“Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu ringgit lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,” beritahu pegawai itu lagi.
“Insya’Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera,” janji Pak Uteh. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji, dia terus balik ke rumah.
“Pah….. Ooo….. Pah!” teriak Pak Uteh sebaik turun dari keretanya.
“Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?” tanya Mak Pah.
“Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ni akan tertunai. Insya’Allah, dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai,” cerita Pak Uteh dengan wajah berseri-seri.
“Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai.”
“Betullah Pah oii…….. saya ni baru je balik dari Pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan.”
“Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itupun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu.” Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.
“Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.” Wajah Pak Uteh semakin berseri-seri. Dia yakin anak-anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.
“Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik, boleh kita berunding,” cadang Pak Uteh.
“Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah minta duit anak-anak.” Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uteh.
“Pah…. Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh, lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni.” Yakin benar Pak Uteh, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.
“Tapi bang………..”
“Dahlah…… pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu,” pintas Pak Uteh sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uteh bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang, kemudian Pak Uteh menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.
“Insya’Allah, Kis balik nanti Abah. Ermm! Abah nak Kis suruh Melati balik sama?” tanya Balkis.
“Ikut suka kaulah, bagi Abah yang pentingnya kau dan Muaz. Melati tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya….,” balas Pak Uteh.
Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya, tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Melati. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar, tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uteh ingat gara-gara sikap keras kepala Melati untuk bekerja kilang, mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.
“Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi.” Pak Uteh tidak bersetuju dengan niat Melati yang hendak bekerja kilang.
“Melati dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Melati kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram.” Bantah Melati menaikkan darah Pak Uteh.
“Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?”
“Itulah Abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat Abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh Abah.” Melati cuba membuat Abahnya faham.
“Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!”
“Melati memang tak sama dengan Kak Balkis, Abah. Melati suka berterus-terang, kalau tak kena Melati cakap depan-depan, bukan membebel kat belakang,” balas Melati selamba menyemarakkan bara dalam dada Abahnya.
“Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi….. aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah.”
“Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!” Sejak kejadian itu, Pak Uteh memang tidak mempedulikan langsung apa yang Melati nak buat. Namun begitu, Melati tetap pulang setiap kali cuti. Dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak mempedulikannya. Melati selalu menghulur duit, tapi hanya kepada maknya sahaja.
Riang hati Pak Uteh bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu, selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isyak, mereka duduk berborak di ruang tamu.
“Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit,” Pak Uteh memulakan bicara.
“Hajat apa pula Abah?” tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.
“Abah dan Mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian Mak kau masih belum cukup lagi, abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,” Pak Uteh mengutarakan hasratnya.
“Boleh tu boleh Abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru je keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz.
“Tapi…… Pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan.”
“Kalau dalam seminggu dua ni Abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan,” jawab Muaz serba salah.
“Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Uteh melindungi kekecewaannya.
“Rumah baru tu besar sikit Abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi Abah, pelaburan masa depan juga,” sampuk Mira isteri Muaz. Pak Uteh terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis.
“Kamu macam mana Kis, boleh tolong Abah? Nanti Abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti,” Pak Uteh berpaling pada Balkis.
“Kis pun rasanya tak dapat nak tolong Abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan Abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah…… ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi.” Hancur berderai rasa hati Pak Uteh mendengar jawapan Balkis.
“Man bukan tak nak tolong Abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.”
“Betul kata Man tu Abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,” sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uteh. Bila dia bertemu pandang dengan Melati, Pak Uteh terasa bagai ditertawakan oleh Melati bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.
“Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah Abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki, Mak pula pergi,” Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.
“Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau Awak tak pergi, biarlah kita sama-sama tak pergi….. dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?” Pak Uteh bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal. Melati tahu Abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya, tapi Melati faham kecewa Abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.
“Nak ke mana pulak tu?” tanya Pak Uteh melihat Mak Pah bersiap-siap.
“Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kejab lagi Melati sampai saya nak beli kuih lepat ubi kegemarannya.” Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebutnya anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uteh yang gemar membeza-bezakan anak. Pagi Isnin itu selepas bersarapan, Melati bersiap-siap hendak keluar.
“Melati ada hal sikit kat bandar mak. Melati pergi dulu ye.”
“Kalau nak ke bandar suruhlah Abah kau tu hantarkan,” suruh Mak Pah.
“Tak payah mak, Melati nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula Abah tu. Melati pergi dulu.” Mak Pah menggeleng memerhatikan Melati berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri. Ketika Melati pulang dari bandar tengah hari itu, mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.
“Kau ni Melati buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni Abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api.”
“Ingat lagi Abah lauk kegemaran Melati rupanya,” usik Melati tak bertangguh mencapai pinggan.
“Mak Bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak,” jawap Pak Uteh sinis. Melati tersenyum pahit.
Selesai mengemas pinggan mangkuk, Melati menunaikan solat Zohor, kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.
“Mak, Abah….. Melati ada hal sikit nak cakap ni….,” ujar Melati menghampiri mereka. Pak Uteh menurunkan suratkhabar yang dipegangnya., kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.
“Apa hal….. kamu nak kahwin ke?” soal Pak Uteh merenung Melati. Tawa Melati meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Melati tergelak besar, Pak Uteh turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.
“Abah ni…… ke situ pulak….”
“Habis tu?”
“Ini….. kad Tabung Haji Mak. Tadi Melati ambil dalam laci tu. Yang ini resit memasukkan duit ke akaun Mak. Semuanya Melati dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek Mak dan Abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti.” Melati memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uteh.
“Apa???” Pak Uteh terkejut. Matanya merenung Melati dan duit ditangannya bagai tidak percaya.
“Ini duit simpanan Melati sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Melati yang halal Abah, terimalah. Selama ini Melati banyak kali kecewakan Abah. Melati tak pernah dapat membahagiakan hati Abah. Selama ini pun Melati selalu sangat rasa kalah pada Abang Az dan Kak Balkis. Melati tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Melati tahu Abah selalu kecewa dengan Melati. Hanya kali ini Melati dapat tunaikan hasrat Abah.”
“Dah banyak kali Abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pulak tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Melati harap Abah sudi terima pemberian Melati,” tutur Melati perlahan memerhatikan air mata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.
“Terima kasih Melati. Malu rasanya Abah nak ambil duit kamu…… dulu Abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi, tapi akhirnya anak Abah yang kerja kilang yang membantu Abah,” luah Pak Uteh sambil mengesat air mata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.
“Sudahlah Abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Melati gembira Abah sudi terima pemberian Melati.”
“Pemberian kau ni terlalu berharga bagi Abah dan Mak kau Melati….,” ujar Pak Uteh. Melati peluk abahnya erat.
“Hah……tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni,” Mak Pah mengusik Pak Uteh sambil mengesat air mata penuh kesyukuran.
“Mak ni…..,” gelak Melati memandang abahnya yang tersengih.
Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uteh dan Mak Pah. Melati memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba.
“Semua dah siap ke Mak?” tanya Melati menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.
“Dah rasanya…… ada apa-apa yang Melati nak pesan Mak belikan di sana nanti?”
“Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli Mak. Yang penting Mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.”
“Hah! Awak dengan tu…. Kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah,” tambah Pak Uteh yang turut mendengar perbualan dua beranak itu.
“Melati tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Melati mahu, doakan Melati bahagia di dunia dan akhirat,” pesan Melati sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uteh berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Melati itu.
Setelah selesai menunaikan ibadah haji.Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uteh mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Melati bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uteh terkenangkan mimpinya bertemu Melati di Tanah Suci. Melati tidak berkata sepatah pun, tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.
“Kenapa resah aje ni Bang?” Mak Pah terjaga.
“Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Melati dan anak-anak kita.”
“Sabarlah, dah nak sampai dah ni,” pujuk Mak Pah.
Dari jauh lagi Pak Uteh sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.
“Mak….. Abah…..,” Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan air mata menitis laju.
“Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak Uteh tertinjau-tinjau mencari wajah Melati.
“Mereka menanti di rumah, Abah,” beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uteh.
“Melati pun tak datang juga ke?” tanya Pak Uteh terasa hampa.
“Awak ni….. kan Man dah kata mereka menunggu di rumah.” Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ni nama Melati tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uteh. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.
“Dua tiga malam sebelum balik, Abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Melati. Kalau Melati dengar cerita ni tentu dia gelihati.” cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu.
“Tentulah Abah ingatkan Melati, sebab Melati yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.
“Tapi Abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi Abah tu, Abah nampak Melati macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun, hanya renung Abah. Melati tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?”
“Err….. tak ada Abah. Kita berhenti minum dulu Abah, tentu Mak haus,” ajak Azman.
“Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik,” tolak Pak Uteh. Azman dan Muaz hanya berpandangan.
Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.
“Mak dengan Abah sihat ke?” tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.
“Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Melati mana, dia tak balik ke?” Mak Pah mula berdebar bila Melati tidak kelihatan.
“Naik dulu Ngahnya…….,” suruh Long Semah.
“Melati mana?” Pak Uteh mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Melati. Pantas dia memanjat tangga menuju ke bilik Melati. Matanya terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.
“Az….. mana Melati? Mana adik kau Az?” tanya Pak Uteh dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.
“Sabar Abah….,” Muaz menggosok belakang abahnya.
“Kenapa Az…….. kenapa?” Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Melati.
“Mak…. Melati dah tak ada Mak,” Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uteh terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu menglilinginya. Pak Uteh duduk di tepi kepalanya.
“Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Melati pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,” pujuk Long Semah yang masih belum pulang.
“Melati ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,” Pak Uteh menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.
“Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?” tanya Mak Pah.
“Kami semua ada Mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya Mak. Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan Abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi, tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isyak dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital, tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal Subuh hari Jumaat Mak…….. tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak,” cerita Muaz.
Mak Pah menggenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Melati memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Melati berpesan, “Melati tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Melati mahu, Mak dan Abah doakan Melati bahagia di dunia dan akhirat…..”