Friday, April 29, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Perkhabaran Jibril tentang Neraka kepada Rasullullah SAW~

Memetik cerita tentang perkhabaran Jibril AS mengenai neraka Jahannam...

Ath-Thabrani meriwayatkan; "Jibril datang kpd Rasulullah SAW pada waktu yang tidak biasa dia datang. Kemudian baginda berdiri menyambut kedatangannya seraya berkata;

"Wahai Jibril, belum pernah aku lihat engkau berubah rupa."

Jibril berkata,
"Aku datang setelah Allah memerintahkan aku mengintip neraka."

Rasulullah SAW bertanya;
"Wahai Jibril, ceritakan kepadaku tentang keadaan neraka!"
 
"Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan jahanam supaya menyalakan api seribu tahun hingga menjadi PUTIH. Lalu Dia memerintahkan supaya menyala seribu tahun lagi hingga menjadi MERAH. Dan kemudian Dia memerintahkan supaya menyala seribu tahun lagi, sehingga warnanya bertukar menjadi HITAM pekat. Tidak kelihatan lagi cahayanya dan tidak terpadam lagi nyalanya. 
 
Demi Zat yang mengutusmu sebagai nabi yang benar, kalau jahanam itu dibuka sebesar lubang jarum, matilah seluruh penghuni bumi kerana kepanasan
 
Demi Zat yang mengutusmu dengan kebenaran, jika sahaja seorang penjaga jahanam menjelma ke dunia, tentulah seluruh penghuninya akan mati kerana ngeri melihat rupanya yang amat buruk serta baunya yang amat busuk. 
 
Demi Zat yang mengutusmu dengan kebenaran, kalau sepotong rantai ahli neraka diletakkan di atas gunung, tentu akan lebur dan meleleh ke dasar bumi."

Kemudian Rasulullah SAW memandang Jibril yang telah menangis itu lalu bertanya 
"Wahai Jibril, mengapa engkau menangis, engkau telah mempunyai kedudukan di sisi Allah".

Jibril menjawab 
"Bagaimana aku tidak menangis. Justeru aku lebih berhak menangis. Siapa tahu dalam ilmu Allah keadaanku menjadi lain. Aku tidak tahu kalau-kalau aku diseksa dengan seksaan Iblis. Bukankah Iblis itu sendiri juga daripada malaikat. Aku tidak tahu. Kalau-kalau aku diseksa seperti seksa Harut dan Marut."

Kemudian Rasulullah SAW menangis, sampai ada suara memanggil; 
"Wahai Jibril dan Muhammad, kamu telah diamankan. Tidak akan menderhakai-Nya"



Jibril kemudian naik dan Rasulullah pun keluar. Baginda berjumpa dengan orang Ansar yang tertawa riang dan bermain-main. Rasulullah SAW bersabda "Adakah engkau tertawa sedang di belakang mu ada neraka? Kalau engkau tahu apa yang aku tahu, tentu engkau akan sedikit ketawa dan banyak menangis. Tentunya kamu tidak lalu makan dan minum. Malah kamu akan keluar ke masjid, bertiarap kepada Allah SWT."

Kemudian ada suara memanggil "Wahai Muhammad, janganlah engkau membenci hamba-Ku. engkau Ku utus sebagai pemberi khabar gembira, bukan untuk menyedihkan mereka."

Rasulullah SAW lalu bersabda "luruskanlah dan mendekatlah..."



Wallahu a'alam. Hanya Allah yang Maha Mengetahui....
Setiap kita ini wajib mengimani hari Kiamat, mengimani adanya Syurga dan Neraka.
InsyaAllah, janganlah kita lalai saat menjadi musafir di dunia ini bagi sampai ke destinasi kita yang kekal iaitu di akhirat kelak. Mudah-mudahan kita dilindungi daripada menyeleweng dari janji sumpah setia kita sebelum kita ditiupkan ke rahim ibu...

Comments
0 Comments
    
    

0 comments:

Post a Comment