Wednesday, May 16, 2012 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Solat, doa mesti dijiwai~

Solat, doa mesti dijiwai, difahami sepenuh hati supaya diterima
KOMUNIKASI membolehkan penyampaian maklumat antara manusia berada di kutub utara dengan kutub selatan berlaku dalam beberapa saat walaupun dipisahkan jarak beribu kilometer. Interaksi tanpa sempadan ini memudahkan urusan harian manusia yang semakin bijak dan rancak mengurus kehidupan.


Bagaimanapun, manusia sering lupa kepada Yang Maha Pencipta kepada komunikasi dan interaksi. Sesungguhnya alam ini diurus dan ditadbir oleh Sang Pencipta Yang Maha Hebat tetapi manusia lupa untuk berkomunikasi dengan Pencipta.
Jika kita kehilangan telefon bimbit dan tidak dapat mengakses internet pasti hidup rasa kekurangan kerana tidak lagi dapat berhubung dengan ahli keluarga dan rakan yang jauh. Apatah lagi jika kita adalah ahli perniagaan atau pengurus kepada sesebuah organisasi.
Tidak kurang juga ada sebahagian manusia bagai ‘cacing kepanasan’ apabila tidak dapat berkomunikasi di laman sosial dunia internet atau tidak dapat menghantar pesanan ringkas (SMS). Era globalisasi tidak dapat memisahkan manusia dengan peralatan komunikasi.

Namun, manusia yang tidak pernah cuba mengenali kepentingan komunikasi dengan Tuhan Pencipta Sekalian Alam akan berasa ‘tidak apa’ apabila lewat atau terus meninggalkan komunikasi dengan Allah Taala yakni melalui doa dan solat.

Berapa ramai antara kita merasakan kepuasan selepas mengadu dan berkomunikasi dengan Allah Taala? Paling malang apabila solat dan doa dibuat sebagai kelaziman fizikal saja tetapi tidak terkesan oleh rohani.

Maka tidak hairan jika orang yang bersolat tapi masih berbuat kejahatan dan kemaksiatan. Bacaan dalam solat tidak difahami maknanya dan doa pula jika dibuat secara berjemaah hanya diaminkan mengikut imam.
Doa bahasa Arab dan ramai yang memang tidak faham langsung. Alangkah baik berdoa dalam bahasa Melayu dengan penuh penghayatan dan pengharapan kerana ia lebih berpotensi dimakbulkan Allah.

Maka, muncullah rungutan sudah penat berdoa tapi Allah tidak memakbulkan, walhal bagaimana doa mahu diperkenankan sedangkan hati dalam keadaan tidak bersungguh-sungguh dan lalai.


Allah berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina.” (Surah al-Mu’min, ayat 60)

Apabila seseorang hamba berkomunikasi dengan Allah tetapi tidak difahami dirinya mengenai apa yang diperkatakan itu, ia ibarat meminta tolong dengan orang di depan tetapi kita tidak menyebut namanya.

Apakah orang itu akan menolong? Namun Allah tidaklah bersifat seperti sifat manusia kerana Allah Maha Mengetahui perihal setiap hambanya melebihi apa yang diketahui hamba itu sendiri. Cuma, Allah ingin melihat usaha hamba-Nya walau Dia tahu keperluan hamba-Nya.

Oleh itu, jika kita pernah kegelisahan apabila kehilangan telefon dan tidak dapat berhubung dengan rakan, periksa diri semula pernahkah atau selalukah kita merasai kegelisahan apabila kurang berdoa kepada Allah atau apabila terlewat menunaikan solat?

Jadikan pengaduan segala permasalahan kita walau sekecil-kecil masalah terlebih dulu kepada Allah sebelum kita mengadu kepada manusia kerana sesungguhnya Dia telah menciptakan jalan penyelesaian dan kesembuhan.

Kita juga sering lupa melihat Dia mendatangkan pertolongan dan jalan keluar melalui sebab manusia lain lalu menyebabkan kita terus lupa kerana menyangka manusia jugalah yang membantu bukan meletakkan segala sesuatu atas keizinan Allah.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari, beliau menjelaskan: “Ketika kami bersama Rasulullah SAW dalam satu peperangan, tidaklah kami mendaki tanah tinggi, menaiki bukit dan menuruni lembah, melainkan kami meninggikan suara ketika bertakbir.

Kemudian Baginda mendekati kami dan bersabda: “Wahai sekalian manusia, tahanlah diri kamu, sesungguhnya kamu tidak berdoa (menyeru) kepada Tuhan yang tuli (pekak) dan jauh, akan tetapi kamu berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Sesungguhnya Tuhan yang kamu seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kamu melebihi dekatnya seseorang dari kamu dengan leher binatang tunggangannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Daripada Anas, bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman, Aku menuruti persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku akan sentiasa bersamanya jika ia berdoa kepada-Ku.” (Hadis Riwayat Ahmad).



Monday, May 14, 2012 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

"Maafkan mama, sayang.."~Kisah Sedih~

Mira mengelap badannya yang basah dengan tuala biru. Apabila dirasakan badannya sudah kering, Mira belari-lari anak menuju ke almari Mickey Mouse yang terletak bersebelahan katilnya.

Dibuka almari yang berwarna coklat, Mira merenung sejenak melihat baju-baju yang tergantung. Mira membelek dua tiga helai baju, akhirnya Mira memilih gaun merah hati separas lutut. Baju itu sebenarnya baju Kak Diba, tapi kak Diba tak muat lagi pakai baju itu. Bukan baju ini saja milik Kak Diba, malah hampir semua baju yang tergantung dalam almari ini adalah baju kak Diba. Kak Diba besar sikit daripada Mira. Kak Diba tinggi, kalau Mira jenjeng kaki baru sama tinggi dengan Kak Diba.


Pantas tangan Mira menyarung gaun itu dan Mira menggayakannya di hadapan cermin. Kemudian Mira mencapai sikat, menyisir rambutnya yang pendek. Bedak 'Baby Johnson' yang terletak di atas kepala katilnya dicapai, digoncang bedak itu dan dituangkan di atas telapak tangannya yang comel. Bedak itu disapu ke mukanya yang agak gelap. Kulit kak Diba tak gelap, kulit kakaknya yang seorang itu putih, putih macam kulit mama. Agaknya sebab itu mama sayang dan selalu cium kak Diba. Selesai menyapu bedak, Mira pantas menuruni anak tangga menuju ke ruang tamu rumah.

Mira nak tunggu mama. Semalam Mira dengar mama cakap dengan kak Diba, nak bawa Kak Diba pergi ke KFC. Mama kata nak sambut hari lahir Kak Diba. Kata Kak Diba semalam, mama beli kek coklat Teddy Bear untuknya. Mira dapat bayangkan betapa seronoknya dapat makan kek. Tiap-tiap tahun mama belikan kek untuk Kak Diba. Atas kek itu mama letakkan lilin. Tahun lepas, Mira bilang atas kek Kak Diba, ada tujuh batang. Kak Diba tiup api lilin itu sehingga padam. Masa Kak Diba nak tiup lilin orang ramai akan nyanyi. Bila lilin dah padam orang semua tepuk tangan, kemudian Kak Diba pun potong kek. Kak Diba dapat banyak hadiah. Macam-macam hadiah kak Diba dapat. Tapi mama tak pernah beli kek untuk Mira, Mira pun nak tiup lilin juga, macam Kak Diba, tapi mana ada kek. Mira pun nak dapat hadiah macam kak Diba. Kadang-kadang Mira ambil kek muffin yang mama beli kat pasaraya bawa masuk dalam bilik, Mira kunci pintu bilik dari dalam kemudian Mira letakkan lilin besar atas kek kecil itu, kemudian Mira pun tiup. Tapi Mira langsung rasa tak seronok. Tak macam Kak Diba. Tak ada orang nyanyi dan tak dapat hadiah pun.

Mira terdengar bunyi enjin kereta memasuki halaman, Mira terus bangun dan berjinjit memulas tombol pintu kayu yang berwarna coklat. Pintu terbuka, Mira lihat mama dan Kak Diba keluar dari kereta. "Hai Mira," sapa kak Diba sambil menanggalkan kasut sekolahnya. Mira hanya tersenyum.

"Diba! pergi cepat mandi, nanti kita nak pergi KFC." Kata mama sambil berlalu masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan Mira. Mira menuruti mama. Mama ke dapur, Mira ke dapur. Mama minum air, Mira tunggu, kemudian mama naik ke atas, Mira pun naik juga. Mama jeling Mira, mungkin rimas kerana Mira asyik mengekori mama. Mira buat selamba je. Mira tetap ikut mama, kalau Mira tak ikut ke mana mama pergi nanti Mira kena tinggal lagi. Mira tak nak kena tinggal. Kalau kena tinggal, tak dapatlah Mira makan kek Teddy Bear coklat, tapi itu tak penting, yang penting Mira nak pergi KFC.

Mira selalu dengar Kak Diba cerita seronok sangat pergi KFC. Lina dan Aishah anak makcik Eton pun selalu beritahu mereka seronok kalau dapat ke KFC, dapat makan ayam goreng, kentang goreng, ada permainan dan macam-macam lagi. Mira hanya terlopong mendengar cerita Kak Diba, Lina dan Aishah. Mira teringin benar nak ke sana. Lagipun Mira selalu tengok dalam TV iklan KFC, ayamnya sedap.Upin dan Ipin pun suka ayam goreng. Kalau tak sedap, masakan sampai mereka menjilat jari. Mama masuk bilik, Mira pun masuk sama.

"Mira, kenapa ikut mama aje ni?," nyaring suara mama. Mira tak rasa takut pun kerana Mira dah biasa sangat kena marah dengan mama. Mira diam, hanya tunduk dan duduk di birai katil mama. Mama kemudiannya masuk ke bilik air. Bilik mama besar, ada tv, ada kerusi, katil mama pun besar, tak macam katil Mira, kecil aje. Berhadapan dengan katil mama ada sebuah meja yang dilengkapi cermin besar, atas meja tu ada macam-macam botol dan bekas. Ada gincu, ada bedak, ada celak. Yang Mira hairan celak mama macam pencil Mira dan Kak Diba. Mira ingat lagi mama piat telinga Mira, dan rotan punggung Mira kerana gincu yang baru mama beli patah, tapi sebenarnya bukan Mira yang buat, Kak Diba yang patahkannya.

"Mama, tolong ikat tali belakang baju Diba," kak Diba tiba-tiba muncul. Cantiknya baju Kak Diba. Baju yang Kak Diba pakai tu, mama beli semalam. Warna putih dan ada sedikit corak.

"Nanti kejap Diba, mama pakai baju dulu." Mama baru keluar dari bilik air, kemudian mama meluru ke almari besar, mama membuka almari, memilih baju. Banyak betul baju mama, macam-macam warna. Mama capai blaus dan seluar panjang berwarna biru lembut.Setelah siap pakai baju, mama ikat tali baju kak Diba. Kemudian mama pimpin tangan Kak Diba ke meja soleknya. Mama ambil sikat dan menyisir rambut kak Diba yang panjang melepasi bahu. Mama tak pernah pun sikat rambut Mira. Hanya Mak Mah saja yang kadang-kadang menyikat rambut Mira. Mama kemudian ikat rambut Kak Diba, mama selitkan reben di atas kepala kak Diba. Kemudian mama selitkan juga pin rama-rama di rambut Kak Diba. Bergerak-gerak rama-rama itu. Mama ambilkan bedak dan sapu di muka Kak Diba, kemudiannya menyapu bedak, gincu dan celak. Setelah siap, mama capai beg tangan yang warnanya sama dengan baju mama. Mama pimpin tangan Kak Diba menuruni tangga. Mira ikut dari belakang. Sampai di muka pintu Mira berlari pantas memintas mama dan Kak Diba menuju kereta Wira biru gelap, di laman rumah.

"Nak pergi mana ni, Mira?" Mira diam dan semakin merapati kereta dan memegang pembuka pintu kereta. "Diba masuk." Mama membuka pintu depan.

"Biarlah Mira ikut kita mama." Kata Kak Diba,

"Tak payah! menyusahkan dan buat malu saja," tengking mama dan kemudian memegang kedua belah pergelangan tangan Mira dan menyeret Mira mejauhi kereta. Mira meronta minta dilepaskan gengaman tangan mama. Makin kuat Mira meronta makin kejap tangan mama memegang lengan kecilnya itu.

"Eee degilnya budak ini. Mama kata masuk... masuk." Mira geleng kepala.

"Mak Mah, Mak Mah ambil Mira ni...," lantang suara mama memanggil Mak Mah. Mira ditariknya ke muka pintu. Mak Mah yang agak gempal itu berlari terkedek-kedek. Mak Mah pegang Mira, Mira meronta mahu dilepaskan. Mak Mah peluk Mira.

"Nanti Mak Mah bawa Mira pergi kedai, kita beli aiskrim ye sayang..." Mira meronta lagi, dia tak nak pergi kedai, dia nak pergi KFC. Mira dah puas pergi kedai tepi jalan sana tu, Mira dah jemu makan aiskrim. Mira nak makan ayam goreng macam dalam tv. Kereta biru tua mama meluncur laju meninggalkan Mira dan Mak Mah.

Air mata Mira mengalir, Mira meronta lagi. Sampai hati mama tak bawa dia, Mira leraikan pelukan Mak Mah dan berlari naik ke biliknya. Mak Mah cuma melihat saja. Di hatinya terselit rasa simpati terhadap anak majikannya yang seorang ni. Mak Mah tahu puannya tak suka Mira. Bagi majikannya itu, kelahiran Mira seolah-olah membawa sial yang merampas segala kebahagiaan yang dimilikinya.

Mira dilahirkan bisu 6 tahun lalu. Kehadiran Mira menjadi punca perpisahan majikannya yaitu Puan Maria dengan suami. Rumahtangga yang dibina tanpa restu keluarga itu terus berantakan dengan kelahiran Mira. Encik Rashidi tidak dapat menerima kecacatan Mira dan menuduh bahawa kecacatan berpunca dari Puan Maria. Keluarga Encik Rashidi juga cuba menangguk di air yang keruh, menghasut agar Rashidi meninggalkan menantu bukan pilihan mereka. Akhirnya Encik Rashidi berkahwin lain dan meninggalkan Puan Maria.

Penceraian mereka memberi pukulan hebat kepada Puan Maria. Segala kemarahannya dihamburkan kepada Mira yang tak pernah mengerti apa-apa. Si kecil itulah tempat dia melepaskan segala amarahnya. Kadang-kadang Mak Mah cuba menasihati majikannya itu, tapi nasihatnya ibarat mencurah air di daun keladi. Lagipun Mak Mah sedar dia cuma orang gaji, mana layak menasihati majikannya itu.

Mira menangis teresak-esak di katil. Segala benda di atas katil dibalingnya. Dia betul-betul rasa benci pada mamanya. Sampai hati mama meninggalkannya. Mama dah tak sayangkannya lagi. Memang tak pernah sayangkannya. Mama tak pernah beli baju untuknya. Mama tak pernah beli mainan atau buku untuknya. Mama cuma beli untuk Kak Diba seorang saja. Mama tak pernah cium pipinya. Yang mama cium hanya pipi gebu Kak Diba seorang. Mama tak pernah mendukungnya, jauh sekali membawanya berjalan-jalan. Cuma sekali, itupun tak sempat makan, mama telah menarik tangannya dan Kak Diba keluar dari restoran. Mira tak tahu kenapa, tapi yang pasti dan Mira lihat semua orang pandang ke arah mama, Kak Diba dan Mira. Mereka akan menjeling pada Mira bila Mira bercakap menunjukkan isyarat tangan. Mereka pandang dan berbisik-bisik. Lepas tu mama bawa Mira dan Kak Diba sebelum makanan terhidang.

Mata Mira terpandang tabung berbentuk rumah yang terletak di kepala katilnya. Dicapainya tabung pemberian Mak Mah itu, Mira cuba membuka penutup tabung tersebut. Setelah gagal membukanya, Mira berasa geram sangat lalu menghempaskannya ke lantai. Berkecai tabung rumah yang diperbuat daripada tanah liat itu. Bertaburan duit. Mira pantas mengutip duit yang bertaburan itu dan kemudiannya memasukkan ke dalam poket gaunnya.

Kemudian pantas Mira keluar dari biliknya dan berjalan berdengket-dengket menuruni anak tangga. Di hujung anak tangga, mata Mira melilau mencari kelibat Mak Mah. Mira tak nak bertembung dengan Mak Mah, dia tak nak rancangannya terhalang lagi. Perlahan-lahan Mira merapati pintu dan membukanya lalu keluar menuju ke arah jalan besar.

Mak Mah mengesat peluh yang mengalir didahinya dengan hujung lengan baju kurung Kedah. Letih betul rasanya hari ni, mana tidaknya, banyak betul kerja yang perlu dibereskan. Dua hari dia bercuti, membukit baju-baju tak di basuh, bertimbun pinggan mangkuk dalam sinki. Itu belum lagi sampah yang lain.

"Mana si Mira ni... senyap je. Biasanya petang begini Mira akan merengek nak itu, nak ini," bisik Mak Mah sendirian. "Tidur agaknya," teka Mak Mah sambil mengambil vakum untuk membersih permaidani di ruang tamu yang telah dihinggapi habuk.Terkejut Mak Mah apabila melihat pintu besar ternganga luas. Ditutupnya pintu itu kemudian dia bergegas ke tingkat atas.

"Mira, Mira..." jeritnya. Tiada sebarang jawapan. Mak Mah menjengah bilik Mira. Terkejut Mak Mah melihat serpihan tabung Mira bertaburan fikir Mah begitu jua rasanya berkecai hati Mira. Hatinya diserbu rasa bimbang. Sejurus kemudian terdengar bunyi enjin kereta dimatikan. Mak Mah pantas turun dan bergegas mendapatkan puan Maria. Belum sempat Puan Maria menanggalkan kasut Mak Mah menerpa.

"Puan, Mira dah tak ada dalam biliknya. Dia dah lari."

"Lari? Mak Mah dah cari?"

"Dah, tabung duitnya habis pecah."

"Macam mana Mak Mah jaga dia?" Puannya mula naik angin.

"Tadi Mak Mah membasuh, sedar-sedar masa Mak Mah nak bersihkan karpet ni, Mak Mah tengok pintu terbuka. Bila Mak Mah naik atas, Mira dah tak ada." Kian getar suara Mak Mah berkata. Kelopak matanya mula digenangi air.

"Ke mana pula budak ni."

"Mira mana Mak Mah?" tegur Diba yang sedang memegang plastik yang sarat dengan hadiah.

"Assalamualaikum." Tiba-tiba terpancul Encik Latif suami makcik Eton di muka pintu.

"Wa'alaikumsalam. Masuklah." Encil Latif melangkah masuk.

"Puan Maria, saya harap Puan Maria banyakkan bersabar. Mira... Mira..."

"Kenapa dengan Mira?" Hati puan Maria diserang kebimbangan.

"Mira kemalangan, dia cedera parah. Saya terlanggar dia dekat hujung simpang sana tu," kata-kata Encik Latif bagaikan menghempas batu ke kepalanya. Berpinar-pinar pandangannya.

"Mira... Miraaaaa...."

"Mama... Mama..." Puan Maria terasa bahunya digoncang. Bila dia membuka matanya. Diba dan Mak Mah berada di sebelahnya.

"Mama, Mira dah balik, tu ada kat luar. Tadi pakcik hantar. Tapi Mira tidur je dari tadi." Diba bersuara memberitahu mamanya.

"Tidur?! Macam mana Mira Mak Mah?"

"Sabarlah Puan Maria. Tuhan lebih sayangkan dia, sabarlah."

"Tidak... Tidak Mak Mah..."

Puan Maria pantas menerpa ke ruang tamu. Dilihatnya tubuh kecil yang pernah dibencinya kaku terbaring menghadap Ilahi. Puan Maria terjelepuk.

"Maafkan mama, sayang..

Friday, May 11, 2012 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

♥Redha Allah terletak atas redha Ibu bapamu♥








Ketika kita lapar...tangan ibu yang menyuap makanan,

Ketika kita haus...tangan ibu yang memberi minuman,

Ketika kita menangis...tangan ibu yang mengesat air mata yang gugur bertaburan,

Ketika kita gembira... tangan ibu yang menadah Syukur, memeluk kita erat dengan deraian air mata bahagia,

Ketika kita mengantuk...tangan ibu yang dodoikan dengan penuh kasih sayang darinya,

Ketika kita mandi...tangan ibu yang meratakan air ke seluruh badan,membersihkan segala kekotoran, Ketika kita dilanda masalah...tangan ibu yang membelai duka sambil berkata: Sabar nak, Sabar ye sayang.... Sabar ye sayang....



Namun,

Ketika ibu sudah tua & kelaparan...tiada tangan dari anak yang menyuapkan makanan,

Dengan tangan yang menggeletar, ibu suap sendiri makanan ke mulut dengan linangan air mata yang tenang,

Ketika ibu sakit...di mana tangan anak yang ibu harapkan dapat merawat kesakitan ibu yang terlantar?

Ketika nyawa ibu terpisah dari jasad...

Ketika jenazah ibu nak dimandikan...

di mana tangan anak yang ibu harapkan untuk menyirami jenazah ibu buat kali yang terakhir dari anak kesayangan.

Tangan ibu, tangan ajaib...

Sentuhan ibu, sentuhan kasih...

Boleh membawa ke Syurga Firdausi...

Ciumlah tangan ibu, Sebelum ibu pergi bertemu Illahi & takkan kembali lagi...


 
Biarpun dunia merayakan hari ibu untukmu.. namun bagiku setiap hari ini dan hari-hari seterusnya
adalah hari untukmu.. Tanpa emak siapalah sy.. Terima Kasih mak ats segalanya... I Love U Mom~~
Fahamilah bahawa ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu banyak berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak-anak. Sedarilah bahawa ibu bapa kita kini telah tua, lemah tenaga, kabur penglihatan dan kurang pendengaran. Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian anak-anak. Gembiralah ibu bapa andainya mereka di kasihi dan dimuliakan dan hancurlah hati ibu bapa jika kita menderhakainya. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin kita dapat menebusnya.

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [al-Isra’ 17:24]

Redha Allah terletak atas redha Ibu bapamu... jadi ibu, ku pinta jgnlah ibu lupa mendoakan diri ku... anak mu ini sentiasa mendoakan ibu supaya dikurniakan kesejahteraan di dunia dan beroleh syurga di akhirat nanti.. Amin Ya Rabb!


Thursday, May 10, 2012 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

ღ~Di Sebalik Air Mata Mohd Rusdi Ramlee~ღ

Alhamdulillah segala nukilan disebalik blog ni hanya lah kiasan luahan perasaan seorang hamba Allah yang kerdil lagi hina.

Disebalik nama Mohd Rusdi Ramlee, terpahat 1001 kisah.

Disebalik senyuman yang terukir, disebalik gelak tawa yang terdengar

Disebalik air mata yang mengalir itu, segalanya punya ertinya sendiri.



 Terpahat dihati ini bahawa aku perlu senyum, walau segala dugaan datang terus menerus menerpa hati nurani ini.

Dek kerana hati jua mulutku sudah tidak cukup kuat untuk mengukir kata-kata yang mengambarkan rasa hati ini,

Ku persembahkan menjadi coretan blog Sebutir Kasih Sejuta Sayang yang amat ku sayang ini

Jika ditanya, punya masalah atau tidak aku lebih senang dan tenang untuk berkata tidak,

Bukan tidak mahu berbagi, tapi aku tidak mahu semua bersusah demiku

Sayangku hati , itu bukan masalah melainkan ujian yang diberi untuk membawa hati ini yang sering lalai kepada pencipta yang sebenarnya.

Aku berpegang pada kata-kata nie, meski aku tak sekuat mana pun,


“LELAKI yang KUAT tidak menceritakan masalahnya pada DUNIA. Ia menghadapinya dengan SENYUMAN dan BERBAGI hanya dengan mereka yang peduli.#^_^)”


Jika kau mengenali ku dari jauh pasti kau merasa aku orang paling bahagia kerana aku bijak menyembunyikan segala rasa hati dibalik senyuman ceria.

Aku hanya mahu jadi tunjang kekuatan buat sahabatku semua,

Tidak mahu lemah dihadapan mereka, kerana mereka memerlukan aku,

Kerana mereka memerlukan semangat dan kekuatan aku,

Sahabatku, bukan aku yang memberi semangat itu semuanya kehendak yang maha Esa

Aku cuma perantaraan dari-Nya,

Kadang semangat yang aku hulurkan padamu sahabat itu adalah yang menjadi sumber kekuatanku jua.



Cinta, keluarga dan persahabatan menjadi tunjang utama hidupku,

Cinta itu pada Ilahi

Rindu itu buat keluarga

Kasih itu buat persahabatan

..Tika aku senyum itu tidak bererti aku gembira,
tika aku menangis itu tidak bererti aku sedih,
kadang aku sendiri keliru,
dan saat itu hanya ?DIA yang yang mengerti  HATI  INI..”


~Setulus Hati Cinta Ilahi Mohd Rusdi Ramlee~

 



Wednesday, May 9, 2012 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~PADAMU~



Ya Allah Ya Tuhanku

Ku harap padaMu Rabbi yang satu

Di waktu aku lalai ingatkanlah aku

Ketika aku beramal ikhlaskanlah hatiku

Agar amalanku diterima olehMU



Ku harap padaMu Tuhan

Di masa aku dihujani berbagai ujian

Kirimkanlah selembar sabar sebagai peneman

Beri aku keteguhan yang jitu bersulam iman

Agar imanku tidak akan terkorban

Di sela-sela aku mendepani cabaran



Ku harap padaMu Tuhan

Di silih pergantian nikmatMu

Peliharalah hatiku agar terus syukurku tidak terhenti

Masukkanlah pula rasa cinta dan takutkanMu

Agar tidak pula aku cinta dan takut

Selain dari Mu



Duhai yang Maha Penyayang

Jadikan aku terhibur dengan mehnahMu

Dengan itu pula aku tidak berhenti mengingatiMu

 Engakulah hidup dan matiku

Jangan pernah Engkau meninggalkanku



Itulah harapanku selalu

PADAMU