Wednesday, December 21, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Kabus Danau Hati~





Paluan kompang langsung tidak mampu menarik minatku. Sepatutnya aku gembira dengan majlis yang berlangsung tetapi perasaan itu langsung tidak menjengah hatiku tika ini.

“Mama tidak akan sekali-kali membatalkan majlis perkahwinan kamu. Majlis itu tetap akan berlangsung walau siapa pun pengantin lelakinya.” Kata-kata mama masih terngiang-ngiang di telingaku. Aku tak mampu menghalang jauh sekali untuk membantah keputusan mama itu.

Airmata yang ingin keluar cuba ditahan. Aku menarik nafas kemudian menghembusnya perlahan namun sebak di dada tetap tidak mampu diusir. Minda kini hanya berfikir tentang Hakim.

“Kemana Hakim pergi? Kenapa tak bawa Esya sekali?”bisikku perlahan. Sepatutnya paluan kompang itu mengiringi Hakim. Airmataku kini mengalir. Kak Tia di sebelahku tidak mampu berkata apa-apa lagi. Semalam sudah banyak yang dikatakannya padaku namun masih tidak mampu mengubah apa-apa.

Pintu bilik diketuk perlahan. Wajah mama tersenyum penuh makna di depan pintu. “Qila, pengantin lelaki nak masuk sarungkan cincin.” Pantas Kak Tia mengelap sisa airmata di pipiku. Ini bermakna aku sudah sah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang tidak aku kenali. Aku langsung tidak mahu mengambil tahu perihal si lelaki yang kononnya telah menjadi penyelamat kepada maruah keluargaku.


“Assalamualaikum,”lembut ucapan salam itu ku sambut dengan perlahan. Gemersik suara itu membuatku semakin berdebar. Ingin mengangkat muka, aku malu.

Setelah cincin disarung ke jari manis ku, huluran tangan sang suami, ku sambut lemah. Tiada langsung keikhlasan yang lahir dalam hatiku tika ini. Aku menutup mata ketika dia mengucup dahiku. Aku masih tidak sanggup melihat siapakah gerangan suami ku ini. Namun hatiku mengatakan yang aku mengenalinya.

“Tak sudi nak pandang Angah ke?”

Angah?! Pantas aku mendongak. Aku merasakan duniaku gelap seketika dek kerana terkejut dengan kenyataan yang berada di depanku.

************************************************** *******************

Tak sedar sudah seminggu aku bergelar isteri orang. Selama seminggu itu jugalah aku langsung tidak bercakap dengannya. Aku tahu itu dosa namun aku masih tidak mampu menerima kehadirannya dalam hidupku.

‘Malam ni Angah nak jumpa dengan akak..’

Hanya sms menjadi perantara di antara kami. Hakikatnya Angah dua tahun lebih muda dariku. Walaupun aku sudah menjadi isterinya namun panggilan itu tidak mampu diubah. Kadang-kadang aku jadi lucu dengan kehidupan kami. Jika seorang ke timur, yang seorang lagi ke barat. Aku sedar lirikan matanya setiap kali kami bertembung namun aku buat-buat tidak tahu. Menganggap hanya aku seorang berada dalam rumah itu.

‘Nak bincang apa?’

‘Adalah...’

Aku mengeluh. Mindaku membuat pertimbangan.

‘jam 8.30..di ruang tamu...’ Akhirnya aku buat keputusan.

tak nak jumpa kat rumah..Angah nak ajak akak keluar..’

Aku mengeluh lagi. Lantas aku menghempaskan diri ke katil. Tiada niat mahu membalas mesej itu. Tidak lama kemudian, handphoneku berbunyi menandakan panggilan masuk. Butang hijau ku tekan.

“Assalamualaikum.”

“Wa’alaikumussalam. Nak apa?”

“Kenapa tak balas mesej Angah?”Lidahku kelu untuk memberikan sebarang jawapan.

“Tak sudi ke nak keluar dengan suami akak ni?”Tiada jawapan untuk soalan itu juga.

“Angah tunggu akak kat bawah. Kalau akak tak turun Angah naik.” Lantas talian diputuskan.

Erk! Main ugut-ugut pula suami aku ni. Aku mengangguk tanpa suara walaupun sedar yang Angah tak nampak pun anggukan itu.

Usai solat Isyak, aku bersiap ala kadar. Ketika aku turun, Angah sudah sedia menungguku. Aku terpaku melihat Angah. Cukup santai dengan jeans dan t-shirt berwarna biru gelap. Bukan sebelum ini aku tidak pernah melihat dia berpakaian begitu, namun malam ini aku melihat dirinya lain daripada yang lain. Mungkin kerana dulu dia hanya adik angkatku dan kini dia suamiku.

Senyumannya mematikan lamunanku. Huluran tangannya ku sambut dengan rasa ragu-ragu.

“Sejuknya tangan akak.”Komen itu membuatkan wajahku membahang. Lantas ku cuba untuk menarik tanganku namun tidak berjaya. Angah hanya tersenyum.

Aduh! Malunya aku. Kenapalah masa-masa ni juga tangan ni nak sejuk.

Aku cuba untuk berlagak selamba namun aku sedar gerakan ku sumbang. Aku tidak mampu berlagak biasa dengannya. Mungkin dulu iya namun kini aku harus menjaga tertibku  sebagai isterinya.

Suasana dalam kereta sunyi. Aku hanya memandang keluar. Tidak tahu apa yang harus dibualkan. Angah juga diam cuma sekali sekala dia turut menyanyi kecil. Mengiringi lagu yang berkumandang di radio.

“Buruk sangat ke muka Angah ni?”soalnya.

“Hah?”aku berpaling dan memandang wajahnya. Aku langsung tidak mendengar apa yang dikatakannya sebentar tadi. Angah ketawa sambil menggelengkan kepala.

“Kenapa akak nervous sangat ni?Akak takutkan Angah ke?”

Gulp! Aku menelan liur. Nak jawab apa ni? Angah ni buat-buat tak faham pula. Janganlah tanya benda pelik-pelik. Akak tak tahu nak jawab apa.

“Err...”aku berdehem sedikit membuatkan Angah berpaling kearahku. Senyuman itu. Dulu aku selalu memuji senyumannya. Comel. Namun kini senyuman itu buat aku berdebar. Tabahlah wahai hati.

“Akak nak cakap apa?”Aku hanya menggeleng

“Erm..mesti nak cakap somethingkan. Go on.” Melalui ekor mataku, aku perasan yang dia masih memandangku. Aku menggeleng. Tanganku menggenggam erat purse di pangkuan.

“Tak nak cakap ke?”Aku menggeleng lagi.

“Okey.”Jawapan ringkasnya membuatkan ku berpaling. Wajahnya ku tatap. Okey?Apa-apalah dia ni.


Akhirnya sampai di tempat yang di tuju. Aku membelek tudung di kepala sebelum melangkah keluar dari kereta. Tangannya melingkar di pinggangku ketika kami sama-sama melangkah masuk ke restoran pilihan Angah. Aku hanya mampu membiarkan tindakannya biarpun aku rasa macam nak lari je.



Meja yang ditempah berada di satu sudut yang agak tersembunyi. Aku duduk berhadapan dengan kolam kecil dengan air pancutan yang berwarna-warni. Aku kagum dengan pilihan tempat itu. Memang mengasyikkan.


“Sampai di sini pun tak nak pandang muka Angah ke?”aku hanya menjelingnya sekilas. Soalannya dibiarkan tanpa jawapan. Tiba-tiba dia berdiri dan mengarahkanku untuk bertukar tempat dengannya.



Kini dihadapanku hanya dinding. Angah tersenyum puas. Keadaan ini memaksaku untuk berdepan dengannya.



“Akak nak makan apa?”aku tidak menjawab. Protes dengan tindakannya sebentar tadi. Angah tersenyum.



“Ni merajuk dengan Angahlah ni?”aku masih senyap. Kedatangan pelayan menyelamatkan seketika keadaan. Angah memesan dua nasi goreng kampung dan dua fresh orange.



“Akak tau tak yang Angah rindukan akak.”Kata-katanya yang tiba-tiba itu membuatkan ku lebih kaku. Tanganku dicapai dan dibawa ke mulutnya.



“Angah,akak minta maaf.”Hanya itu yang mampu ku luahkan sebelum menarik perlahan tanganku dari genggamannya. Angah mengeluh kecil.



“Angah faham kak. Bukan senang akak nak terima kenyataan yang kini Angah dah jadi suami akak tapi itulah kenyataannya. Angah dah lama tunggu peluang ni dan bila ia muncul, tak mungkin Angah akan lepaskan kerana sejak pertama kali berjumpa dengan akak, Angah dapat rasakan yang hubungan kita bukan setakat itu.”



“Tapi...”aku tidak mampu meneruskan kerana aku yakin dia faham apa yang bermain di benak ku.



“Tapi kenapa kak?kerana umur?”Aku mengangguk.



“Umur bukan sempadan kasih kak. Dan hubungan kakak dan adik angkat sebelum ini, bagi Angah adalah ikatan yang membolehkan Angah sentiasa berada di samping akak. Walaupun hati Angah terluka ketika melihat akak bahagia bersama abang Hakim.”Aku jadi sebak melihat kesungguhan Angah. Ketika dia menyebut nama Hakim, aku jadi bertambah sebak. Aku terlalu rindukannya.



Ya Allah...maafkan hamba-Mu ini kerana merindui lelaki lain ketika suami di depan mata.



Mungkin ini jodohku. Aku akan cuba menerimanya dengan hati yang lapang.



“Akak harap Angah akan bersabar. Akak perlukan masa untuk menerima perubahan ini. Akak perlukan masa untuk menerima Angah sebagai suami akak.”Hanya itu yang mampu ku luahkan tika ini.



“Ambillah sebanyak masa yang akak perlukan. Tapi...”Angah seperti ragu-ragu untuk menyatakan sesuatu.



“Tapi?”soalku.



“Perubahan pertama yang kita perlu ubah adalah panggilan kita. Nak panggil akak macam tak sesuai. Angah pun tak nak bahasakan diri Angah lagi.” Dahinya berkerut. Mungkin memikirkan gelaran yang sesuai untuk diri masing-masing.



Aku juga memikirkan benda yang sama sepertinya. Takkan aku nak panggil dia abang kut? Isk..tak nak lah aku. Lagilah aku rasa tak sesuai. Sayang? Definitely NO! Darling? Tak mungkin! Kenapalah idea ni tak nak keluar masa-masa macam ni. Aku garu kepala.



“Adam dan Hawa.” Perkataan yang keluar dari mulut Angah membuatkan ku terlopong. Adam? Hawa? Boleh ke? Tapi bila ku fikirkan semula, lebih baik dari sayang atau darling.



“Setuju,”kataku.



“Apa yang setuju?”soal Angah. Sengaja membuatkan ku malu.



“Yang Angah cakap tadi tu lah...”aku hempuk juga budak ni. Boleh buat muka bodoh macam tu pula. Dia ketawa. Aku senyum. Tak pernah ku menyangka yang Izran akan jadi suamiku. Ia memang satu kejutan namun aku bersyukur kerana ia lebih baik dari aku mengahwini seseorang yang tidak pernah ku kenali. Sekurang-kurangnya dia menyayangiku.

“Hawa, Adam pergi dulu.” Huluran tangannya ku sambut dan ku cium penuh hormat. Pelukan kejapnya dan ciuman di dahi membuatkan ku terpaku. Wajahku terasa panas.

“Adam akan rindukan Hawa.” Satu lagi ciuman dihadiahkan di pipiku.

Aku terpana. Sehingga dia hilang di balik pintu, aku masih di situ. Perlahan-lahan rasa bahagia menyelinap di hatiku.

“Ya Allah, seandainya dia lelaki yang Kau ciptakan untukku, dekatkanlah hati kami. Bukakan pintu hatiku untuk menerima dia seadanya.” Aku meraup wajah dengan kedua tangan. Memohon petunjuk agar hatiku ikhlas menerima Adam.

Tiba-tiba handphoneku berbunyi. Aku menatap screen handphoneku. Siapa agaknya? Butang hijau ku tekan.

“Assalamualaikum Esya.”Hampir terduduk aku mendengarkan suara itu. Suara lelaki yang meninggalkanku ketika hari pernikahan dulu. Suara lelaki yang merobek maruah keluargaku. Tapi suara itu juga yang ku rindui setiap masa. Ya Allah, betapa berdosanya aku.

“Maafkan Hakim kerana pergi tanpa pesan. Hakim tau apa yang Hakim buat salah tapi bagi Hakim peluang untuk menjelaskan apa yang berlaku. Hakim cintakan Esya.”Ayat terakhir itu membuatkan hatiku bertambah sakit dan sayu. Tanpa sedar airmataku mengalir.

“Hakim nak jumpa dengan Esya. Bolehkan?”Aku masih diam. Talian aku putuskan. Tidak mahu lagi mendengar suara lelaki itu. Berjumpa? Sedangkan mengingati lelaki itu pun aku rasa cukup bersalah pada Adam apalagi berjumpa.

Aku tidak akan turutkan kemahuan Hakim. Biarpun hati ini terlalu inginkan penjelasan itu.
Hari-hari sebagai seorang isteri sepenuh masa benar-benar membuatkanku letih. Bukan kerana terbeban dengan kerja rumah tetapi kerana aku amat merindui kerjaku sebagai salah seorang perunding majlis. Aku pernah menyuarakan hasrat untuk kembali bekerja namun Adam hanya diam.

Panggilan Anisah beberapa hari lalu benar-benar membuatkanku teruja untuk menyambung kembali kerjayaku itu.

“Kau tak nak ke kerja dengan kami lagi? Kami betul-betul rindukan kehadiran kau di sini.” Sebakku mendengar suara Anisah.

“Bukan aku tak nak tapi Adam tak benarkan,”balasku sayu. Aku terasa seperti kehilangan separuh dari jiwaku ketika menyerahkan surat perletakan jawatan tempoh hari.

“Kau pujuklah dia. Mesti dia bagi punya.”

“Bukan aku tak pujuk Anis, macam-macam aku dah buat. Tetap tak jalan.” Aku melepaskan keluhan kecil. Teringat di satu ketika aku mohon kebenaran dari Adam untuk terus bekerja. Adam tidak menjawab dan langsung tidak menghiraukan aku keesokan harinya. Aku pula yang terpaksa memujuk dirinya. Aku tidak faham apa yang membuatkannya tidak suka aku bekerja.

“Macam-macam?” Lain benar nada pertanyaan Anisah pada pendengaranku. “Boleh aku tau apa yang macam-macam tu?” Anisah ketawa. Aku garu kepala. Isk, kenapa pula ngan minah ni?

Lama aku terdiam. Terasa panas wajahku kala aku faham apa yang dimaksudkan oleh Anisah.

“Kau ni otak kuning betullah,”ucapku sedikit terjerit. Ketawa Anisah bertambah kuat.

“Jadi malam ni kau kenalah usaha lebih sikit tau. Biar berbaloi.” Anisah menyambung tawanya. Aku bertambah segan. Bukan apa, selama aku berkahwin dengan Adam hanya itu saja kewajiban sebagai isteri yang belum aku tunaikan. Aku belum bersedia dan Adam pun tidak pernah memaksaku.

“Melebih-lebih pula anak dara sorang ni. Dah tak sabar ke? Nanti aku bagitau kat Norman,”ugutku.

“Tak payah kau susah-susah nak bagitau. Dia tau yang aku ni dah gatal nak kahwin.” Aku geleng kepala namun ikut tertawa dengan jawapan Anisah. Cakap tak berlapik langsung.

“Teruk betullah anak dara Pakcik Ahmad ni.”

Dengan tawa yang masih bersisa Anisah kembali semula ke topik asal, “Tapi seriuslah Qila. Kitorang betul-betul perlukan khidmat pakar seperti kau. Lagipun sekarang ni banyak orang dah tempah nak buat event. Dengan kudrat aku, Sya dan Anum mana mampu nak selesaikan semua tu.”

“Nanti aku cuba ea. Tapi aku tak dapat nak janji apa-apa tau. Jangan mengharap sangat.”

Aku mengeluh lagi. Sehingga kini aku masih belum menyuarakan hasratku pada Adam.

Tiba-tiba aku dipeluk dari belakang. Aku sedikit terkejut tetapi wangian yang dipakai oleh Adam menghilangkan rasa terkejutku. Segera aku berpaling namun sekali lagi terkejut kerana melihatnya telah selesai mandi. Bila pula dia ni sampai? Aku garu kepala.

“Berat sangat ke masalah Hawa tu sampai Adam balik pun tak sedar?”soal Adam dan duduk di sebelahku. Aku tersengih.

“Hawa minta maaf. Betul-betul tak perasan tadi. Adam pun tak tegur Hawa masa sampai tadi.”

“Ingatkan siapa?”soal Adam lembut.

“Mana ada ingatkan siapa-siapa.”

“Owh, tak ingatkan Adamlah ni?”

“Taklah,”jawabku laju.

“Tak rindukan Adam?” Aku menggeleng.

“Langsung tak rindu?” Aku menggeleng lagi. Isk, janganlah tanya lagi.

“Betul?” Aku mengangguk.

“Okey.”Ringkas jawapan itu membuatkanku berpaling. Berkerut dahiku memandangnya. Okey? Suka sangat dia mematikan perbualan dengan perkataan itu. Apa-apalah Adam ni.

Adam berpaling, “Betul?” Kali ini tiada jawapan dariku. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Tiba-tiba dia meraih aku dalam pelukannya.

“Adam betul-betul rindukan Hawa. Setiap hari..,” bisiknya lembut di telingaku sebelum menghadiahkan ciuman di dahi dan kedua pipiku. Aku menelan liur. Tergamam dengan perbuatannya. Erm, masa ni aku kena buat apa ea? Isk...Adam. Janganlah macam ni.

“Err...Adam nak minum ke? Hawa ambilkan air ye.” Aku bingkas bangun.

Pantas Adam menarik tanganku sebelum aku sempat berlalu. Apalagi ni? Aku mula rasa berdebar.

“Duduklah dulu. Adam tak puas lagi tengok Hawa. ” Dengan rasa ragu-ragu aku mula duduk semula namun aku hanya tunduk. Tak mampu nak pandang mata Adam tu. Menggoda sangat. Menggoda? Teringat pesan Anisah sebelum sebelum berundur hari itu, “Jangan nakal-nakal tau.” Gulp! Aku tak nakal tapi Adam ni yang nakal.

Adam mengangkat wajahku dengan tangannya. “Hawa, Adam betul-betul cintakan Hawa sepenuh hati Adam. Sejak mula kita bertemu, Adam dapat merasakan yang Hawa akan jadi milik Adam. Setiap malam sebelum tidur, Adam mohon pada Allah agar panjangkan jodoh kita. Alhamdulillah, doa Adam makbul. Adam betul-betul berterima kasih kerana berpeluang menjadi sebahagian dari hidup Hawa biarpun Adam sedar bukan Adam yang ada dalam hati Hawa.”

Anak matanya ku pandang. Terpancar sinar keikhlasan pada wajahnya. Dan keikhlasan itulah yang membuatkanku makin serba salah. Debaran di dada mula bertukar rentak. Aku harap agar Adam tak mendengar degupan jantungku tika ini.

“Adam, Hawa pun bersyukur kerana Adam menjadi suami Hawa. Hawa sayangkan Adam tapi sayang itu masih lagi sayang seorang kakak pada adik. Bagi masa pada Hawa untuk menyayangi dan menerima Adam dengan ikhlas sebagai suami Hawa.”

Terdengar keluhan Adam. Dia hanya mengangguk lemah. “Adam akan sentiasa tunggu Hawa. Kerana Hawa memang tercipta untuk Adam.” Aku terasa ingin menangis kala Adam kembali meraihku dalam pelukannya.

“Hawa masih ingatkan Abang Hakim?” Aku tersentak. Teringat kembali panggilan Hakim beberapa minggu lalu. Hanya sekali Hakim cuba menghubungiku. Perlukah aku maklumkan pada Adam mengenai panggilan itu? Mungkin ini bukan masa yang sesuai.

“Adam, bohonglah jika Hawa katakan yang Hawa telah lupakan semuanya tentang Hakim. Dia hampir jadi sua...” terhenti kata-kataku. Terlukakah dia jika aku teruskan? Perlahan pelukan dileraikan. Renungan matanya seperti meminta aku untuk meneruskan kata yang terhenti.

“Dia hampir jadi suami Hawa dan selama ini itu yang Hawa harapkan. Tetapi setelah dia tinggalkan Hawa hari itu, Hawa yakin yang dia bukan milik Hawa. Setelah Adam lafazkan akad, Hawa sudah berjanji dengan diri yang Hawa akan lupakan semua tentang Hakim.”

Walaupun Hawa sebenarnya tidak mampu. Ayat itu hanya terlafaz dalam hati.

Adam tersenyum namun senyumnya tawar.
Seperti biasa pada hujung minggu, kami akan sama-sama minum petang di taman kecil di depan rumah. Berhati-hati aku menatang dulang di tangan.

“Hati-hati,” terdengar suara Adam. Aku hanya menjeling dengan ekor mata. Aku tau dia menyindirku. Minggu lepas aku terpelecok ketika mengangkat dulang ke luar rumah. Bukan main Adam ketawa. Tak ingat dunia langsung. Nasiblah aku dapat suami macam tu. Aku menggeleng.

“Mengumpat Adam lah tu..” erk! Dia tau ke? Aku buat tak tau.

Adam dengan glasses nampak lain dengan Adam tanpa glasess. Nampak lebih berkarisma dan kacak. Kacak? Isk, terpuji pula. Hehehe.. Tak kisahlah. Suami aku juga. Aku tersenyum sendiri.

“Baru hari ni nak pandang Adam? Sebelum ni bila Adam suruh tak nak pandang pun.” Terkejutku dengan kata-kata Adam. Panas wajahku. Dia tersenyum memandangku yang serba tak kena.

“Pandanglah, tenunglah. Suami Hawa jugakan.” Sekali lagi ku tersentak. Gulp! Bomoh ke suami aku ni? Asyik tahu je apa yang aku fikirkan.

Aku membuang pandang ke kiri. Bukan apa, saja nak larikan mata ni. Itulah, tadi gatal sangat nak tenung-tenung.

“Eh!” Suara Adam membuatkanku berpaling. Dia tersenyum. Jatuh jantungku melihat senyumnya itu.

‘Jeling-jeling...kau menjeling...
Senyumanmu menggoda...
Lama-lama dalam diam...
Aku jatuh cinta....’

Aku masih memandang Adam. Terpaku pandangan ku sebentar. “Hawa...” Lembut suara Adam menyapa pendengaranku. Aku tersentak. Isk,,,dah lagu dangdut pula hati aku ni. Jatuh cinta? Betul ke? Aku menggeleng lalu bergegas berlari masuk ke dalam rumah.

Aku terus ke bilik. Dapat ku rasakan aura panas wajahku. Ku melekapkan tanganku di dada. Cuba merasa degupan jantung. Lajunya. Masih irama dangdut jantung aku ni. Hai jantung, kembalilah berdegup dengan normal. Aku malu ni.

Bunyi handphone mengejutkan aku dari terus termenung.

‘Mlm ni kita mkn kat luar. Pakai baju yang Adam belikan.’

Baju yang Adam belikan? Baju mana? Handphoneku ber’nyanyi’ lagi.

‘Ada kat dalam almari.’

Memang bomoh Adam ni. Aku tertawa kecil. Perlahan menuju ke almari, mencari baju yang dimaksudkan Adam. Mataku terpandang pada sehelai jubah berwarna merah. Cantik! Dengan potongan moden dan ringkas, memang menepati citarasaku. Pandai juga dia pilih. Dan warna merah memang warna kegemaranku.

Selesai sahaja solat isyak, aku terus bersiap. Aku hanya mengenakan make up tipis kerana aku tak tau nak make up tebal-tebal. Nanti aku make up tebal-tebal, Adam tak kenal pula. Jubah itu ku padankan dengan tudung hitam merah. Membelek sebentar penampilanku sebelum turun.

Ku mencari kelibat Adam di ruang tamu namun tiada. Tiba-tiba pinggangku dirangkul dari belakang dan sebuah ciuman singgah di pipi kananku. Aku rasa terpukau melihat Adam. Sungguh kacak dengan tuxedo hitamnya.
“Nak lagi?”soal Adam. Aku cepat-cepat meleraikan rangkulannya dan menjauh. Adam tertawa. Debaran petang tadi kembali.Aku jadi gelisah.

‘Beginikah rasanya...
Sakit asmara...
Siang malam gelisah...
Ingin bersama....’

Oh hati, sudah-sudahlah dengan lagu dangdut tu. Ku tepuk dadaku perlahan. “Malu tapi mahukan?” Adam masih mengusik.

Aku ketap bibir. Ni lagi sorang. Tak habis-habis nak mengusik.

“Nak pegi ke tak nak? Kalau tak nak, Hawa nak naik tukar baju.” Balasku.

“Sejak bila pula Hawa pandai merajuk dengan Adam ni?” Merajuk? Tak de masa aku nak merajuklah. Baik aku potong rumput kat belakang rumah dari merajuk dengan dia ni. Isk! Potong rumput? sanggup ke? Selama ni Adam je yang 'menuai' ladang rumput kat belakang tu. Aku sembunyikan senyum.

“Jom!” Adam kembali merangkul pinggangku. Sengaja ku keraskan badan. Adam berpaling.

“Nak Adam angkat?”bisik Adam perlahan di telingaku. Cepat aku bergerak ke depan mendengar suaranya. Romantik gila! Adam ketawa lagi. Tak tahu kenapa malam ni aku tak menjawab sangat. Dari petang tadi hati berdebar-debar je.

Sepanjang perjalanan suasana sunyi. Hanya suara dj radio sahaja yang menemani kami. Tiba di tempat yang dituju, aku terkejut. Nak makan kat sini? Biar betul Adam ni. Ku pandang Adam, senyumannya seperti mengiyakan pertanyaan dihati.

Aku berdehem. Masih tidak percaya. Adam keluar dan membukakan pintu kereta untukku. Tangannya yang dihulur ku sambut.

“Betul ke nak makan kat sini?” Adam senyum lagi. Isk, pakai baju macam ni lawa tapi nak makan kat pondok ni? Dah lah buruk, gelap pula tu. Meremang bulu roma aku.

“Adam...” aku serba salah nak cakap.

“Kenapa? Tak sudi ke?” Dia mengerutkan dahi. Ni yang aku lemah nak jawab ni. Kalau aku tau tadi, baik aku pakai seluar jeans je. Tak payahlah nak rosakkan baju mahal ni.

Aku hanya menggeleng dan mengikut dia melangkah. Selangkah, dua langkah, tiga langkah, aku menarik tangan Adam. Dia berpaling dan aku menggelengkan kepala.

“Nak balik...” Adam eratkan genggaman tanganku. Mungkin dia takut aku lari kut. Takkanlah aku nak lari, dah lah tempat ni menyeramkan. Aku kembali ikut dia melangkah. Tiba-tiba satu cahaya terang menyuluh ke arah kami. Aku yang memang dah sedia takut jadi terkejut. Perkara terakhir yang aku ingat, aku jatuh. Gelap....
“Hahahaha….” Kak Chik masih ketawa. Aku jadi malu. Tak sudah-sudah lagi ke? Isk… Aku garu kepala yang tak gatal. Pandangan minta simpati ku berikan pada Adam.

“Sudahlah tu kak. Hawa bukannya sengaja nak pengsan.” Terbeliak mataku memandang Adam. Dia ni nak bela aku ke, saja nak perli aku? Tak boleh jadi ni. Aku menghadiahkan satu cubitan di lengan Adam sebelum melarikan diri ke bilik. Sempat ku dengar Adam mengaduh. Padan muka!

“Qila, akak gurau je lah,” kuat suara Kak Chik menembusi telingaku namun geram kerana dipermainkan, aku tak menghiraukan panggilan Kak Chik.

Aku memandang ke luar tingkap, terasa nak menangis pun ada.

“Marahkan Kak Chik ke? Kak Chik gurau je tu..” bisik Adam. Tak perasan bila Adam masuk. Sebab asyik sangat melayan perasaan kut.

“Siapa kata Hawa marahkan Kak Chik?” Lantas aku berpaling menghadap Adam. Senyuman itu! Start dah jantung ni nak buat rentak dangdut.

“Habis tu, marahkan Adam lah ni ea?” Isk! Itulah nak menjawab sangat. Kan dah tak terkata. Perlahan-lahan Adam menghampiri dan perlahan juga aku berundur ke belakang hinggalah pergerakanku terhalang oleh dinding. Siapalah yang buat dinding kat sini. Mana aku nak lari ni?

Tiba-tiba terdengar suara Kak Chik. Aku berdehem, “Kak Chik panggil tu..” Adam tertawa. Aku senyum sebelum berlalu.

“Kalau iya pun nak bermanja, agak-agaklah..” usik Kak Chik.

“Mana ada kak.”

“Kalau ada pun, apa salahnya. Bukan orang lain. Suami awak juga.” Aku hanya mampu senyum. Tak kuasa nak balas. Nanti kalau Kak Chik dah mula bersuara, tak boleh dihalang.

“Kak Chik nak balik ni. Jangan lupa tau, seminggu lagi balik kampung. Ingatkan Izran. Jangan pula awak balik sorang.” Pesan Kak Chik.

“InsyaAllah kak.” Kak Chik berlalu tanpa bertemu dengan Adam. Pelik pula. Apa yang dia buat kat atas tu? Pintu bilik ku ketuk perlahan. Tiada jawapan.

“Buat apa tu?” Ku lihat handphoneku berada dalam genggaman Adam. Hatiku merasakan sesuatu yang tidak enak. Adam menghulurkan handphone kepadaku tanpa dia berpaling. Masih tunduk seperti tadi. Apa yang tak kena?

‘Esya, Hakim rindukan Esya.’

Jantungku berdegup laju. Aku betul-betul tidak bersedia menghadapi keadaan ini. Handphone ku genggam erat.

“Adam, Hawa boleh terangkan..”

“Kenapa tak beritahu Adam yang Hawa berhubung dengan Abang Hakim?” sayu suara Adam pada pendengaranku. Aku tidak mampu bersuara. Yang aku sedar airmataku laju meninggalkan empangannya.

“Patutlah Hawa tak boleh terima Adam. Rupanya Hawa masih mengharapkan Abang Hakim. Kenapa tak berterus terang?”

“Adam…”

“Sudah berapa lama Hawa berhubung dengan dia?” Potong Adam. Terasa sakit kerongkongku untuk mengeluarkan kata-kata.

“Nyata Adam tak mampu bahagiakan Hawa. Adam minta maaf. Mungkin Adam tidak sepatutnya muncul dalam hidup Hawa.” Airmata semakin deras membasahi pipi. Aku menghampiri meja solek, mencari tempat untuk berpaut. Tidak mampu untuk terus berdiri.

“Adam, Hawa…”
“Tak apa. Adam faham. Tempat Adam bukan di sini.” Perlahan dia meninggalkan aku. Tidak sedikit pun memberi aku ruang untuk membela diri. Aku hanya mampu memandang pemergiannya tanpa suara. Hanya tangisan kedukaan mengiringinya.

Maafkan Hawa! Hakim bukan siapa-siapa lagi dalam hidup Hawa. Hawa sayangkan Adam… Semua itu hanya mampu terluah di dalam hati. Hakikatnya, Adam telah pergi meninggalkan aku.

“Ya Allah, betapa berdosanya aku kerana telah mengecewakan suamiku. Maafkan hamba-Mu ini Ya Allah. ”

Sepanjang malam itu aku berjaga. Menanti kepulangan Adam di ruang tamu namun kecewa. Aku terjaga ketika terdengar sayup-sayup azan Subuh berkumandang. Tidak sedar bila aku terlelap.

Terimbas kembali segala kejadian yang berlaku malam tadi. Bergegas aku berlari ke bilik, mencari kelibat Adam. Tiada! Di bilik bacaan, juga tiada. Aku kecewa. Nyata dia tidak balik malam tadi.

Adam, maafkan Hawa! Aku menangis lagi.
Aku menarik nafas sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.

“Assalamualaikum,” laungku.

“Wa’alaikumussalam. Qila!”Lantas mama memelukku. Sepanjang aku menjadi isteri, inilah pertama kali aku menjejakkan diri ke kampung. Bukan merajuk tetapi mahu menunjukkan perasaan protesku pada mama atas perkahwinan tak dirancang antara aku dan Adam.

“Lama Qila tak balik. Mama rindu.” Luah mama dalam tangisannya.

“Qila pun rindu mama.” Lama mama menatap wajahku. Qila minta maaf ma! Hanya terluah dalam hati. Betapa besar dosaku pada mama. Mama menarikku ke dalam rumah. Terasa amat rindu pada rumah ini. Di sinilah tempatku membesar, juga tempatku di satukan dengan Adam. Adam! Airmataku kini mengalir lagi. Bukan kerana mama tetapi kerana teramat merindui Adam.

“Izran tak balik sekali?” Tersentak aku dengan pertanyaan mama.

“Erm, dia tengah kursus ma. Kalau sempat dia balik lah,” ujarku mencipta alasan. Ku lihat dahi mama berkerut. Apa lagi yang tak kena ni?

“Dia tak pula bagitau mama yang dia ada kursus.”

“Err..dia ada call mama ke?” Mama mengangguk. Ingin bertanya lebih lanjut tapi aku tak mahu mama syak apa-apa.

“Kak Tia mana ma?” Soal ku cuba menukar topik. Mama hanya memandangku.

“Qila ada masalah ke dengan Izran?”soal mama. Direct!! Tak ada bunga-bunga bahasa lagi. Gulp! Apa aku nak jawab ni..

“Tak adalah mama. Qila dengan dia ok je.” Aku menjawab tanpa memandang mama. Aku tau mama mula curiga.

“Qila jangan nak bohong mama. Mama tau anak mama.” Mama janganlah tanya lagi, Qila sedih ni…

“Erm…”

“Assalamualaikum..” Huh! Selamat aku. “Wa’alaikumussalam.” Jawab aku dan mama serentak lantas aku menjengukkan kepala ke luar. Hampir pengsan aku melihat gerangan lelaki itu. Hakim! Pandangan ku hala kearah mama.

“Makcik..” Hakim menghulurkan tangan namun tak bersambut. Aku tau yang mama masih menyimpan marah tentang kejadian hari itu.

“Berani lagi nak pijakkan kaki ke rumah ni?! Kamu tau tak yang kamu betul-betul dah malukan aku.” Tegas suara mama. Ku lihat Hakim tunduk memandang lantai. Mungkin mencari kata-kata yang sesuai untuk diluahkan.

“Saya datang nak minta maaf makcik. Saya tau saya yang bersalah.”

“Kamu ingat dengan maaf tu boleh tarik balik kata-kata orang kampung? Betapa malunya aku bila tiba-tiba kamu hilangkan diri..” Aku genggam tangan mama.

“Apalagi yang kau mau Hakim? Tak sudah-sudah lagi kau nak sakitkan hati keluarga aku?” Mama melangkah masuk ke bilik. Aku tau yang kehadiran Hakim membuka kembali sejarah hari itu.

“Qila suruh dia balik! Dia tak layak nak pijakkan kaki ke rumah ni lagi!” Laung mama dari bilik. Dari getar suara mama aku tau yang mama benar-benar terluka.

“Kau dah dengarkan. Jadi aku rasa lebih baik kau balik je.”

“Esya, Hakim nak minta maaf. Hakim sayangkan Esya. Hakim tau yang Hakim tak sepatutnya tinggalkan Esya hari tu. Hakim…”

“Sudahlah. Aku tak nak dengar apa-apa lagi. Baik kau pergi sekarang.” Tiba-tiba Hakim menarik tanganku. Digenggamnya erat. Kalau dulu aku mesti berdebar tapi kali ini hanya rasa meluat yang tinggal. Kerana dia Adam pergi dan kerana dia juga mama menangis. Ku cuba melepaskan genggamannya namun dia semakin mengeratkannya.

“Esya, bagi Hakim satu lagi peluang. Hakim janji yang Hakim takkan sia-siakan Esya lagi.” Rayu Hakim sepenuh hati. Aku tertawa. Ketawa yang dibuat-buat.

“Sudah terlambat Hakim. Aku dah kahwin.” Jelas di wajah Hakim yang dia terkejut dengan berita itu.

“Mustahil. Hakim tau yang Esya sengaja nak buat cerita tu kan? Sengaja nak seksa Hakim, sakitkan hati Hakim.” Aku menggeleng. Wajah lelaki di hadapanku ini ku tatap. Lelaki yang pernah ku dambakan untuk menjadi wira hidupku suatu ketika dulu.

“Dalam soal ni aku tak pernah bergurau. Apalagi dengan lelaki yang telah melukakan hati aku. Aku sudah berkahwin dengan Izran.”

“Izran?Angah?” Tentulah dia terkejut. Angah yang dulu adik angkatku kini suamiku.

“Tapi, bagaimana….?” Kelu lidah Hakim. Terduduk dia di tepi pintu.

“Jangan persoalkan bagaimana tetapi persoalkan kenapa?” Dia tertawa kecil. Mungkin tidak menyangka berita itu yang akan didengarnya.

“Hawa…” Serentak aku dan Hakim berpaling.
Adam! Jerit hatiku. Terasa ingin berlari mendapatkannya. Airmataku mengalir tanpa mampu ku tahan. Jantung ku berdegup laju. Wajah itu, suara itu, aku amat merinduinya.

“Adam....”lemah suara ku. Namun Adam hanya menjelingku. Tiba-tiba Hakim mendekati Adam dan menghadiahkan satu tumbukan tepat di pipi kiri Adam. Terduduk Adam di tepi tangga.

Aku tersentak dan yang lebih mengejutkanku adalah bagaimana aku boleh berada di depan Hakim dengan tangan terasa pedih. Hakim lebih terkejut dengan tindakanku. Aku tampar Hakim? Biar betul! Beraninya aku. Dengan airmata masih mengalir, aku tertawa di dalam hati.

“Esya....”

“Baliklah. Jangan cari aku lagi. Aku dah tak perlukan lelaki lain lagi kerana aku dah ada Adam. Aku sayangkan dia.” Tidak mahu memberi peluang untuk Hakim meneruskan kata-kata. Perlahan Adam bangun dan mendekati ku.

“Abang, Qaleesya Aqila kini isteri saya. Dia bukan lagi perempuan yang boleh abang cintai. Maafkan Angah tapi saat abang tinggalkan Hawa hari itu, Angah dah berjanji yang takkan sekali-kali membiarkan Hawa jatuh lagi ke tangan lelaki tak bertanggungjawab macam abang. Abang baliklah. Angah akan jaga Hawa lebih baik dari abang.” Kata-kata Adam buat aku jadi lebih sedih. Bagaimana aku boleh melukakan hati lelaki sebaik Adam? Ya Allah, kini ku sedar, aku mulai mencintai suamiku. Berilah ku peluang untuk membahagiakan dia.

“Kau memang...” Hakim menuding jarinya tepat ke muka Adam. Tanpa menghabiskan  ayatnya Hakim terus berlalu. Aku melepaskan keluhan lega.

Adam memandangku sebelum masuk ke dalam rumah. Aku hanya menurut dari belakang. Ingin bersuara namun masih belum bersedia.

“Sakit ke?” soalku. Adam diam dan terus berlalu ke bilik tanpa sikit pun memandangku. Dia masih terasa hati ke? Apa aku nak buat ni. Dahlah aku gagal bab pujuk memujuk ni. Isk!! Aku garu kepala yang tak gatal.

“Dah balik budak tu?” Tiba-tiba mama muncul dari belakang. Hampir aku terlompat. Aku mengurut-ngurut dadaku.

“Mama ni, lain kali bagilah salam dulu kalau nak sergah Qila. Nasib baik tak de sakit jantung. Kalau ada confirm jalan,” rungutku. Mencerlung mata mama mendengar aku berkata begitu. Mama menepuk mulutku perlahan.

“Dah tak sabar ke sampai cakap macam tu?” aku hanya tersengih sambil memegang bibirku. Padan muka aku. Kan tak pasal-pasal kena marah. Hehehe....

“Sorry!”

“Kata-kata itu doa tau. Kan mama selalu pesan, nak bercakap tu biar bertapis.” Aku terus memeluk mama dari belakang.

“Ok..ok...” Mama mengusap lenganku perlahan. “Kenapa ni?”

“Ma, Qila rindukan Izran.” Perlahan suaraku. Tak pula aku maklumkan pada mama tentang kepulangan Adam.

“Kenapa ni?Qila ada masalah ke dengan Izran?”

“Qila cintakan Izran ma..” ayat itu terlafaz dengan sepenuh rasa. Betapa sakit menanggung perasaan itu. Seminggu kehilangan Adam, memberi aku ruang untuk menilai sendiri hatiku. Kini aku betul-betul pasti, cintaku telah beralih arah.

“Qila, mama kenal Izran tu. Dia baik. Selama Qila menyepi dulu, tak pernah sehari pun dia terlepas dari menghubungi mama. Panggilan-panggilan Izran buat mama terasa dekat dengan Qila. Mama tak pernah menyesal menyerahkan Qila di bawah jagaan Izran. Walaupun dia muda dari Qila tapi dia lebih matang. Izran selalu mengadu kat mama yang Qila ni nakal..” Terkejut aku mendengar kata-kata mama. Adam berhubung dengan mama? Kenapa aku tidak pernah tau? Pandai dia pula dia berahsia dengan aku. Tapi satu yang betul-betul menarik perhatianku adalah ayat terakhir mama. Nakal? Aku? Isk!! Part bila pula aku nakal ni?

“Mana ada Qila nakal ma. Qila ni lah isteri paling baik tau. Dia kut yang nakal, kata orang pula.” Mama tersenyum. Mama menarikku agar berhadapan dengannya. Pipiku di usap perlahan.

“Tak sangka Qila dah besar. Dah jadi isteri orang pun.” Mama mengucup kedua belah pipiku. Sebak pula hatiku.

“Mama ni, nak ‘touching-touching’ pula.” Gurauku. Sekadar mahu mengusir sebak di hatiku. Tak mahu menangis di depan mama. Malu! Aku senyum sendiri.

“Izran sayangkan Qila. Terlalu sayangkan Qila. Setiap kali dia telefon mama, dia sentiasa bercerita tentang Qila.”

“Qila tahu ma. Malah kata-kata cinta itu sentiasa meniti di bibir Izran hinggalah Qila lukakan hati dia. ” Semua ku ceritakan. Bermula saat Hakim menghubungiku dan hinggalah saat Adam menghilangkan diri.

Tiba-tiba muncul Adam di sebalik pintu. Terkejut mama melihatnya. Aku pula buat muka selamba biarpun dalam hati dug dag dug dag. Mama menjelingku. Aku buat tak nampak. Mesti mama bengang kerana aku sembunyikan berita kepulangan Adam. Tangan dihulur dan dia mencium tangan mama penuh hormat lantas mengambil tempat di sebelahku.

Aku mengerling sekilas. Ada sedikit lebam pada pipi kirinya.

“Kenapa cakap pada mama? Tak cakap pada Adam?” Adam berbisik di telingaku. Bertambah laju pula degupan jantungku. Gulp! “Qila masuk dulu...” Lantas aku berdiri meninggalkan mama serta Adam di ruang tamu.
Masuk saja ke dalam bilik, aku melepaskan keluhan lega. Adam dengar ke apa yang aku cakap dengan mama tadi? Terasa panas wajahku. Harap-haraplah dia tak dengar.

Mataku tertancap pada diari yang berada di atas meja solek. Sejak bila pula aku letak diari aku atas ni? Jangan-jangan...?!

Satu demi satu helaian ku selak.

Kenapa sejak akhir-akhir ni hati aku asyik berdangdut je bila tengok Adam? Isk... hati,, janganlah macam ni....

Adam : Dangdut? Tak tahu pula Hawa suka dangdut....hehehe...

Panas!!

Hari ni aku rasa macam rindu pula dengan dia. Hehehe...sejak bila aku pandai rasa macam tu kat Adam? Hoi hati, janganlah rindu-rindu...sakit ni...

Adam : Adam pula sentiasa rindukan Hawa. Dari dulu lagi..

Merah padam mukaku membaca setiap helaian diariku di conteng oleh Adam. Geram pun banyak ni.

Adam perasanlah tadi aku tenung dia...malunya! tapi, tak pelah..bukan kena bayar punkan..hehee..suami aku juga..

Adam : Oh...jadi selama ni Hawa suka curi pandang Adam ea..nak kena denda ni...

Erk!! Denda? Ada pula...Ku selak ke helaian di mana hari dia pergi meninggalkan aku.

Adam pergi..dia dah tinggalkan aku...semuanya kerana rahsia lelaki itu!!

Adam : Adam tak pernah pergi jauh dari Hawa..

Sebaknya!

Ya Allah,aku tidak mampu kehilangannya..

Adam : Hawa tidak akan pernah kehilangan Adam lagi selepas ini kerana tempat Adam di sisi Hawa.

Adam..kembalilah pada Hawa..Hawa perlukan Adam untuk meneruskan hidup ni...Adam dah jadi sebahagian dari diri Hawa...Hawa minta maaf kerana merahsiakan tentang Hakim dari Adam tapi percayalah, Hawa tak berniat pun... Hawa Cuma tak mahu Adam merasa yang Adam tak penting..seperti yang terjadi kini..Hawa cintakan Adam..Demi Allah,, Hawa sedar yang cinta Hawa kini milik Adam..

Adam : Hawa, Adam percayakan Hawa. Adam pergi bukan kerana terluka tetapi ingin beri Hawa ruang untuk menyedari tentang hati dan perasaan Hawa. Tak pernah sedetik pun Hawa hilang dari hati Adam. Hawalah jantung hati Adam. Adam juga amat menyintai Hawa. Percayalah sayang... betapa sehingga hari ini, inilah saat-saat yang Adam tunggu. Saat di mana Adam diyakinkan bahawa cinta Hawa hanya milik Adam sepenuhnya.

Airmataku tumpah lagi.

p/s : Malam ini juga Adam nak tuntut sesuatu dari Hawa...boleh?
Tuntut sesuatu? Isk, tuntut apa pula ni? Aku mengesat airmata ku. Tidak faham dengan catitan Adam itu.

Pintu bilik dikuak. Tersembul wajah Adam di balik pintu. Aku tunduk. Malu ar! Dia dah baca diari aku.Semua benda yang aku kutuk dan puji dia dah baca.

Dia menarikku ke dalam pelukannya."Terima kasih,”ucapnya dan mengucup lembut dahiku.Gulp!Ni yang buat aku betul-betul rasa macam nak lari ni.

“Kenapa ni? Hati tengah nyanyi lagu dangdut ke?” Adoi! Panasnya bilik ni. Kenapalah tak pasang aircond dulu. Soalan Adam itu buat seluruh badan terasa panas. Bukan sebab apa tapi sebab malu. Dah lah baca diari orang tanpa kebenaran, boleh lagi diungkit-ungkit perkara tu. Isk! Apalah Adam ni.

“Sayangkan Adam tak?” Sunyi.

“Sayangkan Adam tak?” Sunyi lagi. Adam memegang daguku.

“Sayangkan Adam tak?” isk! Tak de soalan lain ke? Cubalah tanya dah makan ke, dah mandi ke? Tau juga aku nak jawab. Ni soalan cepu emas tu juga nak ditanya. Aku tak tau nak jawab apa!

“Sayangkan Adam tak ni?” Aku membentak. Dalam hati je. Hehehe..Nanti dia hilang lagi aku juga yang merana. Aku angguk.

“Angguk tu tanda apa?”

“Sayanglah!”jawabku sedikit kasar.

“Kasarnya.” Terdengar Adam tertawa kecil. Aku tunduk. Berat sangat nak angkat kepala ni. Malu tak tertanggung. Hehehe...

“Hawa dah baca note Adam yang last tu?” Aku mengangguk.

“So?” So? Boleh dia tanya aku pula. Mana aku tau. Apa yang nak dituntut tu pun aku tak tau.

“So?” Soalku semula. Adam senyum. Semacam je senyum Adam ni aku tengok. Aku garu kepala.

“Tak faham?” Aku geleng kepala. Adam tepuk dahi. Minyak diesel betullah isteri aku ni.

“First night.”Direct!

Huh?! Sempat aku berfikir jap. First night?

“Malam ni Hawa tidur dengan mama.”Laju aku meninggalkan bilik itu. Seram! Terdengar kuat tawa Adam.

Aku tersenyum. Akhirnya aku masih berpeluang mendengar tawa itu. Terima kasih kerana kembalikan Adam padaku Ya Allah. Terselit rasa bahagia di sebalik semua kejadian yang telah berlaku. Aku amat bersyukur, Adam kini kembali ke pangkuan Hawa.


Comments
0 Comments
    
    

0 comments:

Post a Comment