Iman tak dapat diwarisi..
Dari seorang ayah yang bertakwa..
Ia tak dapat dijual beli..
Ia tiada di tepian pantai..
Begitu bait-bait lagu yang didendangkan oleh sebuah kumpulan nasyid tanah air. Benar, iman itu adalah ibarat permata berharga, perlu dicari dan dijaga sepenuhnya. Malahan iman ini bukanlah suatu warisan yang diperturunkan zaman berzaman seperti adab yang diwariskan.
Mesejnya cukup mudah, jika ayah itu seorang yang beriman, belum tentu lagi anak-anaknya akan mewarisi apa yang dilakukan. Namun itu tidak mustahil berlaku jika si anak mendapat didikan yang betul dari ayah dan ibunya.
“Aku kesianlah dengan ayah dia. Ayah imam tapi anak perempuan main hoki tapi tak tutup aurat, pakai short waktu main. Sebaik kau tak teruskan main hoki sekarang ni,” ujar abang ana ketika kami berbual dalam perjalanan pulang dari solat terawih.
Jawapannya mudah. Iman tak dapat diwarisi..
Malahan iman itu tidak boleh dijual beli. Jika boleh diniagakan, merugilah pada yang kurang upaya. Justeru, Maha Pengasih serta Maha Adilnya Allah adalah dengan meletakkan syarat bahawa iman itu sesiapa boleh dapat. Tidak mengenal bangsa, kulit, kaya, miskin, rupa dan sebagainya. Namun jika sudah memperoleh, jangan pula dipersia!
ANAK ITU IBARAT KAIN PUTIH
"Setiap anak yang lahir dilahirkan di atas dasar fithrah. Hanya saja, kedua ibu bapanya yang menjadikannya yahudi, nasrani, atau majusi" (hadits)
Lahirnya kita ke dunia dengan keadaan masih bersih tanpa dosa serta noda. Selepas itu segalanya bergantung pada corak didikan yang diberi oleh ibu bapa. Mahu mencorak anak menjadi orang yang beriman, dari awallah mulanya.
“Bagaimana pula jika didikan agama yang diterap oleh ibu dan ayah cukup hebat. Tetapi akhirnya anak itu menjadi murtad, ada kes sebegini berlaku di Malaysia. Malahan ada pula pelajar sekolah agama yang berzina hingga melahirkan anak luar nikah.Kemudian dibuang merata bayi tersebut. Apa silapnya?” aju seorang teman kepada ana.
“Ada silapnya. Dimana- mana sahaja. Mungkin ibu dan ayah sudah memberi didikan agama yang cukup hebat kepada si anak, tetapi apakah mereka hanya mengajar tetapi tidak mendidik? Pengaruh alam keliling, apakah sudah diajar kepada sang anak. Melatih anak untuk berfikir secara hak dan batil. Jika dikatakan memberi pendidikan agama yang cukup hebat itu dari segi anak sudah pandai menghafal 30 juzuk al-Quran, dihantar anak ke sekolah pondok dan sebagainya, diberi segala macam input agama, tetapi outputnya bagaimana pula?Adakah berhasil jika kita hanya mengajar tetapi tidak mendidik secara telus,benar dan ikhlas. Kadang-kadang yang berlaku juga adalah salah satu bentuk ujian Allah untuk ibu bapa.”
Anak itu anugerah yang tidak ternilai dari Allah untuk para ibu bapa. Didiklah mereka menjadi generasi yang mampu membawa kegemilangan Islam ke puncak kembali.
UJIAN DARI ALLAH
Sebagaimana iman itu tidak dapat diwarisi, begitu juga apa yang berlaku pada zaman nabi-nabi. Mari kita renung sebentar kisah mengenai Nabi Nuh, berdakwah hampir seribu tahun namun hanya sedikit yang beriman. Lalu diturunkan Allah bencana berupa banjir besar yang memusnahkan kaumnya yang ingkar dan salah satunya adalah anaknya sendiri.
(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”.
Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.
(surah Hud :ayat 42-43)
Makanya ini sudah menjadi petanda kepada kita untuk mengetahui bahawa iman itu bukan warisan.
Namun, itu adalah suatu bentuk ujian untuk hamba-hambanya yang beriman. Masyarakat yang memandang pula tidak harus menghukum sedemikian rupa.
“Eh, ustaz ni cakap serupa tak bikin. Dia dok berdakwah dekat kita, tengok anak-anaknya teruk juga.”
Nah, suara-suara sumbang sebegini yang sering berprasangka sudah menjadi satu penyakit dalam diri masyarakat dewasa kini.
Apa salahnya kita bersangka baik dengan berkata sebegini..
“Kasihan juga ustaz tu, sering berdakwah kepada masyarakat lain, namun anak-anaknya pula sedemikian. Mungkin dia sudah mendidik dengan yang terbaik dan ini adalah salah satu bentuk ujian untuknya.”
BERUBAHLAH MULAI SEKARANG
Tidak dinafikan, akhlak masyarakat mulai sekarang semakin buruk kerana masayrakat dulu juga. Jika kita tidak mengislahkan diri kita untuk menuju ke arah kebaikan, bagaimana kita untuk mendidik anak-anak dengan lebih baik.
Jadi, marilah kita berubah untuk menghasilkan generasi soleh. Ibu bapa soleh, insyAllah akan akan berjaya mendidik anak-anak soleh dengan izinNya jua..
Ingat,tidak akan berubah nasib sesuatu kaum kalau bukan kita yang mengubahnya sendiri. Mahu anak soleh, isteri soleh atau suami soleh? Kitalah yang harus menjadi soleh dulu...