Tuesday, December 20, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Disebalik Tirai Hati~

Sesetengah nikmat itu hanya datang sekali tetapi bersyukur kena selalu...

Ada sepasang suami isteri yang hidup bahagia. Tidak ada kurangnya bagi pasangan yang dilimpahi dengan kemewahan ini kecuali satu, mereka tidak punya anak walaupun telah lama berumah tangga. Sering mereka bercerita tentang betapa indahnya hidup sekiranya punya seorang anak penyejuk mata. Rasa ini bergolak hebat apabila melihat kepada jiran sekeliling yang sentiasa riuh rendah dengan bunyi hilai ketawa anak-anak, kadang-kadang tangisan nyaring.

Susun atur dalaman rumah mereka yang rapi, kekemasan sentiasa pada tahap maksimum dan semua benda mesti berjalan seperti yang dirancang dan dijadualkan. Rutin hidup mereka semuanya berjalan seperti dalam catatan diari dalam kerapian tahap tinggi. Nota semakan kerja rumah tergantung pada peti ais, pada white board pula senarai semakan keberkesanan, perancangan pula dalam buku management tersendiri. Dengan tekun semua ini diulang-ulang saban hari, minggu dan tahun.

Pada satu hari yang indah, si isteri bergegas memberitahu jiran tetangga berita gembira yang dikongsi bersama dengan sambutan syukur hampir seluruh kawasan kejiranan berhampiran. Menurut doktor, dia bakal menimang cahaya mata. Kegembiraan jelas terpancar pada pasangan ini, ucapan tahniah datang mencurah-curah.

Begitu pantas masa berlalu. Akhirnya sampailah saat yang mendebarkan, anak yang ditunggu dilahirkan dengan selamat. Bayi lelaki comel ini benar-benar memberi sinar pelengkap kasih sayang di dalam rumah itu.

Tiga tahun berlalu, anak lelaki ini membesar dengan sihat dan subur, sesubur perhatian dan belaian daripada ayah dan ibu. Namun berlaku sesuatu yang tidak diduga oleh ibunya selama ini. Anak lelaki ini mempunyai perangai yang seratus peratus berbeza dengan sikap ibunya. Kalau ibunya sangat kemas, anak lelaki ini akan mengeromot segalanya. Rumah yang selama ini kemas teratur sering kali bertukar wajah menjadi seperti lepas perang, kena penangan anak ini. Keadaan tidak terkawal, anak ini mungkin telah dimanjakan berlebihan.
Si ibu merintih derita. Apa yang berlaku ini bertentangan sama sekali dengan kanun dirinya. Semua mesti sempurna! Sampai pada tahap ini si ibu selalu terlanjur cakap bahawa mempunyai anak sebenarnya satu kesilapan. Anak bukan penyejuk mata sebaliknya peragut ketenangan.

Bagi mendidik si anak, si ibu terpaksa menggunakan sedikit kekerasan, cubit, rotan dan meminta dia berikrar untuk tidak mengulanginya kembali.
“Mama, abang minta maaf … Abang tak akan ulang lagi.” Itulah ungkapan yang diajar setiap kali kesalahan dibuat.
Satu lagi tabiat yang pelik bagi anak ini ialah dia akan mengoyak kertas yang dijumpainya dan dibiarkan bersepah merata-rata. Cubitan dan kemarahan tidak berjaya mengubah tingkah lakunya, dia masih dengan tabiat menyepah-nyepah, kemudian rumah jadi bingit dengan leteran dan bahang kemarahan ibu. Begitulah yang sering berlaku.

Pada suatu hari si ibu bergegas mengemaskan rumah kerana kawan lamanya bakal datang melawat. Dia ke dapur memasak hidangan kepada tetamu yang bakal datang.
Bila dia membawa makanan untuk dihidangkan, alangkah terkejutnya apabila dia melihat ruang tamu bersepah, sofa tunggang langgang dan koyakan kertas bertabur di mana-mana.
“Abang … mari sini!!” Jerit si ibu memanggil anaknya lebih kuat daripada biasa. Kemarahannya mencecah siling kesabaran dan membakar rentung ladang hemahnya.
Si anak ketakutan lalu lari meluru ke arah pintu. Si ibu mengejar dari belakang. Nafasnya tertahan-tahan menahan marah. Kaki anak melangkah keluar dari rumah dengan larian deras. Sesaat dia telah berada di hadapan pagar.

Tiba-tiba terdengar satu bunyi hentaman keras. Larian ibu terhenti. Wajah terasa basah terpercik sesuatu. Dia terpaku … Alangkah terkejutnya apabila melihat anaknya menggelupur kesakitan berhampiran longkang besar di tepi rumahnya. Basah di muka tadi rupanya adalah darah anaknya.

Dia tidak mempedulikan lagi pada kereta yang melanggar, dia meluru mendapatkan anak dan merangkulnya. Darah merah ada di mana-mana, dada anak berombak-ombak, tubuh kekejangan, terdengar bunyi rengekan menahan sembilu kesakitan yang amat. Tanpa berlengah dia terus memandu keretanya, anak diletakkan ke atas ribanya, tubuhnya kini dibasahi darah merah segar anaknya, dia terus memecut laju ke hospital.
“Ya Allah … tolonglah selamatkan anakku ini.” Doanya dalam raungan kuat sambil memandu laju. Hon dibunyikan bertalu-talu minta laluan daripada pemandu lain.
“Ya Allah … aku tahu aku gagal menjadi seorang ibu yang baik tetapi aku memohon sekali ini … Ya Allah selamatkanlah anakku ini.”

Air matanya bercucuran dengan deras menitis, tumpah dan bergaul dengan darah merah anaknya. Perjalanan terasa begitu jauh dalam keadaan begini. Nafas anak tercungap-cungap. Dari mulut, hidung juga telinga darah terus mengalir begitu deras. Si anak bergelut dengan kesakitan, dada berombak kuat, setiap kali dia membuka mulutnya darah bercucuran keluar. Anak seperti ingin menuturkan sesuatu, ibu menangis semahunya.

“Mama maafkan abang …” Ungkapannya sukar … tersekat-sekat kerana kesakitan itu.
“… Abang janji tak akan buat lagi.”
Itulah ucapan yang selalu dituturkan apabila ibunya marah. Ibu memegang mulut anak, hatinya menangis. Bukan ini yang ibu mahu dengar.
Sebaik sampai di hospital, anak dikejarkan ke bahagian kecemasan. Ibu menunggu di luar, dia membuat panggilan kepada suami dan mengurus segala prosedur yang patut. Dengan baju dipenuhi darah tanpa merasa malu pada orang sekeliling yang melihatnya, dia menangis sekuat hati, rasa sesal mengasak kuat segenap ruang hatinya.
“Ya Allah berilah aku peluang kedua untuk menjadi seorang ibu yang baik, aku sedar akan kesalahanku …”
“Ya Allah selamatkanlah anakku hari ini …”
Doa tidak pernah putus dari bibirnya dengan permohonan setulus-tulusnya kepada tuhan.
Setelah lama menunggu, tiba-tiba doktor keluar. Bebola matanya merenung penuh pengharapan pada doktor.

“Puan, maafkan … Kami telah cuba melakukan yang terbaik.” Patah bicara doktor satu-satu menyusun kalimah.
“Anak puan … Telah meninggal dunia.”
Hanya itu yang mampu dituturkan, walaupun selalu tetapi tetap sukar untuk menjelaskannya kepada ibu ini.
Dunia terasa seperti pasir jerlus yang menyedut dengan deras ke dalam, kepingan langit sekeping-sekeping menghempas ubun-ubun kepalanya. Alangkah sakitnya hakikat ini. Dalam tangisan berderai, dia meluru dan merangkul sekujur tubuh anaknya dengan mata tertutup rapat, kesakitan telah tiada bersama nafasnya yang berangkat pergi buat selama-lamanya.

“Anak … Kamu tidak mendapat apa yang sepatutnya ibu berikan di sepanjang perjalanan pendekmu ini …”
Ibu mencium semahu-mahunya. Namun wajah itu hanya kaku, dingin sekali.
Jenazahnya kemudian diuruskan sehingga selesai sempurna. Malam itu apabila lampu tidur dimatikan dan kawasan kejiranan sunyi, ibu keluar ke kawasan tong sampah di hadapan rumah. Dia menyelongkar sampah semalam mencari koyakan kertas anaknya. Malam itu di ruang tamu rumahnya penuh koyakan kertas yang ditaburkan.
Dengan nada lemah sekali bersama lelehan air mata hangat ibu berkata, “Alangkah indah andainya ini yang ibu lihat pada setiap hari di sepanjang hidup ini.”

“Ibu rindu kepadamu … Ibu rindu kepada nakalmu … Ibu rindu pada koyakan kertas ini, tetapi kenapa ibu buta tentangnya selama ini?”
Tangisan hanya saksi bisu dengan irama tersendiri, namun hakikat yang terpaksa direngguk ialah semua itu tidak boleh diulang lagi. Anak comel itu tidak akan pulang lagi ke rumah sampai bila-bila.
Benar, sesetengah nikmat itu hanya datang sekali, kerana itu nikmati dan syukurilah, bersyukurlah sentiasa.Amat malang kerana kita selalu sedar dan menghargai sesuatu, hanya selepas nikmat itu terlerai daripada genggaman.



Comments
0 Comments
    
    

0 comments:

Post a Comment