Wednesday, November 9, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Hatimu Dalam CintaNya~


Assalamualaikum...
apa khabar kamu yang bernama Hati?Masihkah lagi sihat?
Atau mungkin kurang gembira akan dirimu?
Ku harap dirimu kan seceria mentari,
Yang sentiasa menyinari alam ini.

Duhai kau yang bernama Hati,Jagalah dirimu sebaiknya,
Peliharalah tubuhmu dari berbagai anasir,
Yang cuba menggodamu.

Duhai kau yang bernama Hati..Janganlah mudah kau percaya,
Akan dunia yang penuh racun berbisa,
Jangan mudah kau mengalah dan rebah,
dengan dunia yang berselirat kehitamannya..

Kuatkan dirimu... kentalkan jiwamu,
Perangilah nafsumu duhai Hati...
Jadikanlah zikrullah dan ayatullah..
Sebagai benteng dan perisai untukmu.
Untuk dirimu yang bernama Hati,Usah dibiarkan jiwamu,
Kosong... hambar... dan sunyi...

Tiadanya Iman dan taqwa mengiringi dirimu...
Penuhilah kekosongan dan kesunyian itu,
Dengan bertasbih memuji kebesaran Ilahi...
Moga sentiasa nama-NYA dalam dirimu.
Untuk dirimu yang bernama Hati,Jangan cepat berundur dan mengalah,
Tatkala ujian datang menyergah,
Walau kadang dirimu ingin rebah,
Kadang terduduk menangis pilu,
Bangkitlah wahai hati..
Ingatlah bahawa DIA sedang mengujimu..
Itu tandanya dirimu masih disayangi oleh-NYA.

Duhai hati yang ku sayangi..Tolong sentiasa ingatkan dirimu,
Usah terlalu mengejar cinta manusia,
Yang tiada bertepi..
Kerna ia hanya akan memberi luka di hati,
Usah kau menagih cinta manusia,
Jika ia hanya sekadar menyinggah menyapa..
Jangan terlalu mengejar cintanya..
Kerna belum tentu dia menjadi milikmu,
Cukup sekadar cintai dalam diam,
Cukup sekadar dari kejauhan,
Jika benar dia tercipta untukmu
Kau tetap akan bersatu.

Duhai hati yang ku sayangi,Tetapkanlah dirimu,
Luruskanlah niatmu,
Jangan mudah kau tersungkur,
Dari cubaan yang seringkali ingin menyimpangkan dirimu,
Jitukan semangat jiwamu,
Tepislah segala anasir asing yang cuba menghampiri menggodamu...

 
Pesanan untukmu wahai Hati...Walau bagaimana berat sekalipun dirimu diuji..
Walau badai sentiasa menghampiri..
Walau apa pun kisah yang akan terlukis..
Jangan dibiarkan kelongsong jasadmu..
Sepi dan sunyi tanpa CINTA-NYA...
Semailah haruman kasihmu kepada-NYA... Moga CINTA-NYA kan menghiasi  mewarnai.. dirimu yang bernama Hati.

Untukmu perhatian hati..
Terangilah dirimu
Dengan cahaya CINTA dari-NYA..
Kejarlah kasih CINTA sejati-NYA
Raihlah CINTA-NYA abadi lagi hakiki.......
Untuk selamanya...

Tuesday, November 8, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Kisah Burung Kecil~



Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali.
Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu:
“Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.”
Lalu dijawab oleh burung berkenaan:
“Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”
Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusan itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan).
DARIPADA Amir bin Saad, daripada bapanya (Saad bin Abi Waqas) katanya:
“Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil’.” (Hadis riwayat Muslim)
Sumber:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
p/s:
Setiap perbuatan dinilai pada niat.. seperti kisah burung kecil yang cuba memadam api Nabi Ibrahim AS dan cicak yang cuba memarakkan api (“Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil” (Hadis riwayat Muslim)). Walaupun usaha mereka kecil tetapi tetap dipandang oleh Allah SWT. Jadi,lakukanlah kebaikan dimana sahaja kita berada walaupun kita diperkecilkan oleh manusia namun tidak pada pandangan Allah Yang Maha Berkuasa..



~Biar Duka Berlalu~

“Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?”, marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun. “Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?”, leter ibu lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. “Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang. “ Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.

“Sakit bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi….Bu, jangan pukul bu…sakit bu…” Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi. “Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?” Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu. “Bu…ampunkan Along bu…bukan Along yang mulakan…bukan Along….bu, sakit bu..!!”, rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.

Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah. Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini.
Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini. Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka.

“ Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?” Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya. “Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?” “ Eh jangan, nanti dulu. Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu ye!”, si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. ‘anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya…’ bisik hati kecil Along. “Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?”, soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. “Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?”. Along terkejut mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. “Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!”, terang si ibu. “Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..”, soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan.

Along mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya. “Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas.” , arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.
Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik. ‘Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni….’ Dia bermonolog sendiri. Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. “La…kau ke, apa kau buat kat sini?”, tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan Fariz. “Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?”, soalnya pula. “Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!”, jelas Along jujur. “waa…bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macammana?” Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu. “Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!”, Along meminta kepastian. “Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!”, balas Fariz meyakinkannya. “Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni.” Cerita Along agak keseganan. Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. “Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit.” Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi. “Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?”, soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu. Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. “Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!”, pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.

Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya. “Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?”, soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. “Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!”, leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati. “Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu.” Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja. “Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit ibu", sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.

Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu. Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan.

Nasib menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal dengan upah lima belas ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membeli jubah untuk ibu. Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.
Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma. “Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!”, soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu. “Macam serius jer bunyinya Abang Joe?” Along kehairanan. “Sebenarnya, kau lari dari rumah kan?” Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air. “Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?” Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih. “Azam, kau ada cita-cita tak…ataupun impian ker…?” Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi. “Ada” jawab Along pendek “Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku…atau….” Along menggeleng-gelengkan kepala. “semua tak…Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya.” Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu. “Ala, gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya….saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan…saya….saya nak jadi anak yang soleh!”. Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah.
Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. “Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah ...terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni”, ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak. “Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe.” Kata Along lagi. “Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?”, soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya tadi. Along hanya senyum memandangnya. “Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju.” Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.
Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana, tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut. “ Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?”, soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. Along hanya tersengeh menampakkan giginya. “Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk si Malik tu?” “Tak pe lah, perkara dah berlalu….lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni", terang Along dengan tenang. “Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah", kata Fariz lagi. “Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah.” “Zam..kau ni…..” “Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah lama tu.” Jelas Along memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu. “Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!”, pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu. “No problem…tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?” , soal Fariz ingin tahu. “Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia", terang Along. “Abang Joe mana ni?” “Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!”, jelas Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk . “Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?” “Hari ni la…” balas Along. “Ooo hari lahir ibu kau hari ni ek?” “Bukan, minggu depan…” “Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?”, soal Fariz lagi. “Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi.” Jawabnya sambil mengukir senyum.
Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak. Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya, Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang–orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya itu. “Ha..hadiah….untuk….ibu………” ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.


 
Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca. ‘Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati ibu, along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu… dan terimalah hadiah ini…..KHAS UNTUKMU IBU!’ Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini. “Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan … dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan gila…” cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik. “Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?” Soalnya dengan sedu sedan. “Sebab…..dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula....” Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.

Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap derhaka.







Saturday, November 5, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Setulus Hati Buat Ayah Yang Amat Anakmu Sayangi~

Ayah,
Bagaimana khabarmu hari ini?
Bagaimana dengan kesihatanmu?
Kuharap engkau dalam keadaan baik dan dalam lindungan Allah
Sudah cukup lama aku tidak mencium tanganmu
Sudah cukup lama aku tidak mendengar suaramu
Sering aku terbayang dengan wajahmu
Rasanya baru kemarin aku meninggalkanmu
Berat rasanya jika aku jauh darimu
Kerana aku takut kehilangan kesempatan untuk berbakti kepadamu
Aku takut kehilangan peluang untuk membalas budimu
Ingin rasanya aku menyiapkan segala sesuatu khas untukmu
Menyiapkan pakaian dan sarapan pagi yang shahdu
Menyeduhkan secangkir kopi panas buatmu
Bahkan membersihkan tempat tidurmu yang usang itu.


Ayah
Sedih rasanya jika mengingatimu
Usiamu yang semakin bertambah
Warna rambutmu dan janggutmu yang semakin memutih
Kudratmu yang semakin lemah
Warna kulitmu yang semakin gelap
Tubuhmu yang semakin uzur
Penglihatanmu yang berkurang

Rasa keinginan yang amat ku harapkan adalah
Ketika membayangkan engkau sedang menuju ke surau

Untuk mengumandangkan azan subuh
Untuk memanggil jiran tetangga kita untuk segera bangun
Bersujud dan berjemaah bersama-sama
Menyambut datangnya fajar dengan zikir dan tasbih.


Rasa rasa keinginan yang amat ku harapkan lagi adalah
Ketika membayangkan engkau sedang bertafakur dimalam hari
Menangis dihadapan Allah
Menghabiskan sisa malam dengan mengadu kepada Allah
Mendoakan kami anak-anakmu
Rasa senang yang ada padaku adalah
Membayangkan engkau sedang bersilaturahim
Mengingatkan kepada saudara-saudara kita
Tentang pentingnya iman dan amal shaleh
Rasa senang yang ada padaku adalah
Mendapat khabar bahwa
Engkau sedang beriktikaf di masjid

Menghabiskan masa beberapa hari
Untuk sama-sama belajar memperbaiki diri dihadapan Allah
Dengan kawan-kawan seperjuangan kita.



Ayah
Janganlah engkau lemahkan semangatmu
Untuk menggapai keredhaan Allah
Kerana waktu semakin dekat
Terlalu banyak tempat dimana peluang-peluang keredhaan Allah berada
Yang boleh engkau raih
Jangan engkau ragu untuk bersedekah
Walau hanya segelas air untuk jiran tetangga
Atau bahkan hanya sepokok pohon kelapa
Yang boleh engkau tanam didepan rumah.


Ingatkah engkau
Ketika aku menangis dihadapanmu
Memohon dan meminta
Untuk menghabiskan sisa usiamu
Kepada kesempurnaan agama dan akidah
Rasanya begitu gembira sekali
Ketika engkau mengambil keputusan
Untuk memenuhi permintaanku
Bahkan mendengarnya jauh lebih berharga
Daripada mendapatkan harta yang berlimpah
Ketika setitis hidayah datang menyirami hatimu
Tidak sia-sia bertahun-tahun aku mendoakanmu
Agar Allah segera membuka hatimu
Jangan engkau surutkan usahamu
Agar rumah kecil kita penuh dengan suasana ahklak dan rahmat
Kerana itu akan membuatku sedih.


Ayah
Masih ingatkah engkau
Kepada kisah Alkhanza
Yang merasa bangga
Dengan keempat anak-anaknya yang sahid dijalan Allah
Tidak inginkah engkau seperti dia
Atau dengan Abu Ayub Al-Anshori
Yang tak rela jasadnya dikuburkan di kota madinah
Kerana takut akan pertanyaan Allah
Berapa banyak usianya telah dikorbankan untuk agama
Masih adakah engkau akan keinginan untuk menggapai kemewahan dunia
Masih adakah harapanmu untuk menggapai sebelah sayap nyamuk
Yang semua ini akan sama-sama kita tinggalkan
Sudah siapkah engkau
Dengan lima pertanyaan Munkar dan Nakir
Dan menghadapi alam kubur yang begitu luas atau amat sempit
Dimana Saidina Ustman selalu menangis setiap malam
Dengan mengkhatamkan 30 juzuk Alquran
Kerana takut tidak akan selamat.


Ayah
Aku sangat mencintai dan menghormatimu
Tapi aku lebih mencintai Tuhanku
Jika engkau habiskan waktumu dengan berusaha
Mencapai khusnul khotimah
Meraih senyum dan wajah yang penuh cahaya
Ketika Tuhan kita memanggil kita
Kerana pasti kita akan berkumpul lagi
Pada satu tempat yang lebih baik dan abadi
Bahkan jauh ribuan kali lebih baik sebegini
Dari alam dunia yang penuh dengan tipu daya dan pembohongan
Sadarkah engkau
Bahwa telah banyak saudara-saudara kita yang telah mengambil satu jalan
Yang berat pada awalnya
Tapi senang kesudahannya
Seperti yang telah dilakukan oleh orang-orang sholeh terdahulu
Yang telah mendapatkan petunjuk
Tidak inginkah ayah seperti mereka
Yang telah gembira hidupnya dunia dan akhirat sana
Dan telah berjumpa dan berkumpul semuanya
Bersama Rasulullah s.a.w nabi kita.



Ayah
Jangan engkau padamkan ghairahmu
Untuk membuat pengorbanan atas agamamu
Kerana itulah nanti yang akan menjadi naungan buat kita
Yang akan menyelamatkan kita dari haba panas dipadang mashar
Melindungi kita dari azab yang pedih
Tanamkan segera rasa taqwa
Kerana taqwa akan mendatangkan banyak faedah
Seperti yang telah dimiliki oleh Daud as.
Milikilah rasa takut kepada Allah dengan segera

Maafkan aku ayah
Bukan aku memberi nasihat kepadamu
Bukan maksudku mengajarimu
Tetapi kerana rasa cinta yang membuat aku terpaksa berkata-kata seperti ini
Kerana tidak ada lagi yang mampu aku perbuatkan
Selain mengajakmu kepada Allah yang satu
Bantu aku anakmu dengan doamu itu
Sekian dariku ayah yang amat aku cintai
Dari anakmu yang penuh dengan segala kelemahan dan kekurangan
Jauh diseberang lautan....

Friday, November 4, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~Erti Sebuah Pengorbanan~


SALAH satu ibadah amaliah yang dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji ialah ibadah korban. Ibadah korban bermaksud menyembelih haiwan seperti kambing atau lembu sesudah solat sunat Aidiladha sehingga hari tasyrik iaitu hari ketiga sesudah 10 Zulhijjah.
Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad s.a.w.Baginda Rasulullah sendiri dalam sebuah hadis telah mengungkapkan, orang-orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:
‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” ujar sahabat.

‘‘Itulah sunah daripada nenekmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.

‘‘Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat lagi.

‘‘Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.
Menurut Syafii hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat Islam yang berada di kampung halamannya sendiri, kerana ia amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya).
Di dalam al-Quran disebut tentang pengorbanan dua orang anak Adam. Anak pertama memberi korban dengan tulus ikhlas atas dasar niat untuk mematuhi perintah Allah s.w.t. dan mendekatkan diri kepadaNya. Sementara anak yang lain juga berkorban tetapi tidak berdasarkan ketulusan hati dan usaha sungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu korban anak yang pertama diterima di sisi Allah manakala anak kedua tidak diterima oleh Allah.
Allah berfirman dalam surah Al- Maidah ayat 27 yang bermaksud: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Haabil dan Qaabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Haabil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qaabil). Berkata (Qaabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu.” (Haabil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.”
Praktik ibadah korban ini kemudiannya diteruskan oleh Nabi Ibrahim sebagaimana firman Allah dalam surah As-Shaffat ayat 102.Maka takala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengan-Nya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyebelihmu; maka fikirkan apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu; insya-Allah,ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.
Mengapa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih Ismail kemudian membatalkan dan menebus dengan kibas? Ini bukan hanya ujian untuk kedua-duanya, bukan juga hanya untuk membuktikan ketabahan keluarga Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan kepada siapa saja bahawa tiada sesuatu yang mahal untuk dikorbankan bila panggilan Ilahi telah datang. Inilah bukti iman sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan tersebut bukan kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau dikorbankan kerana Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah kepada manusia.
Amalan berkorban bertindak mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan mendekatkan hubungan antara manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal. Sementara amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhannya) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban inilah terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi yang dikorban bukan manusia, bukan pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi binatang sebagai petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak, ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.

Berpandukan daripada kisah Haabil dan Qaabil tentang korban yang diterima oleh Allah, jelas menunjukkan bahawa keikhlasan itu adalah satu sifat yang paling utama dalam ibadah. Amalan berkorban harus menggunakan haiwan yang baik dan tinggi kualitinya, tidak cacat, cukup umur serta banyak dagingnya. Meskipun, hal-hal berkaitan ‘darah’ atau daging itu tidak sampai kepada Allah, tetapi yang lebih penting adalah ketakwaan kepada Allah. Korban itu tidak memberi erti sama sekali untuk Allah kerana Ia adalah Allah, yang Maha Agung, yang tidak memerlukan. Dengan korban tersebut diharapkan agar takwa kita kepada Allah semakin meningkat dan bahawa kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan-Nya. Oleh hal yang demikian, kunci kepada semua amalan baik amalan sosial mahupun yang bersifat individual ialah takwa.
Bila pengorbanan binatang ternak sebagai ritual keagamaan dilakukan pada hari-hari tertentu pada bulan korban, maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan bila disertai oleh sikap takwa kepada Allah. Sikap itulah yang akan membezakan dari pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, demi keluarga dan bangsa yang belum tentu diredai oleh Allah.

Umat Islam akan menyambut Hari Raya Korban dalam beberapa hari lagi. Bagi kaum Muslimin yang berkuasa menyembelih korban hendaklah melaksanakan tanpa ragu-ragu sebagai usaha untuk bertaqqarrub atau memerdekakan diri kepada Allah. Berdasarkan keterangan hadis dan firman Allah yang diungkapkan dalam al-Quran, dapat disimpulkan bahawa amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim yang kemudiannya diwarisi oleh baginda sebagai satu ibadah dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan. Ibadah korban ini berasal dari zaman Nabi Ibrahim. Tatkala Nabi Ibrahim bersama puteranya Ismail selesai membina Kaabah di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah menguji kekuatan iman kedua-dua nabi ini. Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling tinggi dalam hidup iaitu pengorbanan jiwa dan raga.
Oleh Mohd Shauki Abd Majid
Pengurus Penyelidikan YADIM