Wednesday, February 9, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Sebenar-benar Perkataan dan Sebaik-baik Jalan Pimpinan~



Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Pernah Rasulullah s.a.w apabila berpidato merah menyala matanya, lantang suaranya dan bersangatan marahnya, sehingga seolah-olah Baginda seorang pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera (tentang kedatangan musuh) dengan katanya: Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan (mungkin) pada waktu petang!; serta Baginda bersabda: “(Masa) aku diutuskan dan masa berlakunya kiamat seperti dua jari ini,” lalu Baginda menyatukan kedua jari tangannya – jari telunjuk dan jari tengah, serta baginda bersabda lagi: “(Ketahuilah) selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah kitab Allah dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad (s.a.w) dan (sebaliknya) sejahat-jahat perkara ialah perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), sedang tiap-tiap perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama) itu adalah bid’ah dan tiap-tiap bid’ah itu sesat”. Kemudian Baginda bersabda lagi: “Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri, – sesiapa yang meninggalkan harta benda maka itu adalah untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau orang yang kehilangan tempat bergantung maka terserahlah kepadaku menjaganya atau akulah yang menanggung hutangnya”. (Hadis Riwayat Muslim)


 Benar bererti tepatnya sesuatu yang disebut dengan keadaannya yang sebenar.
Ketetapan itu ialah apabila yang menyebut itu mempunyai pengetahuan yang luas meliputi segala hal keadaan yang dinyatakannya; pengetahuan yang sedemikian tidak dipunyai melainkan oleh Allah Subhanahu wa Taala.
Kitab Allah, kitab suci Al-Qur’an Al-Karim, antara lain mengandungi kisah-kisah kejadian yang berlaku, sama ada yang berlaku sebelum daripada masa turunnya, semenjak zaman purba ataupun yang berlaku kemudian daripada masa turunnya hingga hari kiamat.
Mengenai perkara-perkara yang telah berlaku, Al-Qur’an Al-Karim telah menceritakan dalam keadaan yang terbuka kepada segala lapisan masyarakat dan apa yang telah diceritakannya itu tidak ada sesiapapun yang menentangnya, dari golongan ahli pengetahuan yang jujur.
Demikian juga, mengenai perkara-perkara yang akan datang, Al-Qur’an telahpun menceritakannya dan di antaranya ada yang telah berlaku menjadi kenyataan sebagaimana yang telah diceritakannya dan setengahnya yang lain lahir ke alam nyata melalui kajian-kajian sains.
Ini adalah di antara bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kisah dan kejadian-kejadian yang disebut dalam kitab Allah itu adalah benar, maka demikianlah pula mengenai bahagian-bahagian yang lain, seperti bahagian hukum, bahagian pengajaran dan seterusnya adalah semuanya benar belaka. Kitab Allah adalah sebenar-benar perkataan, kerana ilmu Allah itu adalah meliputi segala-galanya.
Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar, yang boleh menyampaikan kepada matlamat kebahagiaan sejati. Jalan pimpinan Baginda adalah sebaik-baik jalan pimpinan kerana pimpinan baginda adalah dengan panduan wahyu melalui malaikat yang diutus oleh Allah Azza wa Jalla pencipta seluruh alam.
Dalam buku-buku karangan mengenai pimpinan-pimpinan dunia yang masyhur, terdapat Nabi Muhammad s.a.w disebut dari jumlah mereka. Ya, sungguh benar, Baginda termasuk dalam jumlah pemimpin-pemimpin dunia yang terkenal, tetapi yang lebih benarnya ialah pimpinan Rasulullah s.a.w tidak boleh ditandingi dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain, yang dalam hal memimpin rakyat, mereka hanya berpandu kepada fikiran masing-masing yang sangat terbatas, dalam keadaan dan masa yang terbatas.

Comments
0 Comments
    
    

0 comments:

Post a Comment