Aku membuang pandang ke luar jendela. Sisa-sisa hujan masih mengisi
suasana persekitaran. Dada langit yang diseliputi mendung putih kekelabuan,
menabiri dunia dari pandangan seorang lelaki bernama aku.
“Adi jom pergi kafetaria”... Aku menoleh
lambat-lambat. Din yang sedang duduk di birai katil kelihatan begitu rileks dan
santai.
“Kejap lagi la”... Bicaraku mati seketika.
“Hujan-hujan macam ni, malas pulak aku nak menapak ke kafetaria tu”...
Sambungku lagi.
Din memandang lesu ke arahku. Sebuah keluhan kecil dilepaskannya.
Mana-mana la Adi, janji kau bahagia”... Suaranya
kedengaran datar sahaja. Aku tahu dia cuba menunjukkan sikap protes dengan
keenggananku menemaninya ke kafetaria. Tapi entah mengapa aku terasa malas
sekali hendak kemana-mana pada petang yang dingin begini. Aku lebih selesa
bersenang-senang sambil membaca buku didalam bilik asrama tingkat tiga itu.
Deringan telefon bimbit bernada Pink Panther mengejutkanku. Milik
Din rupanya. Dia bingkas bangkit lalu keluar dari bilik menuju ke koridor.
Mungkin dia enggan perbualannya didengariku. Aku melangu sendirian. Sudah dua
hari Ayu tidak menghubungiku. Bila telefon bimbitnya kuhubungi, hanya suara
operator yang kedengaran. Setidak-tidaknya balaslah sms yang kukirimkan. Tapi
dia tetap menyepi. Ya, aku akui aku sedang dalam proses mendapatkannya. Dalam
erti kata lain, menjadikannya temanku yang istimewa. Aku sedang berusaha. Dan nampaknya
tindak balas dari Ayu agak positif. Atau adakah aku yang tersalah tafsir?
Petang, dua hari yang lepas. Sewaktu kami menyusuri koridor bilik
komputer, sehabis kuliah, dia berkata sesuatu kepadaku. Katanya hal itu amat
penting. Wajahnya sugul sahaja sewaktu menuturkan bait-bait bicara dihadapanku.
Aku bertanya perkara apa. Namun dia hanya membisu dan cuba mempamerkan senyum.
Walaupun aku tahu senyuman itu bukan lahir atas kerelaan. Pun begitu, dia
berjanji akan menghubungiku dan menjelaskan apa yang selama ini dia ingin aku
ketahui. Dan pantas menjadikan aku terkapai-kapai dalam arus tandatanya yang
tiba-tiba menerjah fikiran?
Benarlah kata orang; penantian itu adalah suatu penderitaan. Sudah dua
hari aku tidak menemuinya. Gusar hatiku entah bagaimana lagi untuk kuleraikan.
Hati lelakiku benar-benar tidak tenteram.
Pagi, tumpuanku terhadap pelajaran agak kurang. Fikiranku melayang entah
kemana saja. Sedaya upaya kukerahkan perhatian pada apa yang disampaikan oleh
Professor Rahman, namun aku gagal. Tetap jua ingatanku melayang pada Ayu. Aku
rindu pada senyumannya. Aku rindu pada lirikan mata bundarnya. Aku rindu pada
dirinya. Aku rindu!!! Untuk apa dia mendera perasaanku sebegini? Untuk apa??!!
Kelibatnya langsung tak kelihatan. Janjinya untuk menghubungiku hanya tinggal
janji. Boleh jadi gila andai terus-terusan aku melayan perasaan. Namun
bagaimana pula harus aku nafikan apa yang bersarang dijiwa? Ahh, aku benci
kekalutan sebegini.
Tengahari itu, suasana agak lengang. Perpustakaan yang luas dan senyap
sunyi itu meminjamkan aku sedikit ketenangan. Sekurang-kurangnya itu lebih baik
daripada terperap didalam bilik asrama yang pengap dan sempit. Seleraku tumpul
untuk menjamah sebarang makanan. Aku hanya ingin bersendirian. Sewaktu aku sedang
membaca sebuah buku berkenaan kewangan, aku terpandang ada seseorang yang
sedang memerhatikanku. Namun aku lebih senang untuk membiarkan sahaja. Mungkin
itu hanya perasaan semata-mata. Tambah pula, aku tiada nafsu untuk ambil pusing
keadaan sekelilingku buat masa ini.
“Adi”... Pendek dan lembut sekali suara itu, tetapi tetap
perlahan. Aku mengangkat pandangan. Dihujung meja tempatku mengulangkaji,
berdirinya Figura Ayu. Segaris senyuman yang terselit keikhlasan menghiasi
wajah manisnya. Renungannya begitu redup.
“Ayu”... Lidahku kelu untuk meneruskan bicara. Harus apa
lagi yang mampu terluah dari isi hatiku, tatkala gadis yang kurindu berdiri
didepan mata. Hadirnya dia, mengusir segunung kegusaran yang mendiami perasaan.
Melukis wajah pelangi dijiwa resahku.
“Mari”... ujarnya lagi. Senyum tidak putus-putus meniti ulas
bibirnya.
Aku melabuhkan punggung dibangku kayu. Suasana persekitaran taman botani
yang damai dan dingin melontarkan ketulusan yang tersendiri kedalam tiap-tiap
jiwa yang disapanya. Ayu mengambil tempat disebelahku. Wajahku direnungnya
sekilas.
“Adi, maafkan aku”... Kata-kata yang terlontar keluar dari kotak
suaranya mengikis keheningan yang membaluti suasana ketika itu. Aku masih
mengunci lidah. Menanti penjelasan dari Ayu.
“Aku tak berniat nak buat kau tertunggu-tunggu”.... Sebuah
keluhan kecil dilepaskannya perlahan. Sugul mula menabiri riak mukanya.
“Ada terlalu banyak perkara yang aku nak kau tahu”... Tapi...
Bicaranya putus disitu. Bagaikan ada beban yang maha berat merantai lidahnya
daripada terus berkata-kata.
Hatiku dijalari rasa simpati terhadap Ayu. Naluriku membisikkan yang sesungguhnya
dia tidak berdusta. Tona suara dan air mukanya mencerminkan sebuah kekeruhan
yang tak tergambar. Dia tunduk merenung rerumput. Sekali-sekala, hujung kakinya
menguis-nguis daun kering yang bergelimpangan.
“Ayu, kau ada masalah ke? Tak nak share..?” Buat beberapa ketika, suasana hanya terisi
oleh melodi angin dan nyanyian burung-burung kecil yang singgah diranting
pepohon. Awan yang berarak perlahan, seolah-olah turut sama berkongsi rasa
dengan insan kerdil yang dinaunginya.
Adi, ini bukan masa yang sesuai untuk aku ceritakan apa yang aku pendam
selama ni. Aku janji, lepas exam nanti, kau akan tahu segala-galanya tentang
aku” Aku mula mencerna kata-kata Ayu sebentar tadi. Apa sebenarnya yang dia
cuba sampaikan? Persoalan mula menggayuti tabir mindaku.
“Aku tak faham apa maksud kau” Pandanganku mencerun ke arahnya. Beberapa
helai daun kering yang gugur, melayang-layang ditiup angin lalu mendarat tidak
jauh dari bangku kayu yang kami duduki.
“Adi, please... Aku tak nak bebankan fikiran kau... Tak lama lagi kita
nak final... Lepas exam nanti kau akan tahu juga... Cuma... Aku nak minta satu
je”... Aku membuang pandang ke arah pokok bunga teluki merah yang
tumbuh subur dihujung bangku kayu. Panorama persekitaran kian menampakkan
bias-bias senja. Perhatianku kembali tertumpu kepada Ayu.
“Apa dia?” Aku bertanya sambil lewa. Seraya menggenggam
tanganku, Ayu bersuara,
“ Janji dengan aku, kau akan buat yang terbaik untuk final
nanti... Lupakan sekejap pasal aku... Aku nak kau berjaya Adi... Aku tak mahu
kau kecewa.” Aku terpana. Terlalu besar apa yang kau harapkan dariku.
Dan sudah tentu, perit pula untuk kugalas harapan dari sebuah permintaan yang
puncaknya melangit tinggi. Sesungguhnya aku telah pun kau kecewakan Ayu. Cuma
saja, tak kuungkapkan dari bibirku. Hari-hari tanpamu, takkan pernah sama
seperti ketika yang lalu.
Pertemuan pada petang itu adalah pertemuan terakhir antara aku dan Ayu.
Aku akui bukan mudah untuk kujalani waktu-waktu yang mendatang tanpa
kehadirannya. Dengan segenap memori dan nostalgia yang tergarap didalam lipatan
kenangan, dengan segaris senyum dan tawa yang mengukir kedinding ingatan, apa
mungkin aku beroleh kekuatan buat menepis segala yang pernah tercipta antara
dia dan aku? Harapan, apakah masih kau menyebelahiku? Ya Tuhan, teguhkanlah
pendirianku dalam menghadapi semua ini.
Ahh, hari-hari terakhirku dikampus, terasa amat panjang untuk dilalui.
Telah berkali kucuba menghubungi Ayu, namun hampa jua yang kuperoleh. Suasana
kampus UiTM ini kian sepi. Namun tetap tiada mampu mengatasi rasa sepi yang
menyelimuti hati. Sebahagian besar penghuni asrama telah kembali ke ceruk
rantau masing-masing. Fikiranku buntu. Apa yang kubuat serba tak kena. Esok,
aku akan berangkat pulang ke tanah tumpah darahku. Berita dari Ayu tetap tak
kunjung tiba. Aku merasa seolah-olah diperbodohkan. Haruskah aku terus menanti
janji? Sedangkan janji takkan mungkin terisi. Aku kembali merenung ke luar
jendela, dengan pandangan dan benak yang kosong.
“Adi... Adi... Tunggu”..., Aku segera menoleh kearah datangnya suara itu.
Hasliza tergocoh-gocoh berlari menghampiriku. Nafasnya termengah-mengah kerana
penat berlari.
“ Kau tak balik lagi ke Liza?”, Pertanyaan kulontarkan
sambil mataku merenung wajahnya. Mentari pagi menebarkan cahaya indahnya
kesegenap ruang yang termampu dijangkau sinarnya.
“ Nak balik la ni, aku tengah tunggu kau”... Dahiku
berkerut. Benakku mula tertanya-tanya, mahu apa dia menungguku?
“Apa pasal pulak kau tunggu aku?” Bangku simen sebelah
barat daya youth floor menjadi sasaran tempatku menghenyakkan punggung. Hasliza
tidak segera menjawab. Dia mengambil posisi disebelahku lalu duduk tanpa
dipelawa. Dari celah beg galas, dia mengeluarkan sesuatu.
“Aku cuma nak serahkan benda ni kat kau,” Mataku
tertancap pada sekeping sampul surat berwarna ungu muda yang ditunjukkan oleh
Hasliza. Tidak terdapat sebarang tulisan diatasnya. Suasana direndai sepi.
Bunyi kicau unggas di persekitaran, bagaikan simfoni latar yang mengisi
kesunyian antara kami.
“Ayu minta aku tolong serahkan pada kau. Tapi... Dia pesan, buka hanya
bila kau dah sampai dirumah... Aku gerak dulu”... Aku
membelek-belek sampul surat berwarna ungu muda. Hatiku tiba-tiba merasa geram
terhadap Ayu. Bukankah dulu dia telah berjanji. Berjanji untuk menyatakan
sendiri perihal hidup dan segala-gala tentang dirinya. Kini, kau telah
memungkirinya Ayu.
Apabila sudah sampai di rumah badan kuhempaskan ketilam empuk. Terasa
selesa dan santai sekali. Tiada yang lebih indah daripada dapat kembali kerumah
orang tua sendiri. Bilik ini tetap sama seperti sebelum pemergianku ke kampus
dahulu. Tetap sahaja kemas dan bersih. Sudah tentu mama yang menguruskannya.
Seharian dalam perjalanan, membuatkan badanku terasa sengal. Otakku pula tak
henti-henti berpusing memikirkan sikap Ayu. Pelbagai andaian timbul dari dalam
ruang fikirku. Namun, sekarang mindaku terlalu letih untuk berfikir. Aku ingin
rehat. Dalam aku melayan perasaan, akhirnya aku terlelap.
“Adi... Bangun... Dah nak masuk maghrib dah ni..!” Ketukan
dipintu yang bertingkah dengan suara emak, menyedarkanku dari lena yang tak
mengenal waktu. Dibirai katil, aku duduk sambil menggosok mata dengan belakang
tangan. Suara muazzin yang berkumandang melaungkan azan dari hujung kampung,
sayup-sayup kedengaran. Aku berdiri malas. Tuala yang terlipat didalam almari
pakaian segera kucapai. Langkah kuatur menuju kebilik mandi yang terletak
beberapa meter dari bilikku.
“Ha, cepat sikit mandi tu. Boleh berjemaah sekali..!” Dari
arah belakang, suara abah yang parau menerjah gegendang telingaku. Aku mengangguk
dua, tiga kali sebelum melangkah kedalam bilik mandi.
Selesai solat isyak dan makan malam, aku menonton tv diruang tamu.
Rancangan komedi yang bersiaran sesekali mengundang derai tawa seisi
keluargaku. Dikampus, jarang benar aku menonton tv. Masa seharian hanya terisi
dengan aktiviti pelajaran dan pergaulan sesama teman. Sudah tentu bezanya
terlalu jauh jika mahu dibandingkan dengan kehidupan bersama keluarga. Hampir
pukul sebelas baru aku berganjak dari ruang tamu. Menapak kebilik mandi untuk
mengambil wuduk sebelum tidur dalam langkah yang malas. Sekali sekala aku
menekup mulut kerana menguap.
Lambaian Ayu yang bertudung dan berkurung putih, menggamit pandanganku.
Taman yang indah dengan warna warni bebunga dan nyanyian unggas gagal menambat
perhatian. Aku segera berlari mendapatkannya.
“Ayu”... Laungku dalam turun naik nafas. Kelibat Ayu kian
menjauh, terselindung dibalik pepohon yang tumbuh rapat. Aku berhenti seketika.
Termengah-mengah dengan peluh yang mula membasahi baju. Dalam aku mengatur
nafas, bayang Ayu muncul dihadapanku. Bibirnya terukir senyum yang amat indah.
Renungan matanya redup dan bersinar. Cukup membuatkan aku terpana.
“Ayu”.... Namanya kuseru perlahan. Dia langsung tidak
menyahut panggilanku, hanya senyumannya yang kian mekar. Entah secara
tiba-tiba, kawasan taman bunga itu diselaputi kabus putih. Makin lama makin
tebal. Menyerkup aku dan Ayu kedalamnya. Beberapa detik kemudian, kabus itu
kian susut lantas menghilang diusir bayu lembut yang mengelus kulit badanku.
Ayu sudah tiada lagi ditempatnya. Yang tinggal hanya senyap sunyi dalam
kemuraman suasana. Aku berpusing-pusing disekitar taman, mencari kelibatnya
Ayu. Namun aku gagal menemui gadis yang bernama Ayu itu.
“Ayuuuu”.... Pekikku dalam kekecewaan. Hatiku benar-benar disentuh
kepiluan yang teramat.
“Adi.. Adi.. Bangun... Apa ni, terpekik terlolong”... Suara parau
abah menerkam gegendang telingaku lagi. Aku terkejut bangun. Belakang tangan kugosokkan
ke kelopak mata. Abahku yang berdiri dihujung katil memandangku dengan wajah
serius berbaur hairan.
“Ada apa abah ?” Soalan ku ajukan pada abah. Abah tidak segera
menjawab. Dia menggeleng-gelengkan kepala dengan pandangan yang mencerun
kearahku.
“Engkau tu ha, mengigau”.... Dia berhenti seketika kemudian
menyambung
“Dah, pegi sambung tidur. Jangan lupa ambil wuduk sebelum nak tidur tu”...
Abah segera berlalu meninggalkan aku dalam tandatanya. Apabila selesai
solat aku berbaring kembali. Jam didinding bilik menjadi tumpuan mataku. Hampir
pukul tiga pagi. Aku cuba melelapkan mata, namun sia-sia sahaja cubaanku itu.
Akhirnya aku bangkit dari katil lalu beredar ke meja belajar. Mimpi tentang Ayu
berlegar-legar didalam kepalaku. Seakan-akan benar terasa, situasi bertemu Ayu
saat itu.
Tiba-tiba aku teringat dengan sampul surat berwarna ungu muda yang ditunjukkan
Hasliza kepadaku semasa di youth floor pagi semalam. Segera kucapai beg galas
yang tesadai di atas meja belajar. Disebalik celahan buku, terselit sampul
surat ungu muda yang kucari. Tanganku pantas sahaja mengoyak hujung sampul
surat lantas mengeluarkan isinya. Rangkap-rangkap didalam surat tulisan tangan
milik Ayu meniti mataku. Satu persatu isinya merasuk benak hatiku.
Assalamualaikum Mohd Rusdi Ramlee...
Maafkan aku, sekiranya kita terpaksa bertemu
dalam keadaan yang tak seperti kau inginkan. Aku tak berniat mempermainkan
perasaan kau. Tapi aku sendiri tak berupaya mengelakkan semua ini. Benar,
memang aku sengaja tak nak bertemu kau saat-saat akhir kita di kampus. Aku tak
nak kau melihat aku dalam keadaan yang kau tak boleh terima. Ayu sayangkan Adi.
Sungguh dari hati kecilku, aku hanya menginginkan kau. Dan aku percaya, kau
juga merasai apa yang aku rasai. Kerana kasihku pada kau, aku tak ingin kau
kecundang dalam pelajaran kerana semata-mata memikirkan aku. Aku mahu yang
terbaik untuk diri kau sendiri. Percayalah Adi, aku tak pernah merelakan
perbuatanku menjauhi kau. Aku mahu kau selalu disisiku. Tapi takdir bukan
seperti yang kita fikir. Aku harus akur, kalau kiranya takdirku mendahului
segala-galanya. Terlalu banyak persoalan yang aku sendiri tak mampu memberi
jawapan. Kau berhak membenciku atas apa yang telah aku lakukan terhadap kau.
Aku terima kebencian kau itu. Ketahuilah Adi, aku sakit... Sakit yang aku
sendiri tak tahu puncanya. Saban waktu aku menanggungnya. Perit, sengsara,
hingga ada ketikanya aku menginginkan supaya mati menjemputku lebih awal. Doktor
sendiri gagal memberikan apa-apa keputusan mengenai penyakitku. Dah puas keluargaku
membawaku berubat merata kampung, namun semuanya menghampakan. Sedangkan hari
demi hari aku makin terseksa. Entah sampai bila harus kutanggung derita ini.
Aku hanya berserah pada Allah, Adi. Adi, walaupun tak pernah ku ucapkan
kata-kata cinta pada kau, didalam hatiku kata-kata cinta itu telah kubisikkan
setiap kali kau hadir untukku. Aku sentiasa rindu untuk melihat kau. Namun aku
tak mahu memberikan kau harapan. Aku tak mahu kau kecewa. Dalam keadaanku yang
begini, tak mungkin kau mampu kuberi bahagia. Dah banyak air mataku menitis
menahan sakit dan rindu terhadap kau. Mungkin inilah pengorbananku yang
terakhir. Selepas ini tiada lagi air mata yang akan mengalir dan sakit yang
memeritkan. Saat kau membaca warkah ini. Aku mungkin dah tiada lagi, Adi. Pergi
membawa rasa cintaku pada kau. Adi, maafkanlah aku untuk setiap kesilapan yang
pernah kulakukan selama kau mengenaliku. Kau adalah hadiah yang paling istimewa
buatku semasa aku hidup. Walaupun pertemuan ini cukup singkat, buat sedetik,
aku merasakan begitu bahagia bila disamping kau. Kalaulah mampu kuucapkan
sendiri dengan lidahku... Kenanglah aku didalam setiap doa kau Adi. Sebagai
tanda ingatan dan kasih yang pernah hadir antara kita. Teruskanlah hidup kau
dengan hati yang lapang. Carilah penggantiku. Aku percaya, kau pasti akan
menemuinya. Selamat tinggal sayangku Mohd Rusdi Ramlee....
Salam Kasih Sayang Yang Berpanjangan,
Rohayu
Tanganku menggeletar dan tanpa sedar, air mataku menitis laju menuruni
pipi. Surat dari Ayu kugenggam erat. Sedarlah aku mengapa dia sering menjauhi
diri akhir-akhir ini. Rasa bersalah mencengkam hatiku. Memikirkan perkara yang
bukan-bukan tentang Ayu. Aku menangis semahu-mahunya. Pintu bilikku diketuk perlahan.
Terpacul wajah abah dibalik pintu. Segera aku dirapatinya. Bahuku disapanya
lembut. Surat didalam genggaman tanganku diambilnya. Kandungan surat itu dibacanya
perlahan-lahan. Seketika kemudian, belakang badanku diusapnya dengan kasih
sayang.
“Sabarlah Adi, ini semua dah suratan dari Allah” Suara
abah begitu lembut menyerbu pendengaranku.
“Pakcik Sham kau telefon abah tadi, katanya Ayu dah kembali ke
Rahmatullah... Abah ingat nak bagitahu kau pagi nanti”... Kata-kata
abah putus disitu. Seakan-akan begitu berat untuknya menutur kata-kata
tersebut.
“Lepas solat subuh, kita sedekahkan Yassin untuk arwah dan selepas
itu kita terus ziarah jenazah di kampungnya”... Sambung abah sebelum
berlalu.
Kisah itu telah berlalu hampir empat tahun. Kisah impian hati yang tiada
kesampaian. Kenangan yang meniti masa tetap setia menemani memoriku. Entah
sampai bila harus ku kunci perasaan daripada jatuh hati pada gadis lain.
Sedangkan didalam benak dan fikiranku, hanya ada wajah Ayu. Adakah aku yang tak
mampu menerima hakikat? Atau pengalaman menaburkan kengerian untuk aku jatuh cinta
lagi? Dalam kulalui hari-hari yang mendatang, kupanjatkan doa ke hadrat
Tuhan... Hadirkanlah kedalam hidupku, gadis yang memberikan aku ketenangan bila
bersamanya. Yang menyenangkan pandangan dan menjadi penyejuk mata tatkala
keresahan. Namun entah bila akan bersua, gadis impian, lukisan perasaan....