Sunday, March 27, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Bahaya Dosa...

 
Seorang hamba, dikira berdosa apabila tidak melakukan kerja atau tindakan taat kepada Allah Ta'ala.

Seseorang hamba Allah itu dikatakan tidak melakukan kerja taat kepada Allah Ta'ala apabila tidak melakukan suruhanNya atau melakukan kerja haram (perbuatan maksiat, kemungkaran atau sebarang larangan dalam agama Islam).

Setiap hamba Allah yang berdosa akan ditimpakan balasan seksaan azab daripada Allah swt sama ada di akhirat, mahupun di dunia.

Allah Ta'ala berfirman, maksudnya : "Dan sesungguhnya akan Kami rasakan kepada mereka (yang melakukan dosa) sebahagian azab yang dekat (di dunia) selain (sebelum) azab yang lebih besar (di akhirat) mudah mudahan mereka kembali ke jalan yang benar (al-Sajadah : 21)

Hamba Allah yang perbuatan dosanya tidak / belum mendapat keampunan Allah Ta'ala atau dalam proses keampunan, sedang dalam pengkifaratan dosa misalnya, akan menerima pembalasan awal (terdekat) di dunia yang merupakan seksaan atau kecelakaan. Pembalasan dosa akan membinasakan diri, seterusnya membinasakan iman dan melupuskan takwa.

Berkata Imam al-Ghazali maksudnya, "Perbuatan maksiat itu adalah sebagai makanan yang memudharatkan badan manusia. Dosa dosa yang terkumpul dalam diri manusia akhirnya meracuni jiwa keimanannya. Perbuatan dosa akan mengakibatkan kegelapan hati kerana dosa itu menjadi kotoran atau karat di hati"

Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya,"Bahkan telah ternoda hati mereka (berkarat dengan noda sehingga menutupi hati) dengan apa yang mereka usahakan (dosa yang mereka lakukan)" (al-Nuthaffifin : 14)

Karat dosa ini, jika tidak dikikis dengan taubat, lama kelamaan akan bertambah tebal lalu menutup pintu hati dan sukar atau tidak mungkin dihapuskan lagi. Orang yang demikian hatinya, jika tidak mendapat rahmat Allah, akan hidup dan mati dalam kesesatan. Na'uzubillah.

Demikianlah dosa itu akan menjadi hijab yang mendindingi hubungan seseorang dengan Allah Ta'ala, terjauh daripada rahmat Allah, tidak mendapat taufik dan hidayahnya, untuk berbuat amal kebajikan. Orang yang banyak dosa dan terus dengan perlakuan dosa itu sehingga berkarat tebal adalah sukar untuk kembali ke jalan yang benar, malah sukar juga untuk memulakan taubat. Sebaliknya, perbuatan dosa itu akan mendorong kepada perbuatan dosa yang lain, sama ada dilakukan dengan anggota badan (dosa zahir) atau dengan hati (dosa batin). Dosa yang baru ini mungkin lebih besar kecelakaannya. Secara lambat atau segera, hamba Allah yang berdosa itu akan menerima pembalasan di dunia :

(a) ditimpa penyakit
(b) ditahan rezeki
(c) merasakan diri terlepas daripada sebarang pembalasan kerana masih berterusan mendapat kemewahan dan kenikmatan hidup, walaupun berterusan melakukan dosa, akan tetapi semuanya ini merupakan tindakan istidraj (pembalasan secara perlahan, sedikit demi sedikit) daripada Allah Ta'ala yang tidak disedari oleh hamba Allah berkenaan.

Allah berfirman,"Dan orang orang yang mendustakan ayat ayat Kami, nanti Kami akan menarik (mengazabkan) mereka secara beransur ansur (istidraj) dengan cara yang tidak mereka ketahui" (al-'Araf : 182)

Demikianlah kecelakaan akibat dosa yang perlu diketahui. Berkata Imam al-Ghazali, "Apabila kita dapat memahami semuanya ini, nescaya akan timbul di dalam hati rasa takut. Jika perasaan takut telah bertakhta di hati, akan mudahlah kita menanggung kesabaran dengan berkatnya. Pertolongan Allah Ta'ala dan taufikNya akan menyusul sesudah itu".
 
 

Wallahualam.

Penulis : Muhammad Isa al-Jambuli
muhd_isa@tm.net.my

Comments
0 Comments
    
    

0 comments:

Post a Comment