Wednesday, April 25, 2012 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Belajarlah Dari Alam Hakikat Keikhlasan Kerana Tuhan~

Kelapa tua. Semua orang pasti kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup seharian manusia. Namun begitu, kewujudannya langsung tidak dipeduli dan tidak diendahkan orang. Kelapa tua tidak pernah menjadi topic sesebuah perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah nasib si kelapa tua.

Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak mempedulikannya. Dia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.


Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokoknya sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok macam
tu.

Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah. Allahuakbar! Kalau calang-calang buah, boleh berkecai. Kalau kepala orang, boleh bersepai.

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyak-koyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang. Proses ini bukan sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang itu menusuk ke dalam kulit sabutnya.Seksanya tak boleh nak diceritakan. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang tinggal.

Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersembur dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih lagi bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti.

Tak cukup dengan bersemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih lagi bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang di bakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah
isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.

Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu, diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau hendak dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian ia ditapis airnya menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga terkeluar minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak ke seluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya:

Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?

Orang di dapur hanya menjawab, Gulai ikan bawal.
Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama.

Orang kata, Oh! Sedap gulai ni.
Oh! Sedap ikan bawal ni.

Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa yang ambil kira atau ambil peduli.

Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan untuk dikenang atau untuk mendapat nama, tapi untuk taabbud kepada Tuhan. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tapi ada dalam perhatian Tuhan!

Comments
0 Comments
    
    

0 comments:

Post a Comment