Thursday, March 10, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Berlindung Dari Mala Petaka




Daripada Ubai bin Kaab r.a. katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. apabila sampai 1/3 malam baginda pun bangun lalu bersabda, "Wahai sekalian manusia ingatlah kamu semua kepada Allah, telah datang goncangan yang pertama (gegaran/tiupan pertama) yang diikuti dengan peristiwa yang amat dahsyat (golombang/tiupan kedua) telah datang maut dengan bermacam-macam kesengsaraan, telah datang mati dengan bermacam-macam bentuk kesusahan (ketika datangnya sakaratul maut)."

Aku berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya aku akan memperbanyakkan selawat ke atasmu, maka sebanyak manakah yang aku perlu berselawat ke atasmu?" Baginda menjawab’ "Seberapa yang banyak kamu kehendaki". Aku bertanya lagi, 1/4? Beliau menjawab, seberapa banyak yang kamu kehendaki maka jika kamu tambah ianya menjadi kebajikan (selamat) kepada kamu. Aku bertanya lagi, “Bagaimana jika separuh?” beliau menjawab, “Seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah menjadi kebajikan kepada kamu”. Aku bertanya lagi, “Bagaimana jika 2/3?” Baginda menjawab "seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah ianya menjadi kebajikan kepada kamu”. Aku bertanya lagi, “bagaimana jika aku jadikan sepenuhnya untuk berselawat kepada mu?” Baginda menjawab, “Oleh yang demikian segala kehendakmu akan dipenuhi dan diampuni segala dosamu”.(Hassan)

Huraian

1. Rasulullah mengingatkan umatnya agar sentiasa mengingati Allah sepanjang masa dan mengingati mati kerana kematian adalah seumpama kiamat kecil bagi setiap manusia yang hidup. Bahkan kematian akan datang pada bila-bila masa dalam berbagai bentuk termasuk dengan berlakunya sesuatu bencana.

2. Mala petaka yang datang seperti gempa bumi, ombak besar (tsunami), tiupan angin yang kuat (puting beliung) dan sebagainya adalah ujian yang ditentukan oleh Allah S.W.T. bagi menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran setiap hamba-Nya.

3. Oleh itu umat manusia khususnya umat Islam hendaklah sentiasa beringat (jangan lalai dan alpa) dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya di samping berselawat ke atas baginda Rasulullah saw. sepanjang masa dan berdoa agar dijauhi dari segala mara bahaya dan bencana yang menimpa.

4. Orang yang banyak berselawat adalah orang yang paling rapat dengan baginda di akhirat kelak di mana segala permohonan dan kehendaknya akan diperkenankan oleh Allah S.W.T di samping itu segala dosanya akan diampunkan dan sentiasa mendapat perlindungan dari-Nya.

5. Sesungguhnya arahan Rasulullah saw. supaya umatnya memperbanyakkan selawat adalah juga disertai dengan suruhan agar kita tidak meninggalkan perintah agama serta menjauhi segala larangannya.

Comments
0 Comments
    
    

0 comments:

Post a Comment