Manusia tidak dijadikan sia-sia.Ada tanggungjawab dan tugasan yang perlu dipikulnya.
Ia dijadikan untuk tujuan hikmah tertentu.
Ia tidak dijadikan untuk dirinya atau menjadi hamba kepada salah satu unsur dalam alam ini. Ia juga tidak dijadikan untuk bersuka ria dan berseronok sepertimana haiwan-haiwan berseronok.
Bukan juga dijadikan untuk menikmati hidup pendek atau panjang sehingga beratus tahun yang akhirnya akan dimamah tanah juga.
Sesungguhnya ia dijadikan untuk mengenal penciptanya, Yang Maha Esa. Manusia dijadikan untuk menyembah Tuhan yang satu, Allah s.w.t. dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Setiap dari kita akan diuji dan ditapis dengan pelbagai dugaan dan penyakit ujian sepanjang jalan meniti denai kehidupan ini. Dengan tapisan dan ujian itu, kita akan bertambah matang dan positif serta boleh berfikir dengan rasional. Itulah persediaan untuk menghadapi hidup-hidup seterusnya.
TUJUAN HIDUP
Tapi orang yang berfikiran cetek dan tak matang pula mengatakan : “ Kita hidup untuk makan.”
Orang yang bersifat materialistik pula berkata : “Kita hidup untuk mencari harta yang ada di pelosok dunia ni. Barulah terasa nikmat!”
Bukankah setiap hari, 5 hari sekali dalam solat fardu kita, kita berjanji dengan Allah? Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.
Itulah janji kita dalam solat. Adakah itu bukan matlamat? Adakah itu hanya bicara mulut sahaja tanpa mengerti dan menghadam maksudnya yang mendalam? Allah.
Itulah tujuan dan matlmat keseluruhan hidup kita.
“aku hadapkan wajahku kepada (Allah) yang menciptakan langit dan bumi dengan penuh kepasrahan (mengikuti) agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang musyrik.” (Surah al-an’am : 79)
Orang yang beriman akan menjawab : “ Manusia hidup hanya untuk Allah dan untuk hidupnya yang kekal abadi (di akhirat nanti).”
“maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan apa yang demikian) Maha Tinggilah Allah yang menguasai alam, lagi yang tetap benar.” (Surah al-mukminun : 115-116)
Alangkah besarnya perbezaan antara orang yang hidup untuk dirinya sendiri dengan orang yang hidup untuk Tuhannya. Dunia yang indah dengan fatamorgana. Siapa yang tak tergoda dengan kenikmatan yang diperoleh di dalamnya? Harta, pangkat, darjat dan wanita. Kita pasti hanyut! Kecuali orang-orang yang hati dan jiwanya dekat dengan petunjuk dan hidayah serta nur Allah. Beruntunglah! Semoga kita termasuk golongan insan-insan yang beruntung di hari akhirat kelak. Amin…
“katakanlah, matabenda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja.” (Surah al-Nisa’ : 77)
MATLAMAT INGIN KE SYURGA
Syurga adalah kampung idaman kita. Dunia ini ibarat jambatan untuk kita menuju ke negeri akhirat. Berjalanlah di atas jambatan dunia ini dengan penuh takwa dan berhati-hati kerana kita mungkin akan tersungkur di tengah jalan. Jangan sampai kita terhumban ke Neraka. Na’uzubillahi min zalik.
Setiap manusia pasti mengimpikan Syurga. Namun, adakah kita mengamalkan segala yang diperintah Allah? Adakah kita betul-betul patuh dan taat pada-Nya? Adakah Syurga akan menerima kita? Layakkah kita untuk menghuni Syurga yang barakah?
“(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), ‘ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia ; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab Neraka’..” (Surah al-imran : 191)
Berjuanglah dalam hidup agar kita mujahadah. Berkorbanlah semata-mata kerana-Nya. Berlumba-lumbalah dalam mengerjakan kebaikan. Berpesan-pesanlah dengan kebenaran dan kesabaran. Kejarlah cinta dan kasih sayang-Nya. Semoga kita berjaya menggapai reda-Nya kerana hidup takkan pernah bererti dan bermakna tanpa reda Yang Maha Esa.
Daripada Abu Said al-Khudri r.a., Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya : “wahai Abu Said! Siapa yang meredai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai nabi ; maka wajiblah baginya Syurga.” (Riwayat Muslim)
Jadikan Syahid itu cita-cita tertinggi kita..
Jadikan Allah tujuan utama kita..
Jadikan Syurga matlamat hidup kita..
Semoga kita bertemu dengan erti hidup yang sebenarnya..