Wednesday, May 16, 2012 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Solat, doa mesti dijiwai~

Solat, doa mesti dijiwai, difahami sepenuh hati supaya diterima
KOMUNIKASI membolehkan penyampaian maklumat antara manusia berada di kutub utara dengan kutub selatan berlaku dalam beberapa saat walaupun dipisahkan jarak beribu kilometer. Interaksi tanpa sempadan ini memudahkan urusan harian manusia yang semakin bijak dan rancak mengurus kehidupan.


Bagaimanapun, manusia sering lupa kepada Yang Maha Pencipta kepada komunikasi dan interaksi. Sesungguhnya alam ini diurus dan ditadbir oleh Sang Pencipta Yang Maha Hebat tetapi manusia lupa untuk berkomunikasi dengan Pencipta.
Jika kita kehilangan telefon bimbit dan tidak dapat mengakses internet pasti hidup rasa kekurangan kerana tidak lagi dapat berhubung dengan ahli keluarga dan rakan yang jauh. Apatah lagi jika kita adalah ahli perniagaan atau pengurus kepada sesebuah organisasi.
Tidak kurang juga ada sebahagian manusia bagai ‘cacing kepanasan’ apabila tidak dapat berkomunikasi di laman sosial dunia internet atau tidak dapat menghantar pesanan ringkas (SMS). Era globalisasi tidak dapat memisahkan manusia dengan peralatan komunikasi.

Namun, manusia yang tidak pernah cuba mengenali kepentingan komunikasi dengan Tuhan Pencipta Sekalian Alam akan berasa ‘tidak apa’ apabila lewat atau terus meninggalkan komunikasi dengan Allah Taala yakni melalui doa dan solat.

Berapa ramai antara kita merasakan kepuasan selepas mengadu dan berkomunikasi dengan Allah Taala? Paling malang apabila solat dan doa dibuat sebagai kelaziman fizikal saja tetapi tidak terkesan oleh rohani.

Maka tidak hairan jika orang yang bersolat tapi masih berbuat kejahatan dan kemaksiatan. Bacaan dalam solat tidak difahami maknanya dan doa pula jika dibuat secara berjemaah hanya diaminkan mengikut imam.
Doa bahasa Arab dan ramai yang memang tidak faham langsung. Alangkah baik berdoa dalam bahasa Melayu dengan penuh penghayatan dan pengharapan kerana ia lebih berpotensi dimakbulkan Allah.

Maka, muncullah rungutan sudah penat berdoa tapi Allah tidak memakbulkan, walhal bagaimana doa mahu diperkenankan sedangkan hati dalam keadaan tidak bersungguh-sungguh dan lalai.


Allah berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina.” (Surah al-Mu’min, ayat 60)

Apabila seseorang hamba berkomunikasi dengan Allah tetapi tidak difahami dirinya mengenai apa yang diperkatakan itu, ia ibarat meminta tolong dengan orang di depan tetapi kita tidak menyebut namanya.

Apakah orang itu akan menolong? Namun Allah tidaklah bersifat seperti sifat manusia kerana Allah Maha Mengetahui perihal setiap hambanya melebihi apa yang diketahui hamba itu sendiri. Cuma, Allah ingin melihat usaha hamba-Nya walau Dia tahu keperluan hamba-Nya.

Oleh itu, jika kita pernah kegelisahan apabila kehilangan telefon dan tidak dapat berhubung dengan rakan, periksa diri semula pernahkah atau selalukah kita merasai kegelisahan apabila kurang berdoa kepada Allah atau apabila terlewat menunaikan solat?

Jadikan pengaduan segala permasalahan kita walau sekecil-kecil masalah terlebih dulu kepada Allah sebelum kita mengadu kepada manusia kerana sesungguhnya Dia telah menciptakan jalan penyelesaian dan kesembuhan.

Kita juga sering lupa melihat Dia mendatangkan pertolongan dan jalan keluar melalui sebab manusia lain lalu menyebabkan kita terus lupa kerana menyangka manusia jugalah yang membantu bukan meletakkan segala sesuatu atas keizinan Allah.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari, beliau menjelaskan: “Ketika kami bersama Rasulullah SAW dalam satu peperangan, tidaklah kami mendaki tanah tinggi, menaiki bukit dan menuruni lembah, melainkan kami meninggikan suara ketika bertakbir.

Kemudian Baginda mendekati kami dan bersabda: “Wahai sekalian manusia, tahanlah diri kamu, sesungguhnya kamu tidak berdoa (menyeru) kepada Tuhan yang tuli (pekak) dan jauh, akan tetapi kamu berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Sesungguhnya Tuhan yang kamu seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kamu melebihi dekatnya seseorang dari kamu dengan leher binatang tunggangannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Daripada Anas, bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman, Aku menuruti persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku akan sentiasa bersamanya jika ia berdoa kepada-Ku.” (Hadis Riwayat Ahmad).



Comments
0 Comments
    
    

0 comments:

Post a Comment