnya. Kotak itu mengandungi empat bungkusan merah. Rupa-rupanya, Tiara tidak pernah membuka bungkusan-bungkusan itu kerana dia tidak mahu mencacatkan bungkusan yang dibuat oleh Rafi. Dia sangat sayang dengan bungkusan-bungkusan itu sehinggakan tiada satu pun bungkusan yang terkoyak.

Pada hari tersebut, Tiara nekad untuk membuka bungkusan itu. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati bahawa terdapat susunan kulit gemis dalam setiap bungkusan itu.
Bungkusan yang pertama itu, mengandungi susunan gemis seperti huruf L. Bungkusan kedua pula mengandungi susunan gemis seperti huruf O. Diikuti dengan huruf V dalam bungkusan ketiga. Dan akhirnya, susunan yang paling rumit dan rapi telah membentuk huruf E dalam bungkusan yang terakhir.



Tiara menyusun susunan gemis itu dari susunan yang kecil kepada besar. Maka terhasillah perkataan, LOVE.


Tiara terduduk dan teruslah mengalir air matanya membasahi bumi. Sudah jelas di matanya akan betapa hebatnya cinta Rafi.

“Itulah kisah “cinta Gemis” yang akak tulis masa akak di universiti dulu”, kata Balqis selepas dia menceritakannya kisah itu kepada kanak-kanak yang masih lagi setia mendengar ceritanya di pantai Pengkalan Balak. “mari ikut akak”, ujar Balqis sambil mengajak kanak-kanak itu pergi ke satu himpunan batu di tepi pantai itu. “itu dia”, Balqis menunjukkan ukiran pada batu yang semakin kabur itu.

“ Kak Tiara tu, Kak Balqis kan?”, tanya salah seorang kanak-kanak itu. Balqis menganggukkan kepalanya dan berkata, “nama akak, Tiara Nur Balqis”. Masa tu, air mata Balqis mengalir deras.
Tiba-tiba terdengar satu suara dari belakang mereka, “ dan Rafi tu , adalah abang…”. Balqis ataupun dikenali sebagai Tiara dan kanak-kanak itu menoleh kebelakang. Rupa-rupanya, Rafi yang berdiri dibelakang mereka.
Pertemuan kekasih itu diiringi dengan buaian ombak. Itulah yang dipanggil, cinta gemis.

Percintaan gemis itu berakhir dengan penyatuan dua hati di atas jinjang pelamin. Pasangan pengantin yang umpama pinang dibelah dua dan bak merpati dua sejoli pasti akan menarik perhatian setiap tetamu yang hadir.
Majlis perkahwinan itu turut dihadiri oleh rakan-rakan sekelas Tiara dan Rafi. Mereka berasa sungguh kagum dengan kehebatan cinta rakan mereka. Mereka tidak menyangkakan bahawa cinta monyet yang bermula berbelas tahun lalu kini berakhir dengan kebahagiaan yang diimpikan oleh setiap insan.

Pulau persendirian menjadi pilihan Rafi untuk berbulan madu dengan isterinya tersayang. Sedang Rafi termenung di tepi pantai, dia dikejutkan oleh Tiara. “Apa yang abang fikirkan?”. Rafi menoleh dan menatap wajah isterinya itu sambil berkata, “water”. Tiara dan Rafi ketawa kecil. “kenapa eh abang panggil saya ‘water’?”. “Sebenarnya, abang nak panggil ayang dengan panggilan ‘H2O’, tapi abang ringkaskan kepada water. Ayang ingat tak simbol bagi air yang kita belajar dalam matapelajaran sains? Kan sama dengan dengan bentuk badan dan kaki doraemon dari bawah? Kan dulu kawan-kawan ayang ejek ayang dengan panggilan ‘dore’. So, abang kaitkan simbol itu dan nama doraemon. Akhirnya abang dapat idea untuk panggil ayang ‘water’.” Ujar Rafi sambil ketawa kecil.

Merah muka Tiara dibuatnya. Dia merasa malu. “patutlah abang panggil saya ‘water’..hehe..”
Pada suatu petang yang hening, Tiara dapati suaminya tiada di dalam rumah mereka. Tiara berasa risau. Namun kerisauannya itu hilang apabila Rafi muncul di hadapannya. Rupa-rupanya, Rafi telah pergi ke tepi pantai bagi mencari gemis. Dia mahu Tiara memasak gemis itu dan dijadikannya hidangan makan malam mereka.

Dalam suasana makan malam yang romantis itu, Rafi tiba-tiba berkata, “inilah lambang cinta kita” sambil menghulurkan satu kotak merah. Tiara membuka kotak itu, di dapati dua bentuk cincin yang ditempah khas untuk mereka. Terdapat bentuk separuh kulit gemis di setiap bentuk cincin. Sekiranya dicantumkan kedua-dua cincin itu, maka terhasillah bentuk kulit gemis yang sempurna…


Wednesday, December 21, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Kabus Danau Hati~





Paluan kompang langsung tidak mampu menarik minatku. Sepatutnya aku gembira dengan majlis yang berlangsung tetapi perasaan itu langsung tidak menjengah hatiku tika ini.

“Mama tidak akan sekali-kali membatalkan majlis perkahwinan kamu. Majlis itu tetap akan berlangsung walau siapa pun pengantin lelakinya.” Kata-kata mama masih terngiang-ngiang di telingaku. Aku tak mampu menghalang jauh sekali untuk membantah keputusan mama itu.

Airmata yang ingin keluar cuba ditahan. Aku menarik nafas kemudian menghembusnya perlahan namun sebak di dada tetap tidak mampu diusir. Minda kini hanya berfikir tentang Hakim.

“Kemana Hakim pergi? Kenapa tak bawa Esya sekali?”bisikku perlahan. Sepatutnya paluan kompang itu mengiringi Hakim. Airmataku kini mengalir. Kak Tia di sebelahku tidak mampu berkata apa-apa lagi. Semalam sudah banyak yang dikatakannya padaku namun masih tidak mampu mengubah apa-apa.

Pintu bilik diketuk perlahan. Wajah mama tersenyum penuh makna di depan pintu. “Qila, pengantin lelaki nak masuk sarungkan cincin.” Pantas Kak Tia mengelap sisa airmata di pipiku. Ini bermakna aku sudah sah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang tidak aku kenali. Aku langsung tidak mahu mengambil tahu perihal si lelaki yang kononnya telah menjadi penyelamat kepada maruah keluargaku.


“Assalamualaikum,”lembut ucapan salam itu ku sambut dengan perlahan. Gemersik suara itu membuatku semakin berdebar. Ingin mengangkat muka, aku malu.

Setelah cincin disarung ke jari manis ku, huluran tangan sang suami, ku sambut lemah. Tiada langsung keikhlasan yang lahir dalam hatiku tika ini. Aku menutup mata ketika dia mengucup dahiku. Aku masih tidak sanggup melihat siapakah gerangan suami ku ini. Namun hatiku mengatakan yang aku mengenalinya.

“Tak sudi nak pandang Angah ke?”

Angah?! Pantas aku mendongak. Aku merasakan duniaku gelap seketika dek kerana terkejut dengan kenyataan yang berada di depanku.

************************************************** *******************

Tak sedar sudah seminggu aku bergelar isteri orang. Selama seminggu itu jugalah aku langsung tidak bercakap dengannya. Aku tahu itu dosa namun aku masih tidak mampu menerima kehadirannya dalam hidupku.

‘Malam ni Angah nak jumpa dengan akak..’

Hanya sms menjadi perantara di antara kami. Hakikatnya Angah dua tahun lebih muda dariku. Walaupun aku sudah menjadi isterinya namun panggilan itu tidak mampu diubah. Kadang-kadang aku jadi lucu dengan kehidupan kami. Jika seorang ke timur, yang seorang lagi ke barat. Aku sedar lirikan matanya setiap kali kami bertembung namun aku buat-buat tidak tahu. Menganggap hanya aku seorang berada dalam rumah itu.

‘Nak bincang apa?’

‘Adalah...’

Aku mengeluh. Mindaku membuat pertimbangan.

‘jam 8.30..di ruang tamu...’ Akhirnya aku buat keputusan.

tak nak jumpa kat rumah..Angah nak ajak akak keluar..’

Aku mengeluh lagi. Lantas aku menghempaskan diri ke katil. Tiada niat mahu membalas mesej itu. Tidak lama kemudian, handphoneku berbunyi menandakan panggilan masuk. Butang hijau ku tekan.

“Assalamualaikum.”

“Wa’alaikumussalam. Nak apa?”

“Kenapa tak balas mesej Angah?”Lidahku kelu untuk memberikan sebarang jawapan.

“Tak sudi ke nak keluar dengan suami akak ni?”Tiada jawapan untuk soalan itu juga.

“Angah tunggu akak kat bawah. Kalau akak tak turun Angah naik.” Lantas talian diputuskan.

Erk! Main ugut-ugut pula suami aku ni. Aku mengangguk tanpa suara walaupun sedar yang Angah tak nampak pun anggukan itu.

Usai solat Isyak, aku bersiap ala kadar. Ketika aku turun, Angah sudah sedia menungguku. Aku terpaku melihat Angah. Cukup santai dengan jeans dan t-shirt berwarna biru gelap. Bukan sebelum ini aku tidak pernah melihat dia berpakaian begitu, namun malam ini aku melihat dirinya lain daripada yang lain. Mungkin kerana dulu dia hanya adik angkatku dan kini dia suamiku.

Senyumannya mematikan lamunanku. Huluran tangannya ku sambut dengan rasa ragu-ragu.

“Sejuknya tangan akak.”Komen itu membuatkan wajahku membahang. Lantas ku cuba untuk menarik tanganku namun tidak berjaya. Angah hanya tersenyum.

Aduh! Malunya aku. Kenapalah masa-masa ni juga tangan ni nak sejuk.

Aku cuba untuk berlagak selamba namun aku sedar gerakan ku sumbang. Aku tidak mampu berlagak biasa dengannya. Mungkin dulu iya namun kini aku harus menjaga tertibku  sebagai isterinya.

Suasana dalam kereta sunyi. Aku hanya memandang keluar. Tidak tahu apa yang harus dibualkan. Angah juga diam cuma sekali sekala dia turut menyanyi kecil. Mengiringi lagu yang berkumandang di radio.

“Buruk sangat ke muka Angah ni?”soalnya.

“Hah?”aku berpaling dan memandang wajahnya. Aku langsung tidak mendengar apa yang dikatakannya sebentar tadi. Angah ketawa sambil menggelengkan kepala.

“Kenapa akak nervous sangat ni?Akak takutkan Angah ke?”

Gulp! Aku menelan liur. Nak jawab apa ni? Angah ni buat-buat tak faham pula. Janganlah tanya benda pelik-pelik. Akak tak tahu nak jawab apa.

“Err...”aku berdehem sedikit membuatkan Angah berpaling kearahku. Senyuman itu. Dulu aku selalu memuji senyumannya. Comel. Namun kini senyuman itu buat aku berdebar. Tabahlah wahai hati.

“Akak nak cakap apa?”Aku hanya menggeleng

“Erm..mesti nak cakap somethingkan. Go on.” Melalui ekor mataku, aku perasan yang dia masih memandangku. Aku menggeleng. Tanganku menggenggam erat purse di pangkuan.

“Tak nak cakap ke?”Aku menggeleng lagi.

“Okey.”Jawapan ringkasnya membuatkan ku berpaling. Wajahnya ku tatap. Okey?Apa-apalah dia ni.


Akhirnya sampai di tempat yang di tuju. Aku membelek tudung di kepala sebelum melangkah keluar dari kereta. Tangannya melingkar di pinggangku ketika kami sama-sama melangkah masuk ke restoran pilihan Angah. Aku hanya mampu membiarkan tindakannya biarpun aku rasa macam nak lari je.



Meja yang ditempah berada di satu sudut yang agak tersembunyi. Aku duduk berhadapan dengan kolam kecil dengan air pancutan yang berwarna-warni. Aku kagum dengan pilihan tempat itu. Memang mengasyikkan.


“Sampai di sini pun tak nak pandang muka Angah ke?”aku hanya menjelingnya sekilas. Soalannya dibiarkan tanpa jawapan. Tiba-tiba dia berdiri dan mengarahkanku untuk bertukar tempat dengannya.



Kini dihadapanku hanya dinding. Angah tersenyum puas. Keadaan ini memaksaku untuk berdepan dengannya.



“Akak nak makan apa?”aku tidak menjawab. Protes dengan tindakannya sebentar tadi. Angah tersenyum.



“Ni merajuk dengan Angahlah ni?”aku masih senyap. Kedatangan pelayan menyelamatkan seketika keadaan. Angah memesan dua nasi goreng kampung dan dua fresh orange.



“Akak tau tak yang Angah rindukan akak.”Kata-katanya yang tiba-tiba itu membuatkan ku lebih kaku. Tanganku dicapai dan dibawa ke mulutnya.



“Angah,akak minta maaf.”Hanya itu yang mampu ku luahkan sebelum menarik perlahan tanganku dari genggamannya. Angah mengeluh kecil.



“Angah faham kak. Bukan senang akak nak terima kenyataan yang kini Angah dah jadi suami akak tapi itulah kenyataannya. Angah dah lama tunggu peluang ni dan bila ia muncul, tak mungkin Angah akan lepaskan kerana sejak pertama kali berjumpa dengan akak, Angah dapat rasakan yang hubungan kita bukan setakat itu.”



“Tapi...”aku tidak mampu meneruskan kerana aku yakin dia faham apa yang bermain di benak ku.



“Tapi kenapa kak?kerana umur?”Aku mengangguk.



“Umur bukan sempadan kasih kak. Dan hubungan kakak dan adik angkat sebelum ini, bagi Angah adalah ikatan yang membolehkan Angah sentiasa berada di samping akak. Walaupun hati Angah terluka ketika melihat akak bahagia bersama abang Hakim.”Aku jadi sebak melihat kesungguhan Angah. Ketika dia menyebut nama Hakim, aku jadi bertambah sebak. Aku terlalu rindukannya.



Ya Allah...maafkan hamba-Mu ini kerana merindui lelaki lain ketika suami di depan mata.



Mungkin ini jodohku. Aku akan cuba menerimanya dengan hati yang lapang.



“Akak harap Angah akan bersabar. Akak perlukan masa untuk menerima perubahan ini. Akak perlukan masa untuk menerima Angah sebagai suami akak.”Hanya itu yang mampu ku luahkan tika ini.



“Ambillah sebanyak masa yang akak perlukan. Tapi...”Angah seperti ragu-ragu untuk menyatakan sesuatu.



“Tapi?”soalku.



“Perubahan pertama yang kita perlu ubah adalah panggilan kita. Nak panggil akak macam tak sesuai. Angah pun tak nak bahasakan diri Angah lagi.” Dahinya berkerut. Mungkin memikirkan gelaran yang sesuai untuk diri masing-masing.



Aku juga memikirkan benda yang sama sepertinya. Takkan aku nak panggil dia abang kut? Isk..tak nak lah aku. Lagilah aku rasa tak sesuai. Sayang? Definitely NO! Darling? Tak mungkin! Kenapalah idea ni tak nak keluar masa-masa macam ni. Aku garu kepala.



“Adam dan Hawa.” Perkataan yang keluar dari mulut Angah membuatkan ku terlopong. Adam? Hawa? Boleh ke? Tapi bila ku fikirkan semula, lebih baik dari sayang atau darling.



“Setuju,”kataku.



“Apa yang setuju?”soal Angah. Sengaja membuatkan ku malu.



“Yang Angah cakap tadi tu lah...”aku hempuk juga budak ni. Boleh buat muka bodoh macam tu pula. Dia ketawa. Aku senyum. Tak pernah ku menyangka yang Izran akan jadi suamiku. Ia memang satu kejutan namun aku bersyukur kerana ia lebih baik dari aku mengahwini seseorang yang tidak pernah ku kenali. Sekurang-kurangnya dia menyayangiku.

“Hawa, Adam pergi dulu.” Huluran tangannya ku sambut dan ku cium penuh hormat. Pelukan kejapnya dan ciuman di dahi membuatkan ku terpaku. Wajahku terasa panas.

“Adam akan rindukan Hawa.” Satu lagi ciuman dihadiahkan di pipiku.

Aku terpana. Sehingga dia hilang di balik pintu, aku masih di situ. Perlahan-lahan rasa bahagia menyelinap di hatiku.

“Ya Allah, seandainya dia lelaki yang Kau ciptakan untukku, dekatkanlah hati kami. Bukakan pintu hatiku untuk menerima dia seadanya.” Aku meraup wajah dengan kedua tangan. Memohon petunjuk agar hatiku ikhlas menerima Adam.

Tiba-tiba handphoneku berbunyi. Aku menatap screen handphoneku. Siapa agaknya? Butang hijau ku tekan.

“Assalamualaikum Esya.”Hampir terduduk aku mendengarkan suara itu. Suara lelaki yang meninggalkanku ketika hari pernikahan dulu. Suara lelaki yang merobek maruah keluargaku. Tapi suara itu juga yang ku rindui setiap masa. Ya Allah, betapa berdosanya aku.

“Maafkan Hakim kerana pergi tanpa pesan. Hakim tau apa yang Hakim buat salah tapi bagi Hakim peluang untuk menjelaskan apa yang berlaku. Hakim cintakan Esya.”Ayat terakhir itu membuatkan hatiku bertambah sakit dan sayu. Tanpa sedar airmataku mengalir.

“Hakim nak jumpa dengan Esya. Bolehkan?”Aku masih diam. Talian aku putuskan. Tidak mahu lagi mendengar suara lelaki itu. Berjumpa? Sedangkan mengingati lelaki itu pun aku rasa cukup bersalah pada Adam apalagi berjumpa.

Aku tidak akan turutkan kemahuan Hakim. Biarpun hati ini terlalu inginkan penjelasan itu.
Hari-hari sebagai seorang isteri sepenuh masa benar-benar membuatkanku letih. Bukan kerana terbeban dengan kerja rumah tetapi kerana aku amat merindui kerjaku sebagai salah seorang perunding majlis. Aku pernah menyuarakan hasrat untuk kembali bekerja namun Adam hanya diam.

Panggilan Anisah beberapa hari lalu benar-benar membuatkanku teruja untuk menyambung kembali kerjayaku itu.

“Kau tak nak ke kerja dengan kami lagi? Kami betul-betul rindukan kehadiran kau di sini.” Sebakku mendengar suara Anisah.

“Bukan aku tak nak tapi Adam tak benarkan,”balasku sayu. Aku terasa seperti kehilangan separuh dari jiwaku ketika menyerahkan surat perletakan jawatan tempoh hari.

“Kau pujuklah dia. Mesti dia bagi punya.”

“Bukan aku tak pujuk Anis, macam-macam aku dah buat. Tetap tak jalan.” Aku melepaskan keluhan kecil. Teringat di satu ketika aku mohon kebenaran dari Adam untuk terus bekerja. Adam tidak menjawab dan langsung tidak menghiraukan aku keesokan harinya. Aku pula yang terpaksa memujuk dirinya. Aku tidak faham apa yang membuatkannya tidak suka aku bekerja.

“Macam-macam?” Lain benar nada pertanyaan Anisah pada pendengaranku. “Boleh aku tau apa yang macam-macam tu?” Anisah ketawa. Aku garu kepala. Isk, kenapa pula ngan minah ni?

Lama aku terdiam. Terasa panas wajahku kala aku faham apa yang dimaksudkan oleh Anisah.

“Kau ni otak kuning betullah,”ucapku sedikit terjerit. Ketawa Anisah bertambah kuat.

“Jadi malam ni kau kenalah usaha lebih sikit tau. Biar berbaloi.” Anisah menyambung tawanya. Aku bertambah segan. Bukan apa, selama aku berkahwin dengan Adam hanya itu saja kewajiban sebagai isteri yang belum aku tunaikan. Aku belum bersedia dan Adam pun tidak pernah memaksaku.

“Melebih-lebih pula anak dara sorang ni. Dah tak sabar ke? Nanti aku bagitau kat Norman,”ugutku.

“Tak payah kau susah-susah nak bagitau. Dia tau yang aku ni dah gatal nak kahwin.” Aku geleng kepala namun ikut tertawa dengan jawapan Anisah. Cakap tak berlapik langsung.

“Teruk betullah anak dara Pakcik Ahmad ni.”

Dengan tawa yang masih bersisa Anisah kembali semula ke topik asal, “Tapi seriuslah Qila. Kitorang betul-betul perlukan khidmat pakar seperti kau. Lagipun sekarang ni banyak orang dah tempah nak buat event. Dengan kudrat aku, Sya dan Anum mana mampu nak selesaikan semua tu.”

“Nanti aku cuba ea. Tapi aku tak dapat nak janji apa-apa tau. Jangan mengharap sangat.”

Aku mengeluh lagi. Sehingga kini aku masih belum menyuarakan hasratku pada Adam.

Tiba-tiba aku dipeluk dari belakang. Aku sedikit terkejut tetapi wangian yang dipakai oleh Adam menghilangkan rasa terkejutku. Segera aku berpaling namun sekali lagi terkejut kerana melihatnya telah selesai mandi. Bila pula dia ni sampai? Aku garu kepala.

“Berat sangat ke masalah Hawa tu sampai Adam balik pun tak sedar?”soal Adam dan duduk di sebelahku. Aku tersengih.

“Hawa minta maaf. Betul-betul tak perasan tadi. Adam pun tak tegur Hawa masa sampai tadi.”

“Ingatkan siapa?”soal Adam lembut.

“Mana ada ingatkan siapa-siapa.”

“Owh, tak ingatkan Adamlah ni?”

“Taklah,”jawabku laju.

“Tak rindukan Adam?” Aku menggeleng.

“Langsung tak rindu?” Aku menggeleng lagi. Isk, janganlah tanya lagi.

“Betul?” Aku mengangguk.

“Okey.”Ringkas jawapan itu membuatkanku berpaling. Berkerut dahiku memandangnya. Okey? Suka sangat dia mematikan perbualan dengan perkataan itu. Apa-apalah Adam ni.

Adam berpaling, “Betul?” Kali ini tiada jawapan dariku. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Tiba-tiba dia meraih aku dalam pelukannya.

“Adam betul-betul rindukan Hawa. Setiap hari..,” bisiknya lembut di telingaku sebelum menghadiahkan ciuman di dahi dan kedua pipiku. Aku menelan liur. Tergamam dengan perbuatannya. Erm, masa ni aku kena buat apa ea? Isk...Adam. Janganlah macam ni.

“Err...Adam nak minum ke? Hawa ambilkan air ye.” Aku bingkas bangun.

Pantas Adam menarik tanganku sebelum aku sempat berlalu. Apalagi ni? Aku mula rasa berdebar.

“Duduklah dulu. Adam tak puas lagi tengok Hawa. ” Dengan rasa ragu-ragu aku mula duduk semula namun aku hanya tunduk. Tak mampu nak pandang mata Adam tu. Menggoda sangat. Menggoda? Teringat pesan Anisah sebelum sebelum berundur hari itu, “Jangan nakal-nakal tau.” Gulp! Aku tak nakal tapi Adam ni yang nakal.

Adam mengangkat wajahku dengan tangannya. “Hawa, Adam betul-betul cintakan Hawa sepenuh hati Adam. Sejak mula kita bertemu, Adam dapat merasakan yang Hawa akan jadi milik Adam. Setiap malam sebelum tidur, Adam mohon pada Allah agar panjangkan jodoh kita. Alhamdulillah, doa Adam makbul. Adam betul-betul berterima kasih kerana berpeluang menjadi sebahagian dari hidup Hawa biarpun Adam sedar bukan Adam yang ada dalam hati Hawa.”

Anak matanya ku pandang. Terpancar sinar keikhlasan pada wajahnya. Dan keikhlasan itulah yang membuatkanku makin serba salah. Debaran di dada mula bertukar rentak. Aku harap agar Adam tak mendengar degupan jantungku tika ini.

“Adam, Hawa pun bersyukur kerana Adam menjadi suami Hawa. Hawa sayangkan Adam tapi sayang itu masih lagi sayang seorang kakak pada adik. Bagi masa pada Hawa untuk menyayangi dan menerima Adam dengan ikhlas sebagai suami Hawa.”

Terdengar keluhan Adam. Dia hanya mengangguk lemah. “Adam akan sentiasa tunggu Hawa. Kerana Hawa memang tercipta untuk Adam.” Aku terasa ingin menangis kala Adam kembali meraihku dalam pelukannya.

“Hawa masih ingatkan Abang Hakim?” Aku tersentak. Teringat kembali panggilan Hakim beberapa minggu lalu. Hanya sekali Hakim cuba menghubungiku. Perlukah aku maklumkan pada Adam mengenai panggilan itu? Mungkin ini bukan masa yang sesuai.

“Adam, bohonglah jika Hawa katakan yang Hawa telah lupakan semuanya tentang Hakim. Dia hampir jadi sua...” terhenti kata-kataku. Terlukakah dia jika aku teruskan? Perlahan pelukan dileraikan. Renungan matanya seperti meminta aku untuk meneruskan kata yang terhenti.

“Dia hampir jadi suami Hawa dan selama ini itu yang Hawa harapkan. Tetapi setelah dia tinggalkan Hawa hari itu, Hawa yakin yang dia bukan milik Hawa. Setelah Adam lafazkan akad, Hawa sudah berjanji dengan diri yang Hawa akan lupakan semua tentang Hakim.”

Walaupun Hawa sebenarnya tidak mampu. Ayat itu hanya terlafaz dalam hati.

Adam tersenyum namun senyumnya tawar.
Seperti biasa pada hujung minggu, kami akan sama-sama minum petang di taman kecil di depan rumah. Berhati-hati aku menatang dulang di tangan.

“Hati-hati,” terdengar suara Adam. Aku hanya menjeling dengan ekor mata. Aku tau dia menyindirku. Minggu lepas aku terpelecok ketika mengangkat dulang ke luar rumah. Bukan main Adam ketawa. Tak ingat dunia langsung. Nasiblah aku dapat suami macam tu. Aku menggeleng.

“Mengumpat Adam lah tu..” erk! Dia tau ke? Aku buat tak tau.

Adam dengan glasses nampak lain dengan Adam tanpa glasess. Nampak lebih berkarisma dan kacak. Kacak? Isk, terpuji pula. Hehehe.. Tak kisahlah. Suami aku juga. Aku tersenyum sendiri.

“Baru hari ni nak pandang Adam? Sebelum ni bila Adam suruh tak nak pandang pun.” Terkejutku dengan kata-kata Adam. Panas wajahku. Dia tersenyum memandangku yang serba tak kena.

“Pandanglah, tenunglah. Suami Hawa jugakan.” Sekali lagi ku tersentak. Gulp! Bomoh ke suami aku ni? Asyik tahu je apa yang aku fikirkan.

Aku membuang pandang ke kiri. Bukan apa, saja nak larikan mata ni. Itulah, tadi gatal sangat nak tenung-tenung.

“Eh!” Suara Adam membuatkanku berpaling. Dia tersenyum. Jatuh jantungku melihat senyumnya itu.

‘Jeling-jeling...kau menjeling...
Senyumanmu menggoda...
Lama-lama dalam diam...
Aku jatuh cinta....’

Aku masih memandang Adam. Terpaku pandangan ku sebentar. “Hawa...” Lembut suara Adam menyapa pendengaranku. Aku tersentak. Isk,,,dah lagu dangdut pula hati aku ni. Jatuh cinta? Betul ke? Aku menggeleng lalu bergegas berlari masuk ke dalam rumah.

Aku terus ke bilik. Dapat ku rasakan aura panas wajahku. Ku melekapkan tanganku di dada. Cuba merasa degupan jantung. Lajunya. Masih irama dangdut jantung aku ni. Hai jantung, kembalilah berdegup dengan normal. Aku malu ni.

Bunyi handphone mengejutkan aku dari terus termenung.

‘Mlm ni kita mkn kat luar. Pakai baju yang Adam belikan.’

Baju yang Adam belikan? Baju mana? Handphoneku ber’nyanyi’ lagi.

‘Ada kat dalam almari.’

Memang bomoh Adam ni. Aku tertawa kecil. Perlahan menuju ke almari, mencari baju yang dimaksudkan Adam. Mataku terpandang pada sehelai jubah berwarna merah. Cantik! Dengan potongan moden dan ringkas, memang menepati citarasaku. Pandai juga dia pilih. Dan warna merah memang warna kegemaranku.

Selesai sahaja solat isyak, aku terus bersiap. Aku hanya mengenakan make up tipis kerana aku tak tau nak make up tebal-tebal. Nanti aku make up tebal-tebal, Adam tak kenal pula. Jubah itu ku padankan dengan tudung hitam merah. Membelek sebentar penampilanku sebelum turun.

Ku mencari kelibat Adam di ruang tamu namun tiada. Tiba-tiba pinggangku dirangkul dari belakang dan sebuah ciuman singgah di pipi kananku. Aku rasa terpukau melihat Adam. Sungguh kacak dengan tuxedo hitamnya.
“Nak lagi?”soal Adam. Aku cepat-cepat meleraikan rangkulannya dan menjauh. Adam tertawa. Debaran petang tadi kembali.Aku jadi gelisah.

‘Beginikah rasanya...
Sakit asmara...
Siang malam gelisah...
Ingin bersama....’

Oh hati, sudah-sudahlah dengan lagu dangdut tu. Ku tepuk dadaku perlahan. “Malu tapi mahukan?” Adam masih mengusik.

Aku ketap bibir. Ni lagi sorang. Tak habis-habis nak mengusik.

“Nak pegi ke tak nak? Kalau tak nak, Hawa nak naik tukar baju.” Balasku.

“Sejak bila pula Hawa pandai merajuk dengan Adam ni?” Merajuk? Tak de masa aku nak merajuklah. Baik aku potong rumput kat belakang rumah dari merajuk dengan dia ni. Isk! Potong rumput? sanggup ke? Selama ni Adam je yang 'menuai' ladang rumput kat belakang tu. Aku sembunyikan senyum.

“Jom!” Adam kembali merangkul pinggangku. Sengaja ku keraskan badan. Adam berpaling.

“Nak Adam angkat?”bisik Adam perlahan di telingaku. Cepat aku bergerak ke depan mendengar suaranya. Romantik gila! Adam ketawa lagi. Tak tahu kenapa malam ni aku tak menjawab sangat. Dari petang tadi hati berdebar-debar je.

Sepanjang perjalanan suasana sunyi. Hanya suara dj radio sahaja yang menemani kami. Tiba di tempat yang dituju, aku terkejut. Nak makan kat sini? Biar betul Adam ni. Ku pandang Adam, senyumannya seperti mengiyakan pertanyaan dihati.

Aku berdehem. Masih tidak percaya. Adam keluar dan membukakan pintu kereta untukku. Tangannya yang dihulur ku sambut.

“Betul ke nak makan kat sini?” Adam senyum lagi. Isk, pakai baju macam ni lawa tapi nak makan kat pondok ni? Dah lah buruk, gelap pula tu. Meremang bulu roma aku.

“Adam...” aku serba salah nak cakap.

“Kenapa? Tak sudi ke?” Dia mengerutkan dahi. Ni yang aku lemah nak jawab ni. Kalau aku tau tadi, baik aku pakai seluar jeans je. Tak payahlah nak rosakkan baju mahal ni.

Aku hanya menggeleng dan mengikut dia melangkah. Selangkah, dua langkah, tiga langkah, aku menarik tangan Adam. Dia berpaling dan aku menggelengkan kepala.

“Nak balik...” Adam eratkan genggaman tanganku. Mungkin dia takut aku lari kut. Takkanlah aku nak lari, dah lah tempat ni menyeramkan. Aku kembali ikut dia melangkah. Tiba-tiba satu cahaya terang menyuluh ke arah kami. Aku yang memang dah sedia takut jadi terkejut. Perkara terakhir yang aku ingat, aku jatuh. Gelap....
“Hahahaha….” Kak Chik masih ketawa. Aku jadi malu. Tak sudah-sudah lagi ke? Isk… Aku garu kepala yang tak gatal. Pandangan minta simpati ku berikan pada Adam.

“Sudahlah tu kak. Hawa bukannya sengaja nak pengsan.” Terbeliak mataku memandang Adam. Dia ni nak bela aku ke, saja nak perli aku? Tak boleh jadi ni. Aku menghadiahkan satu cubitan di lengan Adam sebelum melarikan diri ke bilik. Sempat ku dengar Adam mengaduh. Padan muka!

“Qila, akak gurau je lah,” kuat suara Kak Chik menembusi telingaku namun geram kerana dipermainkan, aku tak menghiraukan panggilan Kak Chik.

Aku memandang ke luar tingkap, terasa nak menangis pun ada.

“Marahkan Kak Chik ke? Kak Chik gurau je tu..” bisik Adam. Tak perasan bila Adam masuk. Sebab asyik sangat melayan perasaan kut.

“Siapa kata Hawa marahkan Kak Chik?” Lantas aku berpaling menghadap Adam. Senyuman itu! Start dah jantung ni nak buat rentak dangdut.

“Habis tu, marahkan Adam lah ni ea?” Isk! Itulah nak menjawab sangat. Kan dah tak terkata. Perlahan-lahan Adam menghampiri dan perlahan juga aku berundur ke belakang hinggalah pergerakanku terhalang oleh dinding. Siapalah yang buat dinding kat sini. Mana aku nak lari ni?

Tiba-tiba terdengar suara Kak Chik. Aku berdehem, “Kak Chik panggil tu..” Adam tertawa. Aku senyum sebelum berlalu.

“Kalau iya pun nak bermanja, agak-agaklah..” usik Kak Chik.

“Mana ada kak.”

“Kalau ada pun, apa salahnya. Bukan orang lain. Suami awak juga.” Aku hanya mampu senyum. Tak kuasa nak balas. Nanti kalau Kak Chik dah mula bersuara, tak boleh dihalang.

“Kak Chik nak balik ni. Jangan lupa tau, seminggu lagi balik kampung. Ingatkan Izran. Jangan pula awak balik sorang.” Pesan Kak Chik.

“InsyaAllah kak.” Kak Chik berlalu tanpa bertemu dengan Adam. Pelik pula. Apa yang dia buat kat atas tu? Pintu bilik ku ketuk perlahan. Tiada jawapan.

“Buat apa tu?” Ku lihat handphoneku berada dalam genggaman Adam. Hatiku merasakan sesuatu yang tidak enak. Adam menghulurkan handphone kepadaku tanpa dia berpaling. Masih tunduk seperti tadi. Apa yang tak kena?

‘Esya, Hakim rindukan Esya.’

Jantungku berdegup laju. Aku betul-betul tidak bersedia menghadapi keadaan ini. Handphone ku genggam erat.

“Adam, Hawa boleh terangkan..”

“Kenapa tak beritahu Adam yang Hawa berhubung dengan Abang Hakim?” sayu suara Adam pada pendengaranku. Aku tidak mampu bersuara. Yang aku sedar airmataku laju meninggalkan empangannya.

“Patutlah Hawa tak boleh terima Adam. Rupanya Hawa masih mengharapkan Abang Hakim. Kenapa tak berterus terang?”

“Adam…”

“Sudah berapa lama Hawa berhubung dengan dia?” Potong Adam. Terasa sakit kerongkongku untuk mengeluarkan kata-kata.

“Nyata Adam tak mampu bahagiakan Hawa. Adam minta maaf. Mungkin Adam tidak sepatutnya muncul dalam hidup Hawa.” Airmata semakin deras membasahi pipi. Aku menghampiri meja solek, mencari tempat untuk berpaut. Tidak mampu untuk terus berdiri.

“Adam, Hawa…”
“Tak apa. Adam faham. Tempat Adam bukan di sini.” Perlahan dia meninggalkan aku. Tidak sedikit pun memberi aku ruang untuk membela diri. Aku hanya mampu memandang pemergiannya tanpa suara. Hanya tangisan kedukaan mengiringinya.

Maafkan Hawa! Hakim bukan siapa-siapa lagi dalam hidup Hawa. Hawa sayangkan Adam… Semua itu hanya mampu terluah di dalam hati. Hakikatnya, Adam telah pergi meninggalkan aku.

“Ya Allah, betapa berdosanya aku kerana telah mengecewakan suamiku. Maafkan hamba-Mu ini Ya Allah. ”

Sepanjang malam itu aku berjaga. Menanti kepulangan Adam di ruang tamu namun kecewa. Aku terjaga ketika terdengar sayup-sayup azan Subuh berkumandang. Tidak sedar bila aku terlelap.

Terimbas kembali segala kejadian yang berlaku malam tadi. Bergegas aku berlari ke bilik, mencari kelibat Adam. Tiada! Di bilik bacaan, juga tiada. Aku kecewa. Nyata dia tidak balik malam tadi.

Adam, maafkan Hawa! Aku menangis lagi.
Aku menarik nafas sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.

“Assalamualaikum,” laungku.

“Wa’alaikumussalam. Qila!”Lantas mama memelukku. Sepanjang aku menjadi isteri, inilah pertama kali aku menjejakkan diri ke kampung. Bukan merajuk tetapi mahu menunjukkan perasaan protesku pada mama atas perkahwinan tak dirancang antara aku dan Adam.

“Lama Qila tak balik. Mama rindu.” Luah mama dalam tangisannya.

“Qila pun rindu mama.” Lama mama menatap wajahku. Qila minta maaf ma! Hanya terluah dalam hati. Betapa besar dosaku pada mama. Mama menarikku ke dalam rumah. Terasa amat rindu pada rumah ini. Di sinilah tempatku membesar, juga tempatku di satukan dengan Adam. Adam! Airmataku kini mengalir lagi. Bukan kerana mama tetapi kerana teramat merindui Adam.

“Izran tak balik sekali?” Tersentak aku dengan pertanyaan mama.

“Erm, dia tengah kursus ma. Kalau sempat dia balik lah,” ujarku mencipta alasan. Ku lihat dahi mama berkerut. Apa lagi yang tak kena ni?

“Dia tak pula bagitau mama yang dia ada kursus.”

“Err..dia ada call mama ke?” Mama mengangguk. Ingin bertanya lebih lanjut tapi aku tak mahu mama syak apa-apa.

“Kak Tia mana ma?” Soal ku cuba menukar topik. Mama hanya memandangku.

“Qila ada masalah ke dengan Izran?”soal mama. Direct!! Tak ada bunga-bunga bahasa lagi. Gulp! Apa aku nak jawab ni..

“Tak adalah mama. Qila dengan dia ok je.” Aku menjawab tanpa memandang mama. Aku tau mama mula curiga.

“Qila jangan nak bohong mama. Mama tau anak mama.” Mama janganlah tanya lagi, Qila sedih ni…

“Erm…”

“Assalamualaikum..” Huh! Selamat aku. “Wa’alaikumussalam.” Jawab aku dan mama serentak lantas aku menjengukkan kepala ke luar. Hampir pengsan aku melihat gerangan lelaki itu. Hakim! Pandangan ku hala kearah mama.

“Makcik..” Hakim menghulurkan tangan namun tak bersambut. Aku tau yang mama masih menyimpan marah tentang kejadian hari itu.

“Berani lagi nak pijakkan kaki ke rumah ni?! Kamu tau tak yang kamu betul-betul dah malukan aku.” Tegas suara mama. Ku lihat Hakim tunduk memandang lantai. Mungkin mencari kata-kata yang sesuai untuk diluahkan.

“Saya datang nak minta maaf makcik. Saya tau saya yang bersalah.”

“Kamu ingat dengan maaf tu boleh tarik balik kata-kata orang kampung? Betapa malunya aku bila tiba-tiba kamu hilangkan diri..” Aku genggam tangan mama.

“Apalagi yang kau mau Hakim? Tak sudah-sudah lagi kau nak sakitkan hati keluarga aku?” Mama melangkah masuk ke bilik. Aku tau yang kehadiran Hakim membuka kembali sejarah hari itu.

“Qila suruh dia balik! Dia tak layak nak pijakkan kaki ke rumah ni lagi!” Laung mama dari bilik. Dari getar suara mama aku tau yang mama benar-benar terluka.

“Kau dah dengarkan. Jadi aku rasa lebih baik kau balik je.”

“Esya, Hakim nak minta maaf. Hakim sayangkan Esya. Hakim tau yang Hakim tak sepatutnya tinggalkan Esya hari tu. Hakim…”

“Sudahlah. Aku tak nak dengar apa-apa lagi. Baik kau pergi sekarang.” Tiba-tiba Hakim menarik tanganku. Digenggamnya erat. Kalau dulu aku mesti berdebar tapi kali ini hanya rasa meluat yang tinggal. Kerana dia Adam pergi dan kerana dia juga mama menangis. Ku cuba melepaskan genggamannya namun dia semakin mengeratkannya.

“Esya, bagi Hakim satu lagi peluang. Hakim janji yang Hakim takkan sia-siakan Esya lagi.” Rayu Hakim sepenuh hati. Aku tertawa. Ketawa yang dibuat-buat.

“Sudah terlambat Hakim. Aku dah kahwin.” Jelas di wajah Hakim yang dia terkejut dengan berita itu.

“Mustahil. Hakim tau yang Esya sengaja nak buat cerita tu kan? Sengaja nak seksa Hakim, sakitkan hati Hakim.” Aku menggeleng. Wajah lelaki di hadapanku ini ku tatap. Lelaki yang pernah ku dambakan untuk menjadi wira hidupku suatu ketika dulu.

“Dalam soal ni aku tak pernah bergurau. Apalagi dengan lelaki yang telah melukakan hati aku. Aku sudah berkahwin dengan Izran.”

“Izran?Angah?” Tentulah dia terkejut. Angah yang dulu adik angkatku kini suamiku.

“Tapi, bagaimana….?” Kelu lidah Hakim. Terduduk dia di tepi pintu.

“Jangan persoalkan bagaimana tetapi persoalkan kenapa?” Dia tertawa kecil. Mungkin tidak menyangka berita itu yang akan didengarnya.

“Hawa…” Serentak aku dan Hakim berpaling.
Adam! Jerit hatiku. Terasa ingin berlari mendapatkannya. Airmataku mengalir tanpa mampu ku tahan. Jantung ku berdegup laju. Wajah itu, suara itu, aku amat merinduinya.

“Adam....”lemah suara ku. Namun Adam hanya menjelingku. Tiba-tiba Hakim mendekati Adam dan menghadiahkan satu tumbukan tepat di pipi kiri Adam. Terduduk Adam di tepi tangga.

Aku tersentak dan yang lebih mengejutkanku adalah bagaimana aku boleh berada di depan Hakim dengan tangan terasa pedih. Hakim lebih terkejut dengan tindakanku. Aku tampar Hakim? Biar betul! Beraninya aku. Dengan airmata masih mengalir, aku tertawa di dalam hati.

“Esya....”

“Baliklah. Jangan cari aku lagi. Aku dah tak perlukan lelaki lain lagi kerana aku dah ada Adam. Aku sayangkan dia.” Tidak mahu memberi peluang untuk Hakim meneruskan kata-kata. Perlahan Adam bangun dan mendekati ku.

“Abang, Qaleesya Aqila kini isteri saya. Dia bukan lagi perempuan yang boleh abang cintai. Maafkan Angah tapi saat abang tinggalkan Hawa hari itu, Angah dah berjanji yang takkan sekali-kali membiarkan Hawa jatuh lagi ke tangan lelaki tak bertanggungjawab macam abang. Abang baliklah. Angah akan jaga Hawa lebih baik dari abang.” Kata-kata Adam buat aku jadi lebih sedih. Bagaimana aku boleh melukakan hati lelaki sebaik Adam? Ya Allah, kini ku sedar, aku mulai mencintai suamiku. Berilah ku peluang untuk membahagiakan dia.

“Kau memang...” Hakim menuding jarinya tepat ke muka Adam. Tanpa menghabiskan  ayatnya Hakim terus berlalu. Aku melepaskan keluhan lega.

Adam memandangku sebelum masuk ke dalam rumah. Aku hanya menurut dari belakang. Ingin bersuara namun masih belum bersedia.

“Sakit ke?” soalku. Adam diam dan terus berlalu ke bilik tanpa sikit pun memandangku. Dia masih terasa hati ke? Apa aku nak buat ni. Dahlah aku gagal bab pujuk memujuk ni. Isk!! Aku garu kepala yang tak gatal.

“Dah balik budak tu?” Tiba-tiba mama muncul dari belakang. Hampir aku terlompat. Aku mengurut-ngurut dadaku.

“Mama ni, lain kali bagilah salam dulu kalau nak sergah Qila. Nasib baik tak de sakit jantung. Kalau ada confirm jalan,” rungutku. Mencerlung mata mama mendengar aku berkata begitu. Mama menepuk mulutku perlahan.

“Dah tak sabar ke sampai cakap macam tu?” aku hanya tersengih sambil memegang bibirku. Padan muka aku. Kan tak pasal-pasal kena marah. Hehehe....

“Sorry!”

“Kata-kata itu doa tau. Kan mama selalu pesan, nak bercakap tu biar bertapis.” Aku terus memeluk mama dari belakang.

“Ok..ok...” Mama mengusap lenganku perlahan. “Kenapa ni?”

“Ma, Qila rindukan Izran.” Perlahan suaraku. Tak pula aku maklumkan pada mama tentang kepulangan Adam.

“Kenapa ni?Qila ada masalah ke dengan Izran?”

“Qila cintakan Izran ma..” ayat itu terlafaz dengan sepenuh rasa. Betapa sakit menanggung perasaan itu. Seminggu kehilangan Adam, memberi aku ruang untuk menilai sendiri hatiku. Kini aku betul-betul pasti, cintaku telah beralih arah.

“Qila, mama kenal Izran tu. Dia baik. Selama Qila menyepi dulu, tak pernah sehari pun dia terlepas dari menghubungi mama. Panggilan-panggilan Izran buat mama terasa dekat dengan Qila. Mama tak pernah menyesal menyerahkan Qila di bawah jagaan Izran. Walaupun dia muda dari Qila tapi dia lebih matang. Izran selalu mengadu kat mama yang Qila ni nakal..” Terkejut aku mendengar kata-kata mama. Adam berhubung dengan mama? Kenapa aku tidak pernah tau? Pandai dia pula dia berahsia dengan aku. Tapi satu yang betul-betul menarik perhatianku adalah ayat terakhir mama. Nakal? Aku? Isk!! Part bila pula aku nakal ni?

“Mana ada Qila nakal ma. Qila ni lah isteri paling baik tau. Dia kut yang nakal, kata orang pula.” Mama tersenyum. Mama menarikku agar berhadapan dengannya. Pipiku di usap perlahan.

“Tak sangka Qila dah besar. Dah jadi isteri orang pun.” Mama mengucup kedua belah pipiku. Sebak pula hatiku.

“Mama ni, nak ‘touching-touching’ pula.” Gurauku. Sekadar mahu mengusir sebak di hatiku. Tak mahu menangis di depan mama. Malu! Aku senyum sendiri.

“Izran sayangkan Qila. Terlalu sayangkan Qila. Setiap kali dia telefon mama, dia sentiasa bercerita tentang Qila.”

“Qila tahu ma. Malah kata-kata cinta itu sentiasa meniti di bibir Izran hinggalah Qila lukakan hati dia. ” Semua ku ceritakan. Bermula saat Hakim menghubungiku dan hinggalah saat Adam menghilangkan diri.

Tiba-tiba muncul Adam di sebalik pintu. Terkejut mama melihatnya. Aku pula buat muka selamba biarpun dalam hati dug dag dug dag. Mama menjelingku. Aku buat tak nampak. Mesti mama bengang kerana aku sembunyikan berita kepulangan Adam. Tangan dihulur dan dia mencium tangan mama penuh hormat lantas mengambil tempat di sebelahku.

Aku mengerling sekilas. Ada sedikit lebam pada pipi kirinya.

“Kenapa cakap pada mama? Tak cakap pada Adam?” Adam berbisik di telingaku. Bertambah laju pula degupan jantungku. Gulp! “Qila masuk dulu...” Lantas aku berdiri meninggalkan mama serta Adam di ruang tamu.
Masuk saja ke dalam bilik, aku melepaskan keluhan lega. Adam dengar ke apa yang aku cakap dengan mama tadi? Terasa panas wajahku. Harap-haraplah dia tak dengar.

Mataku tertancap pada diari yang berada di atas meja solek. Sejak bila pula aku letak diari aku atas ni? Jangan-jangan...?!

Satu demi satu helaian ku selak.

Kenapa sejak akhir-akhir ni hati aku asyik berdangdut je bila tengok Adam? Isk... hati,, janganlah macam ni....

Adam : Dangdut? Tak tahu pula Hawa suka dangdut....hehehe...

Panas!!

Hari ni aku rasa macam rindu pula dengan dia. Hehehe...sejak bila aku pandai rasa macam tu kat Adam? Hoi hati, janganlah rindu-rindu...sakit ni...

Adam : Adam pula sentiasa rindukan Hawa. Dari dulu lagi..

Merah padam mukaku membaca setiap helaian diariku di conteng oleh Adam. Geram pun banyak ni.

Adam perasanlah tadi aku tenung dia...malunya! tapi, tak pelah..bukan kena bayar punkan..hehee..suami aku juga..

Adam : Oh...jadi selama ni Hawa suka curi pandang Adam ea..nak kena denda ni...

Erk!! Denda? Ada pula...Ku selak ke helaian di mana hari dia pergi meninggalkan aku.

Adam pergi..dia dah tinggalkan aku...semuanya kerana rahsia lelaki itu!!

Adam : Adam tak pernah pergi jauh dari Hawa..

Sebaknya!

Ya Allah,aku tidak mampu kehilangannya..

Adam : Hawa tidak akan pernah kehilangan Adam lagi selepas ini kerana tempat Adam di sisi Hawa.

Adam..kembalilah pada Hawa..Hawa perlukan Adam untuk meneruskan hidup ni...Adam dah jadi sebahagian dari diri Hawa...Hawa minta maaf kerana merahsiakan tentang Hakim dari Adam tapi percayalah, Hawa tak berniat pun... Hawa Cuma tak mahu Adam merasa yang Adam tak penting..seperti yang terjadi kini..Hawa cintakan Adam..Demi Allah,, Hawa sedar yang cinta Hawa kini milik Adam..

Adam : Hawa, Adam percayakan Hawa. Adam pergi bukan kerana terluka tetapi ingin beri Hawa ruang untuk menyedari tentang hati dan perasaan Hawa. Tak pernah sedetik pun Hawa hilang dari hati Adam. Hawalah jantung hati Adam. Adam juga amat menyintai Hawa. Percayalah sayang... betapa sehingga hari ini, inilah saat-saat yang Adam tunggu. Saat di mana Adam diyakinkan bahawa cinta Hawa hanya milik Adam sepenuhnya.

Airmataku tumpah lagi.

p/s : Malam ini juga Adam nak tuntut sesuatu dari Hawa...boleh?
Tuntut sesuatu? Isk, tuntut apa pula ni? Aku mengesat airmata ku. Tidak faham dengan catitan Adam itu.

Pintu bilik dikuak. Tersembul wajah Adam di balik pintu. Aku tunduk. Malu ar! Dia dah baca diari aku.Semua benda yang aku kutuk dan puji dia dah baca.

Dia menarikku ke dalam pelukannya."Terima kasih,”ucapnya dan mengucup lembut dahiku.Gulp!Ni yang buat aku betul-betul rasa macam nak lari ni.

“Kenapa ni? Hati tengah nyanyi lagu dangdut ke?” Adoi! Panasnya bilik ni. Kenapalah tak pasang aircond dulu. Soalan Adam itu buat seluruh badan terasa panas. Bukan sebab apa tapi sebab malu. Dah lah baca diari orang tanpa kebenaran, boleh lagi diungkit-ungkit perkara tu. Isk! Apalah Adam ni.

“Sayangkan Adam tak?” Sunyi.

“Sayangkan Adam tak?” Sunyi lagi. Adam memegang daguku.

“Sayangkan Adam tak?” isk! Tak de soalan lain ke? Cubalah tanya dah makan ke, dah mandi ke? Tau juga aku nak jawab. Ni soalan cepu emas tu juga nak ditanya. Aku tak tau nak jawab apa!

“Sayangkan Adam tak ni?” Aku membentak. Dalam hati je. Hehehe..Nanti dia hilang lagi aku juga yang merana. Aku angguk.

“Angguk tu tanda apa?”

“Sayanglah!”jawabku sedikit kasar.

“Kasarnya.” Terdengar Adam tertawa kecil. Aku tunduk. Berat sangat nak angkat kepala ni. Malu tak tertanggung. Hehehe...

“Hawa dah baca note Adam yang last tu?” Aku mengangguk.

“So?” So? Boleh dia tanya aku pula. Mana aku tau. Apa yang nak dituntut tu pun aku tak tau.

“So?” Soalku semula. Adam senyum. Semacam je senyum Adam ni aku tengok. Aku garu kepala.

“Tak faham?” Aku geleng kepala. Adam tepuk dahi. Minyak diesel betullah isteri aku ni.

“First night.”Direct!

Huh?! Sempat aku berfikir jap. First night?

“Malam ni Hawa tidur dengan mama.”Laju aku meninggalkan bilik itu. Seram! Terdengar kuat tawa Adam.

Aku tersenyum. Akhirnya aku masih berpeluang mendengar tawa itu. Terima kasih kerana kembalikan Adam padaku Ya Allah. Terselit rasa bahagia di sebalik semua kejadian yang telah berlaku. Aku amat bersyukur, Adam kini kembali ke pangkuan Hawa.