Tuesday, August 2, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~REBUT PELUANG~


Ramadhan datang setahun sekali. Tak semua orang dapat menikmati. Tak semua dapat merasai. Tak semua dapat menghayati. Jadi, rebutlah segala kebaikan dan ganjaran serta bonus yang disediakan Allah dalam bulan Ramadhan ini.
Jadilah pemurah dengan ikhlas bersedekah. Jadilah peramah dengan membantu sahabat menyelesaikan masalah. Jadilah soleh dan solehah dengan meningkatkan ibadah pada Allah. Jadilah pemaaf dengan meminta maaf dan memaafkan.

Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani r.a., Nabi s.a.w. bersabda : “Siapa yang memberi makanan kepada seseorang untuk berbuka puasa, nescaya ia mendapat ganjaran yang sama dengan orang yang berpuasa itu.” (Riwayat al-Tirmizi)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Karena itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah : 185)


ISTIMEWA RAMADHAN
Antara amalan-amalan sunat di bulan Ramadhan :
  • Memperbanyakkan mentadabbur al-quran dan berzikir
  • Solat Terawih dan witir
  • Bersahur dan melambatkannya
  • Berbuka dengan tamar dan menyegerakannya
  • Qiamulail
  • Memperbanyakkan sedekah
Bila sebut Ramadhan, pasti kita akan terus membayangkan tentang keistimewaan malam Lailatul Qadar. Marilah sama-sama kita berusaha untuk memperbanyakkan amal ibadah pada malam tersebut meskipun kita tidak mengetahui bila. Mulakanlah usaha kita itu dari awal Ramadhan hinggalah ke akhirnya. Jangan tunggu 10 malam terakhir baru kita nak sungguh-sungguh buat ibadah dan sebagainya. Semoga kita semua berjaya bertemu dengan hari istimewa itu. Insya-Allah. Amin…
Firman Allah s.w.t. : Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Surah al-Qadr : 1-5)
Malam Lailatul Qadar ini dirahsiakan untuk mendorong hamba-Nya berlumba-lumba melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh. Hayya nastabiqul khairat! Mari kita berlumba-lumba ke arah kebaikan!
Ramadhan juga ada kelebihan dan tersirat dengan pelbagai keistimewaan. Antaranya :

  • Diwajibkan berpuasa
  • Diturunkan al-quran
  • Solat Terawih
  • Lailatul Qadar
  • Pahala amalan digandakan
  • Syaitan dibelenggu
  • Kemenangan dalam Perang Badar
  • Pembukaan Kota Mekah
  • Pintu Syurga dibuka
  • Pintu Neraka ditutup

HIKMAH BERPUASA
Puasa banyak kelebihannya. Mengikut teori perubatan, berpuasa dapat menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit. Orang yang menjalani pembedahan dimestikan berpuasa. Ini sesuai dengan maksud hadis, perut adalah tempat punca datangnya penyakit.
Antara hikmah lainnya, :
  • Meningkatkan ketakwaan
  • Melahirkan rasa kesyukuran
  • Menjaga kesihatan rohani dan jasmani
  • Membentuk akhlak mulia
  • Melatih diri bersabar dan berdisiplin
  • Diampunkan dosa yang lalu
  • Mendidik nafsu dan mentarbiyah jiwa dll
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Puasa adalah penghalang daripada api neraka. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah.” (Riwayat al-Tirmizi)
Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampunkan Allah segala dosa-dosa yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari)
Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan tahun-tahun lepas. Dan semoga kita diberi pinjaman nafas untuk menghabiskan Ramadhan. Dan semoga kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Amin..






Comments
0 Comments
    
    

0 comments:

Post a Comment