Thursday, March 17, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Puasa Sunat Hari-hari Putih (13, 14 & 15 hari bulan)


Hari-hari putih ( أيام البيض ) ialah hari-hari di mana malamnya bulan mengambang penuh iaitu pada 13, 14, dan 15 haribulan kalendar Islam. Pada hari-hari ini, kita telah disunatkan berpuasa seperti yang telah disebutkan dalam beberapa hadith seperti di bawah:

أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ قَالَ هِيَ كَصُومُ الدَّهرِ

Maksudnya: Rasulullah s.a.w. menyuruh kami berpuasa dari tiap-tiap bulan tiga hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan dan beliau bersabda: Ia adalah bagaikan puasa sepanjang tahun. [Hadis riwayat An-Nasai (1/328-329), Ibn Hibban (943), Baihaqi dalam Sunannya (4/294) dan Ahmad (5/152 dan 177)]

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَبَا ذَرٍّ إِذَا صُمْتَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ فَصُمْ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Maksudnya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Abu Zar! Jika engkau berpuasa tiga hari dan tiap-tiap bulan, maka berpuasalah pada 13, 14, dan 15.” [Hadis riwayat Nasai dan Tirmizi; Lihat Sahih al-Jami' (7817), Sahih wa Dha'if Sunan Tirmizi (761), Irwa' (947) dan Al-Misykat/Tahkik Thani (2057)]

صِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ صِيَامُ الدَّهْرِ وَأَيَّامُ الْبِيضِ صَبِيحَةَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Maksudnya: “Puasa 3 hari dari tiap-tiap bulan ialah puasa sepanjang tahun dan hari-hari putih pada pagi 13, 14, dan 15.” [Hadis riwayat An-Nasai (2377), At-Thabrani dalam Mu'jam kabir (2437), Baihaqi (3695); Al-Albani menilai Hasan dalam Sahih wa Dha'if al-Jami' al-Shaghir (7296)]

Namun, dikecualikan berpuasa pada hari yang ke 13 Zulhijjah kerana ia adalah terdiri daripada hari-hari Tasyriq yang diharamkan berpuasa.

Selamat berpuasa!

Jadual Puasa boleh di download (PDF version) : Jadual Puasa 2011

Tuesday, March 15, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Cara Elak Melakukan Maksiat.

Ada seorang pemuda soleh yang sangat patuh kepada perintah agamanya dan sentiasa menjaga diri daripada segala rupa maksiat dan keburukan, sehingga pada suatu malam terlintas di dalam hatinya hendak berzina dengan seorang gadis jelita kerana terpesona dengan kejelitaannya.

Kebetulan pada ketika itu, disampingnya ada sebuah pelita yang sedang baru dinyalakan untuk menerangi rumah pemuda soleh itu. Maka dia pun terus menajamkan pandangannya kepada api yang sedang bernyala-nyala pada sumbu pelita itu. Kemudian dia berbisik pada dirinya sendiri:


''Engkau mengajak aku melakukan perbuatan terkutuk dengan wanita itu? Baiklah, aku akan letakkan jariku ini di atas sumbu pelita yang menyala itu. Kiranya ia tahu panasnya, nescaya aku akan turutkan kemahuanmu itu.'' 


Maka pemuda soleh itu pun meletakkan jarinya di atas sumbu tadi. Dan dia cuba menahan diri daripada kepanasannya, sehingga hampir-hampir nyawanya akan tercabut kerana tidak tahan panas yang dideritanya itu. Lalu dia berteriak:


''Wahai diriku, tahniahlah engkau! Rupanya engkau tidak tahan, padahal api dunia itu tersangatlah sejuk berbanding api neraka. Kalau hanya menghadapi api dunia, engkau sudah tidak tahan, apatah lagi menghadapi api neraka yang panasnya berkali-kali ganda lebih dasyat dari api dunia ini."

Lalu orang soleh itu pun berpaling daripada niatnya yang mula-mula tadi. Sejak peristiwa itu hatinya tidak pernah diganggu lagi oleh lintasan buruk seperti itu.

"Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga)." (an-Nisa : 31)
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."(al-Israak : 32)

Saturday, March 12, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Tafsir Al-Quran: Al-Fatihah

Semoga kita khusyuk dalam solat... InsyaAllah...


1) Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (Al-Faatihah 1:1)

2) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam (Al-Faatihah 1:2)

3) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (Al-Faatihah 1:3)

4) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat) (Al-Faatihah 1:4)

5) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Al-Faatihah 1:5)

6) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (Al-Faatihah 1:6)

7) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (Al-Faatihah 1:7)

Dagang Di Dunia

Hadith :
Daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah SAW telah memegang kedua-dua bahu ku lantas bersabda : “Hendaklah kamu menjadi seperti seorang dagang di dunia ini atau seorang pengembara...”

Ibnu Umar r.a berkata : “Apabila kamu berpetang-petang janganlah kamu menunggu waktu pagi, dan apabila kamu berpagi-pagi maka janganlah tunggu waktu petang dan pergunakan masa sihat mu sebelum sakit mu dan masa hidup mu sebelum mati mu...” (Al-Bukhari)

Huraian
Seorang Muslim hendaklah bersegera melakukan kebaikan dan memperbanyakkan amalan-amalan ketaatan dan kebajikan. Janganlah melengah-lengahkan masa dan jangan pula mengabaikan masa dengan harapan untuk melakukannya kemudian sedangkan seseorang itu tidak dapat memastikan bilakah ajalnya akan tiba.

Kepentingan Menjaga Solat.

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia.” Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman: “Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ” Riwayat at-Tirmidzi

Huraian
i) Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya.

ii) Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.

iii) Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar): “Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”