Tuesday, May 3, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

~ Talak Dengan Hati ~


  

Soalan;  
Assalamualaikum Ustaz, 
Saya ada satu kemusykilan dan mohon penjelasan tentangnya. Apakah beza antara niat dan lintasan hati? Permasalahan ini merujuk kepada masalah rakan baik saya yang sering dibisikkan dorongan talak terhadap isterinya yang datang terlintas di hati tidak kira masa dan sukar untuk dikawal. Sedangkan dia tidak mempunyai niat untuk menceraikan isterinya. Sehinggakan baginya segala perkataan yang keluar daripadanya dikira sebagai kinayah cerai. Sebagai contoh, dia memberitahu saya bahawa dia amat takut bila nak ucapkan "bye-bye" kepada isterinya pada setiap kali selepas telefon. Ini adalah kerana dia khuatir akan terlintas perkataan "cerai" dalam hatinya. Saya menasihatinya supaya perbanyakkan membaca Al-Quran dan berzikir. Adakah penyakit batin yang dihidapi rakan saya ini boleh membawa kepada jatuhnya talak? Harap Ustaz dapat memberi panduan supaya saya dapat membantu rakan saya ini. 

Sekian, terima kasih.

Jawapan;

1. Dalam masalah talak, sama ada niat atau lintasan hati, kedua-duanya tidak akan menyebabkan terjadinya talak. Talak hanya akan berlaku apabila seseorang itu melafazkan ucapan talak (atau yang memberi makna talak) dengan lidahnya. Adapun jika ia hanya berniat di dalam hati sahaja atau terlintas dalam hati (ingin menceraikan isterinya), tanpa ia melafazkannya dengan lidah, tidaklah akan menjatuhkan talak. Terdapat hadis dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- menegaskan; “Sesungguhnya Allah tidak mengira suara hati selama tidak diucapkan (oleh lidah) atau dilakukan (oleh anggota)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Imran bin Hudhain).

2. Kinayah talak bermaksud seorang melafazkan satu ucapan yang boleh diertikan cerai dan boleh juga diertikan selain cerai. Sebagai contoh, ia berkata kepada isterinya; “Hubungan kita hanya setakat ini sahaja”. Oleh kerana ia boleh difahami dengan pengertian cerai dan boleh juga dengan pengertian selain cerai, maka ia bergantung kepada niat suami ketika melafazkannya. Jadi perlu ditanya kepada suami apa niat atau maksudnya ketika mengucapkan ucapan tersebut. Jika ia mengakui bahawa niatnya sememangnya cerai, jatuhlah talak. Jika tidak, tidak jatuhlah talak. Niat itu di ambil kira kerana telah ada lafaz/ucapan yang boleh difahami sebagai talak/cerai. Adapun jika tidak ada sebarang ucapan/lafaz, niat talak/cerai itu tidaklah diambil kira kerana talak/cerai tidak berlaku semata-mata dengan niat atau lintasan hati (tanpa lafaz/ucapan) sebagai yang kita nyatakan tadi.

3. Maksud niat ialah apa yang terdetik di dalam hati ketika melafazkan sesuatu atau melakukan sesuatu. Adapun lintasan hati, ia bukanlah niat. Ia hanyalah melintas di dalam hati, kemudian berlalu pergi. Berbeza dengan niat di mana ia bukan sekadar melintas, akan tetapi menetap di dalam hati (yakni hati menerima dan menghendakinya) dan darinya melahirkan tindakan atau ucapan.

Rujukan;

1. At-Thalaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 55.

Mencium Mahram (Anak Saudara Perempuan)



Soalan: Assalamualaikum, Apa hukum suami mencium pipi anak saudara perempuannya semasa bersalaman. Antara mereka berdua beza umur 8 tahun sahaja. Suami berumur 29 dan anak saudaranya 21 tahun.


Jawapan:

Secara dasarnya harus seorang lelaki mencium wanita yang menjadi mahramnya (seperti anak perempuamnya, cucu perempuannya, ibunya, anak saudaranya dan sebagainya dari wanita-wanita yang haram dikahwininya untuk selama-lamanya). Terdapat riwayat menceritakan; Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam- mencium anaknya Fatimah (Sunan at-Tirmizi). Saidina Abu Bakar juga pernah menciuam anaknya 'Aisyah (lihat; Mughni al-Muhtaj). Namun keharusan tersebut terikat dengan syarat-syarat berikut;

1. Bebas dari syahwat. Jika ciuman menimbulkan syahwat atau dikhuatiri menimbulkan syahwat, haram menciumnya sekalipun ada ikatan mahram.

2. Bukan pada mulut. Harus mencium dahi, pipi dan sebagainya, tetapi tidak harus mencium mulut sebagaimana ditegaskan oleh Imam Ahmad. Ciuman pada mulut hanya khusus untuk suami-isteri sahaja (itupun bukan di khalayak ramai).

3. Tidak dilakukan di khalayak ramai kerana ia membangkitkan ghairah orang lain dan merupakan perlakuan yang kurang beradab yang boleh menjatuhkan nilai diri di hadapan orang lain.

4. Tidak dilakukan secara kerap, akan tetapi hanya pada sempena-sempena tertentu seperti tiba dari musafir (perjalanan jauh), menziarahi ketika sakit dan sebagainya.

Pada zaman hari ini di mana terlalu banyak faktor yang mendorong syahwat, ditambah dengan iman yang lemah, perlulah lebih berhati-hati dalam segala perkara yang membabitkan hubungan lelaki dan perempuan sekalipun ada ikatan mahram. Apatahlagi semakin banyak kes sumbang mahram yang dilaporkan berlaku hari ini.

Semakin jauh ikatan mahram, semakin perlulah lebih berhati-hati. Semakin dekat ikatan kekeluargaan, akan semakin tinggi perasaan syafaqah (kasih sayang yang tulus tanpa didorong nafsu dan kepentingan) dan tipis perasaan syahwat (kecuali manusia yang bernafsu haiwan). Contohnya, antara ibu dan anak lelaki atau antara bapa dan anak perempuannya.

Sebaliknya semakin jauh ikatan kekeluargaan, perasaan syafaqah semakin kurang dan perasaan syahwat pula semakin bertambah. Contohnya; antara saudara lelaki dan saudara perempuan dan antara bapa saudara dan anak saudara perempuan. Kerana itu, perlu lebih berhati-hati.

Sepakat para ulamak menyatakan; antara sesama mahram jika dikhuatiri menimbulkan fitnah (yakni mendorong kepada syahwat dan akhirnya terjatuh dalam zina) diharamkan mereka berdua-duaan, bermusafir bersama dan bersentuhan.

Mungkin yang lebih baik bagi ikatan mahram yang jauh ialah cukup sekadar bersalaman sahaja. Itu telah memadai untuk menzahirkan perasaan hormat dan rasa kekeluargaan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Mughni al-Muhtaj, Imam Al-Khatib as-Syirbini, 3/172.
2. Syarah al-Bujairmi 'Ala al-Khatib.
2. Fatwa As-Syabakah al-Islamiyah (islamweb.com), no. 111222, 77365, 65794, 3222, 110935.

Monday, May 2, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Sabar VS Keluh Kesah...

Sabar

Sabar dari sudut istilah, bermaksud menahan diri daripada sifat gelisah dan beremosi, menahan lisan daripada mengeluh serta anggota badan daripada perbuatan yang tidak terarah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan bersabarlah kamu  bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaanNya dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya kerana keadaannya itu melewati batas.” (Surah Al-Kahfi 18:28)

Menerusi ayat di atas, bersabar adalah dengan sedaya upaya menahan diri terkeluar daripada kalangan mereka yang beriman, yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah. Perintah sabar di atas sekali gus sebagai pencegahan daripada keinginan manusia yang ingin bersama dengan orang yang lalai daripada mengingati Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar matahari.” (Riwayat Muslim)

Sememangnya, sabar itu bukan perkara yang mudah dilaksanakan kerana padanya terdapat kesulitan dan kepenatan.




Meskipun sinar matahari itu panas dan tidak menyelesakan, manusia memerlukannya untuk mengeringkan pakaian yang basah dan memberi cahaya kepada pelbagai tanaman dan tumbuhan serta haiwan agar sedar dan sihat. Bumi akan suram tanpa hadirnya sinar mentari. Itulah ibaratnya sifat sabar. Kita memerlukan walaupun ia menagih sedikit kesusahan. Ternyata sabar itu indah!



Keluh-Kesah

Keluh-kesah berlawanan sifatnya dengan sabar. Mereka yang mempunyai sifat ini kerap mengomel lantaran kerja atau tekanan yang dihadapi walaupun kecil apatah lagi yang besar. Biasanya sifat ini hadir lantaran rapuhnya hubungan dengan Allah s.w.t.

Mereka yang mempunyai hubungan yang baik denga Allah s.w.t. mempunyai hati yang bersangka baik dengan Allah s.w.t. atas setiap dugaan yang berlaku dalam hidupnya. Bebanan hidup yang berat adalah salah satu bentuk ujian Allah kepada manusia. Ujian itu diberi untuk menguji sama ada manusia beroleh syurga atau neraka.

Manusia yang dicipta Allah sifatnya tidak sempurna, tidak berlepas daripada melakukan kesalahan apabila menerima ujian. Puteri kesayangan Rasulullah s.a.w. juga diuji apabila suatu ketika rasa keberatan melakukan kerja rumah bersendirian tanpa pembantu rumah. Lantas, dia meminta suaminya, Sayidina Ali pergi menemui Rasulullah s.a.w. untuk meminta pembantu rumah.

Permintaan Fatimah itu tidak dapat dipenuhi. Bahkan ia amat membimbangkan Rasulullah s.a.w., kerana aduan itu timbul daripada perasaan keluh-kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu dibereskannya.

Rasulullah s.a.w. bertemu dengan puterinya lalu menasihatkannya supaya membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar sebanyak 33 kali setiap kali sebelum tidur. Selepas itu, Sayidina Ali dan isterinya mengamalkan wirid yang diajar Rasulullah s.a.w. Hasilnya Fatimah mendapati dia tidak lagi berkeluh-kesah dalam menghadapi kerja-kerja seharian yang berat, malah berasa cukup bahagia melakukannya.

Itulah dia ubat yang mujarab dalam menghadapi dugaan dan menjauhkan kita daripada bersifat keluh-kesah. Moga ingatan kita yang tidak berhenti-henti kepada Allah s.w.t. akan menyebabkan kita berasa tenang bahkan bahagia menghadapi kehidupan sehari-hari. InsyaAllah…


Sumber: Solusi Isu 31

Jalan Terpilih...


Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Jalan ke syurga dibentangi dengan perkara yang tidak disukai manakala jalan ke neraka dibentangi denga syahwat."
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

 
Pengajaran
Syahwat yang diharamkan ialah seperti minum arak, zina, melihat wanita ajnabi,
mengumpat, melakukan sesuatu yang melalaikan dan sebagainya.

Sunday, May 1, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Memilih Sahabat...


Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan 
adat kebiasaan sahabatnya. Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat."
(Riwayat Al-Tirmizi dan Al-Hakim)

 
Pengajaran
Kita perlu cerewet dalam memilih sahabat kerana bertemu dengan 
seorang sahabat yang baik adalah sesuatu ketenangan dalam jiwa.