Assalamualaikum semua…post ni merupakan satu
cerita yang sedih..ya..kasih ibu amat besar..lebih besar daripada segalanya,
lebih berharga daripada nilai permata lebih beharga gaji yang kita
perolehi..tetapi mengapa kita perlu jadi sedemikian rupa…bacalah dengan teliti
cerita ini…hargailah mereka selagi kita masih ada…
Pada suatu hari, seorang pemuda yang bernama
Faizal terlibat dalam kemalangan. Dia dilanggar oleh sebuah teksi di sebatang
jalan raya.
Akibat daripada kemalangan itu dia cedera parah. Kepalanya luka, tangannya
patah dan perutnya terburai. Setelah dibawa ke hospital, doktor mendapati
keadaannya terlalu teruk dan menjangkakan dia tidak ada harapan lagi untuk
hidup. Ibunya, Jamilah segera dihubungi dan diberitahu tentang kemalangan yang
menimpa anaknya.
Hampir pengsan Mak Milah mendengar berita
tentang anaknya itu. Dia segera bergegas ke hospital tempat anaknya
dimasukkan.Berlinang air mata ibu melihat keadaan anaknya. Walaupun telah
diberitahu bahawa anaknya sudah tiada harapan lagi untuk diselamatkan, Mak
Milah tetap tidak henti-henti berdoa dan bermohon kepada Allah agar anaknya itu
selamat.
Hari berganti minggu, minggu berganti bulan,
keadaan Faizal tidak banyak berubah. Saban hari Mak Milah akan datang menjenguk
anaknya itu tanpa jemu. Saban malam pula Mak Milah bangun untuk menunaikan
solat malam bertahajjud kepada Allah memohon keselamatan anaknya. Dalam
keheningan malam, sambil berlinangan air mata, Mak Milah merintih meminta agar
anaknya disembuhkan oleh Allah.
Ini adalah antara doa Mak Milah untuk
anaknya itu ;
”Ya
Allah ya Tuhanku, kasihanilah aku dan kasihanilah anak aku. Susah payah aku
membesarkannya, dengan susu aku yang Engkau kurniakan kepadaku, aku suapkan ke
dalam mulutnya. Ya Allah, aku pasrah dengan apa jua keputusan-Mu! Aku redho
dengan qada’ dan qadar Mu yaa Allah.”
”Yaa
Allah, dengan air mataku ini, aku bermohon kepadaMu, Engkau sembuhkanlah anakku
dan janganlah Engkau cabut nyawanya. Aku sangat sayang kepadanya. Aku sangat
rindu kepadanya. Susah rasanya bagiku untuk hidup tanpa anakku ini. Terngiang-ngiang
suaranya kedengaran di telingaku memanggil-manggil aku ibunya.”
“Ya
Allah, tidak ada Tuhan melainkan hanya Engkau saja. Tunjukkanlah kuasa Mu ya
Allah. Aku reda kalau anggota badanku dapat didermakan kepadanya agar dengannya
dia dapat hidup sempurna kembali.”
“Ya
Allah, aku redho nyawaku Engkau ambil sebagai ganti asalkan Engkau hidupkan
anak kesayanganku. Engkaulah yang Maha segala hal, berkat kebesaran Mu ya
Allah, terimalah doaku ini….aamiin”.
Keyakinan Mak Milah terhadap kuasa Ilahi
sangat kuat walaupun tubuh badan anaknya hancur cedera dan dikatakan sudah
tiada ada harapan lagi untuk hidup. Namun, Allah benar-benar mahu menunjukkan
kebesaran dan kekuasaanNya.
Setelah 5 bulan terlantar, akhirnya Faizal
menampakkan tanda-tanda kesembuhan dan akhirnya dia sembuh sepenuhnya. Berkat
doa seorang ibu yang ikhlas.
Faizal dapat meneruskan hidupnya hingga
berumahtangga dan beranak-pinak. Ibunya, Mak Milah semakin hari semakin tua dan
uzur.
Suatu hari, Mak Milah yang berusia hampir 75
tahun jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Pada mulanya, Faizal masih
melawat dan menjaga ibunya di hospital. Tetapi semakin hari semakin jarang dia
datang menjenguk ibunya hinggalah pada suatu hari pihak hospital menghubunginya
untuk memberitahu keadaan ibunya yang semakin teruk.
Faizal segera bergegas ke hospital. Di situ,
Faizal dapati keadaan ibunya semakin lemah. Nafas ibunya turun naik. Doktor
memberitahu bahawa ibunya sudah tidak ada masa yang lama untuk hidup. Ibunya
akan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada bila-bila masa saja.
Melihat keadaan ibunya yang sedemikian dan
kononnya beranggapan ibunya sedang terseksa, lantas Faizal terus menadah tangan
dan berdoa seperti ini;
“ Yaa Allah, seandainya mati lebih baik
untuk ibu, maka Engkau matikanlah ibuku! Aku tidak sanggup melihat
penderitaannya. Yaa Allah, aku akan redho dengan pemergiannya…Aamin.”
Begitulah bezanya doa ibu terhadap anak dan
doa anak terhadap orang tuanya. Apabila anak sakit, walau seteruk mana
sekalipun, walau badan hancur sekalipun, walau anak tinggal nyawa-nyawa ikan
sekalipun, namun ibu bapa akan tetap mendoakan semoga anaknya diselamatkan dan
dipanjangkan umur.
Tetapi anak-anak yang dikatakan ‘baik’ pada
hari ini akan mendoakan agar ibu atau bapanya yang sakit agar segera diambil
oleh ALLAH, padahal ibu bapa itu baru saja sakit. Mereka meminta pada Allah
agar segera mematikan ibu atau bapanya kerana kononnya sudah tidak tahan
melihat ‘penderitaan’ ibu bapanya.
Anda bagaimana? Apa doa anda untuk ibu bapa
anda?