Wahai Anak Belahan Jiwaku
Kau cantik pada pandangan,
Lahirmu menjadi permata,
Belahan jiwa ayah bonda.
Wahai Permata Hatiku
Tika kau memandang dunia yang indah,
Kau hiburkan jiwa dan raga,
Hingga hampir ternoda.
Wahai Penyejuk Mataku
Berhiburlah seadanya,
Kerana dunia persinggahan cuma,
Perlabuhan sementara buat perantau,
Yang duduk melepaskan lelah,
Menyedia bekal, menyemai benih,
Kemudian berlepas pergi,
Ke alam abadi persinggahan abadi.
Wahai Anak Permata Cintaku
Duniamu indah,
Namun usahkau terpedaya jauh,
Lalu membiarkan dirimu,
Menjadi habuan bermaharajalelanya nafsu,
Pergunakanlah akal dan hati untuk berfikir,
Mata dan telinga untuk berwaspada,
Kutiplah sebanyak-banyak bekalan amal,
Untuk persinggahan abadi,
Persinggahan yang maha indah, maha segala,
Itulah syurga-NYA.