Wednesday, April 20, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Memaafkan untuk ke Syurga


Setiap hari di bumi Allah, kita berhubungan dengan makhluk lain ciptaan Allah terutamanya sesama manusia.

Jika kita seorang ibu yang bekerjaya, selalunya kita akan berhadapan dengan suami, anak-anak, rakan sekerja dan ramai lagi.

Pastinya dalam hubungan itu, kadangkala hati kita disakiti atau muncul perasaan benci kerana berlaku salah faham.

Kadangkala amat sukar untuk kita memaafkan. Apatah lagi melupakan sesuatu yang menyakitkan hati dan perasaan.

Kita selalu memberi alasan bahawa iman kita bukanlah sehebat iman seorang Nabi.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW duduk bersama sahabat di dalam masjid lalu baginda bersabda dengan ertinya: "Sekarang ini seorang lelaki penghuni syurga akan muncul dari sebelah pintu itu."

Maka muncullah seorang lelaki yang baru sahaja selesai mengambil wuduk.

Janggutnya masih basah dan menitiskan air sisa wuduk. Kemudian dia solat sunat dua rakaat dan setelah itu dia duduk.

Pada hari kedua Rasulullah SAW berkata lagi dengan ucapan yang serupa dan begitulah juga pada hari ketiga.

Ibnu Umar RA mengekori lelaki tersebut dan memohon agar dapat tidur di rumahnya. Dia amat hairan kerana lelaki tersebut biasa-biasa sahaja. Seperti orang lain juga yang mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan lain-lain.

Lalu Ibnu Umar RA bertanya kepadanya, "Wahai saudara! Demi Allah sebenarnya aku ingin mengetahui cara amalanmu kerana aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda sebanyak tiga kali bahawa kamu termasuk salah seorang penghuni syurga. Amalan apakah yang kamu lakukan sehingga kamu boleh meraih penghargaan yang hebat daripada Rasulullah SAW? Setiap malam aku memerhatikan amalanmu, tetapi solat sunatmu tidaklah terlalu banyak, dan begitu juga dengan amalan lain yang tiada beza dengan kebanyakan orang."

Lelaki itu menjawab, "Demi Allah, tiada tuhan selain Dia! Sebenarnya amalanku biasa-biasa sahaja. Tiada perkara yang perlu dilebihkan dari kebanyakan orang. Namun apa yang terpenting, iaitu ketika aku ingin tidur pada waktu malam, aku tidak pernah menyimpan rasa dendam, tipu daya, hasad dengki dan iri hati kepada mana-mana orang Muslim. Hanya itulah yang aku lakukan sepanjang hidupku."


Maha Suci Allah, sungguh hebat darjat seorang Muslim yang suci hatinya dari perasaan dendam, hasad dengki dan iri hati terhadap sesama manusia.

Mereka tenang di dunia dan juga bahagia di akhirat.

Tuesday, April 19, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Saat kupu-kupu itu....ƸӜƷ

Gambaran jiwa yang bersih oleh penyair Tunisia Ahmad Mukhtar Al-Wazi..

Kata-kata yang ringkas tetapi memiliki makna yang cukup mendalam.

Saat kupu-kupu itu.... ƸӜƷ

Tenang dalam diamnya,
Lebih jelas dari orang yang berbicara.
Bila diamnya terlalu lama,
Tergugahlah ia oleh keharusannya untuk bergerak.

Betapa sering ia melihat bayangan dirinya,
Yang terpantul dari riak air,
Seakan-akan bintang yang berkilauan,
Sedang permukaan air adalah cakerawalanya.

Ia terbang mengelilinginya,
Menatapinya dan merindukan seandainya dapat hinggap padanya,
Akan tetapi hampir saja ia binasa tenggelam,
Andai dirinya tidak segera sedar.

Itulah gambaran jiwa yang beriman,
Mustahil membodohi dirinya,
Jelas sekali perbezaan antara kesesatan dan petunjuk baginya.



1.         Seperti itulah petanda keimanan;
l        Pendiam selalu berfikir,
l        Merenung dengan tenang
l        Tidak banyak berbicara
l        Menjauhi gurau senda
Akan tetapi di selubungi oleh kewibawaan yang berpengaruh dan keindahannya benar-benar menyentuh hati.

2.       Diam memang sunnah manusia tetapi bagi org mukmin tidak bermakna ia adalah kemalasan, bersantai. Tetapi rehatnya itu hanya datang sebentar. Mukmin itu sendiri membuang sifat rehatnya oleh kerana rasa dorongan dari dalam dirinya disebabkan oleh berkat pengetahuan atau kebijaksanaan yang tertanam dalam dirinya. Syaitan tetap akan meggodanya untuk terus tenggelam dalam kemalasan tetapi cerminan ilham keimanan dapat melawannya dari tipu daya berupa senang dipuji, kedengkian atau mempunyai cita-cita untuk meraih yang fana secara berlebihan.

3.       Semakin dekat semakin jelas gambaran sebenar. Jika sang kupu-kupu itu hanya melihat dari kejauhan berkilau itu adalah riak air semata-mata. Tetapi jika terlalu dekat dapatkah ia menyelmatkan diri daripada gelombang air tinggi, yang pasti akan membasahi dirinya, memberatkan sayapnya untuk terbang kembali, atau membiarkan dirinya dari terus tenggelam dan binasa.


Dengan pengertian ini mukmin itu perlukan nasihat dan larangan serta panduan melalui ungkapan "raqaa'iq" yang melembutkan hati kita. Agar jiwa-jiwa beriman ini tidak jatuh semula setelah kukuhnya bertapak, hanyalah disebabkan oleh kilauan bayangan yang memujuknya untuk mendekati. Sedangkan kehidupan sang kupu-kupu itu hanyalah terletak pada tempat tinggi, dan keselamatannya juga terletak pada ketinggian.

~ Petikan dari tulisan Muhammad Ahmad Ar Rasyid dalam bukunya pelembut hati

Wallahu’alam

Monday, April 18, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Hadis 1: NIAT [Hadis 40 - Imam Nawawi]


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya pada bahagian awal kitab sahihnya, juga dalam Kitab Iman dan beberapa tempat lain dalam kitab sahihnya. Al-Imam Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imarah.

Latar Belakang hadis:
Hadis ini telah dilafazkan oleh Nabi Muhammad pada masa seorang lelaki berpindah dari Makkah ke Madinah semasa peristiwa Hijrah demi semata-mata kerana mengahwini seorang wanita bernama Ummu Qais dan tidak berhijrah dengan sebab Islam.

Hadis ini adalah antara hadis yang terpenting dalam Islam.

Imam Syafi’e berkata bahawa hadis ini adalah satu pertiga dari pengetahuan ilmu Islam serta berkait rapat dengan 70 tajuk cabang ilmu Fiqh.Imam Ahmad pula berkata Islam itu ada 3 asas (yang kesemuanya terdiri daripada 40 hadis):
  1. Hadis 1: telah dinyatakan di atas.
  2. Hadis 5: “Sesiapa yang mengadakan sesuatu yang tidak ada dalam urusan kita (Islam) maka dia tertolak”
  3. Hadis 6: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas. Antara keduanya pula, terdapat perkara-perkara yang diragui dan tidak diketahui oleh ramai manusia…”
Ketiga-tiga hadis ini telah diperakui oleh Bukhari dan Muslim. Kesemuanya menggariskan 3 ciri kriteria bagi membantu Muslim menilai dan menyemak apa yang telah mereka lakukan dan apa yang mereka katakan sebagai ibadah dalam kehidupan seharian:
  1. Hadith 1 - untuk menilai dan meneliti tindakan dalaman diri (iaitu tindakan hati).
  2. Hadith 5 - untuk menilai dan meneliti tindakan luaran diri (actions of the limbs).
  3. Hadith 6 - untuk menilai dan meneliti tindakan berurusan atau muamalat diri ketika berinteraksi dengan khalayak.
Niat (gerak hati ataupun lintasan dalam hati) mempunyai 2 maksud:
  1. Gerak hati sebelum melakukan sesuatu ibadah (contohnya solat).
  2. Keinginan.
Maksud kedua (2.) daripada niat inilah yang ingin disampaikan melalui hadis ini.

Pengajaran Hadis

Nabi Muhammad Rasul Utusan Allah telah memberi isyarat dengan mementingkan hadis ini iaitu hadis yang berprinsip bahawa Kelakuan itu akan dinilai dengan niat atau gerak hatinya. Dan telah pun memberi bersama 3 contoh. Inilah metodologi yang digunakan Rasulullah. Contoh diberi untuk membantu memahami prinsip. Maka dengan itu, manusia lain boleh memahami dengan mudah dan senang pula mengamalkannya dalam apa jua keadaan.

Tiga contoh dalam hadis ini ditunjukkan yang mengandungi niat baik itu adalah berhijrah dan berubah semata-mata kerana Allah dan RasulNya beserta dua lagi contoh niat yang buruk iaitu berhijrah dan berubah hanya semata faedah dunia dan hanya kerana sebuah perkahwinan dan perempuan.

Hadis ini merujuk kepada ikhlas (keikhlasan - benar dan jujur semata kerana Allah sahaja, melakukan perbuatan sepenuhnya kerana Allah samada ada yang menyaksikan atau tidak melainkan yang bersaksi hanya Allah semata). Ikhlas adalah satu syarat sesuatu perkara baik itu diterima amalannya. Syarat yang lain yang mesti dituruti adalah tindakan atau perbuatan itu mesti menepati Syariah seperti yang diterangkan dalam hadis kelima.

Ini dapat dilihat dalam lafaz syahadah:
  • “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” itu adalah ikhlas - memastikan yang kita melakukan setiap perkara itu kerana Allah dan hanya kerana Allah.
  • “Aku bersaksi Muhammad itu Pesuruh Allah” - Sunnah Rasulullah itu adalah manifestasi daripada Quran - Rasul itu adalah contoh ikutan, qudwah atau model idola terbaik untuk diikuti. Berdasarkan Sunnah baginda dalam ibadah kita seharian, Akhlaq (etika), dan Muamalat (dealings) memastikan kita bertindak mengikut syariat.
Oleh itu, syahadah menunjukkan kita terdapat syarat dalam berbuat kebaikan atau melakukan tindakan: (a) ia mesti dilakukan semata kerana Allah sebab hanya Allah yang layak disembah dan dipuja, dan (b) tindakan itu mesti selaras dengan Syariah.

Cara-cara untuk mendapatkan ikhlas:
  • Lakukan perkara kebaikan - semakin banyak perkara baik yang kita lakukan, semakin dekat kita dengan Allah, juga semakin ikhlas kita nanti.
  • Sebelum melakukan sesuatu kebaikan atau sesuatu perkara, terlebih baik kita mendapatkan ilmu pengetahuan tentang apa yang akan kita lakukan - tindakan kita atau kebaikan seharusnya dipandu dan disandarkan kepada ilmu pengetahuan yang sahih, maka dengan dengan itu dapat kita sejajarkan dengan Syariah.
  • Jangan diberi tanggapan yang salah - bermakna tidak membuat orang lain percaya bahawa tindakan salah kita adalah sesuatu yang baik. Perkara yang baik tetap baik, perkara yang salah tetap salah perlu disampaikan sebenarnya.
  • Al-Imam Ahmad berkata: Sebelum kamu melakukan sesuatu, periksa niat (tujuan hati) - tanyakan diri kamu sebelum kamu melakukan aksi perbuatan kamu: “Adakah ini semata untuk Allah?”

Terdapat 4 perkara yang bercanggah dengan ikhlas:
  1. Ma’siat - terlibat dengan dosa - ini akan melemahkan ikhlas.
  2. Syirik - sekutukan Allah.
  3. Riya’ - melakukan ibadah dengan keinginan menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
  4. Nifaq - hipokrit.
Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat. Sesuatu amalan dibalas berdasarkan niat pelakunya.



Sunday, April 17, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Fitnah Wanita

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam memberikan peringatan dari fitnahnya sebagaimana yang diriwayatkan dalam Shahih Muslim dari shahabat Abu Said Al Khudri radliyallahu ‘anhu, beliau bersabda :
 “Hati-hatilah terhadap dunia dan hati-hatilah terhadap wanita kerana sesungguhnya fitnah yang pertama kali menimpa Bani Israil adalah wanita.”

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam mengisyaratkan dengan sabdanya :
"Sesungguhnya wanita menghadap dalam bentuk syaithan dan membelakang dalam bentuk syaithan.”

Para wanita menyerupai syaitan karena ia sebagai penyebab timbulnya fitnah bagi laki-laki seperti pernyataan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam di atas. Oleh karena itu hendaklah para wanita bertakwa kepada Allah dengan menjaga dirinya dan menjaga kaum lelaki dari fitnah yang ditimbulkan karenanya.

Sabda RASULULLAH S.A.W.;
Tidaklah aku tinggalkan sepeninggalku fitnah (cobaan) yang lebih berbahaya bagi kaum laki-laki daripada (fitnah) wanita. (Muttafaq ‘alaihi)


Wahai sabahatku wanita...
Peliharalah diri kalian...
Tingkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam diri...
Agar kita tidak termasuk dalam golongan yang membawa kepada fitnah.

Thursday, April 14, 2011 | By: Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Allah bukan tidak menjawab kamu...


Ada manusia, rasa ditinggalkan Allah SWT.

Dia merasakan, Allah telah berpaling daripadanya. Hidupnya sentiasa sukar, dan kesenangannya tidak pernah lama. Derita, derita dan derita sahaja yang diterimanya. Bila dia merasakan dia baru sahaja bahagia, akan datang pula satu lagi cabaran yang menggegarkan kehidupannya.

Akhirnya dia kelelahan. Kekuatannya kontang. Lantas dia merosot jatuh, terlutut dengan tangisan. Rasa tidak berguna lagi kehidupan. Rasa lebih baik dirinya dijemput kematian segera. Kerana dia kini benar-benar rasa tidak berkemampuan. Derita yang sangat derita, dan kini dia tidak lagi mampu bertahan.

Tetapi, benarkah Allah meninggalkan?

Kebersihan iman
Keimanan adalah keyakinan. Sekiranya iman kita bersih, maka kita akan kekal yakin kepada Allah SWT. Sebab itu kita mampu mengikuti syariatNya, perintahNya, walaupun kadangkala macam sedikit sukar dan membebankan.

Orang Nasrani sekadar ke gereja seminggu sekali, kita perlu solat lima kali sehari. Agama lain kalau puasa sekejap sahaja, kita pula perlu menjalani ibadah puasa 30 hari lamanya. Perempuan lain pakai apa yang mereka suka, Islam ketat mengarahkan wanitanya menutup aurat dan hanya boleh mendedahkan muka dan kedua telapak tangan sahaja.

Keimanan, adalah apa yang memampukan kita melakukan semua itu. Kalau diikutkan kewarasan akal biasa, mungkin kita awal-awal lagi sudah mencerca Allah SWT kerana mengarahkan perkara-perkara yang sedemikian. Tetapi keimanan adalah apa yang meningkatkan kewarasan akal kita dari biasa, kepada luar biasa. Hingga kita faham bahawa, Allah tidak akan memberikan kita perkara yang sia-sia. Semua itu pasti ada hikmahnya. Itulah dia kewarasan kita. Bukan maddi(material) semata-mata.

Jadi, keimanan yang bersih akan membawa kepada kefahaman bahawa segala dugaan dan cabaran, halangan dan kesukaran, semuanya adalah pemberian Allah SWT. Dan msutahil Allah memberikannya sekadar untuk bermain-main dengan kita.

Ada tujuan.

Dan itu adalah bukti, ujian dan halangan, kesukaran dan cabaran, bukanlah petanda Allah meninggalkan kita. Bahkan, sebaliknya. Kita boleh melihat, itulah tanda Allah ‘sedang memandang’ kita.


Tujuan ujian
Kita kembali kepada Allah SWT, dalam tujuanNya menurunkan cabaran dan kesukaran.
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.

Nyata, tujuan ujian hakikatnya adalah ‘tapisan’. Dunia bukan pentas penerimaan hadiah di mana kita mendapat natijah. Tetapi dunia hakikatnya adalah pentas pertandingan, untuk menguji ‘peserta-peserta’ di dalamnya. Pentas penerimaan hadiah adalah di akhirat sana.

Dan ujian bukan semata-mata ‘tapisan’, tetapi ujian juga datang sebagai ‘pembalasan’ ataupun ‘pembersihan’ ataupun ‘peringatan’.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Ar-Ruum ayat 41.

Jadi, ayat di atas jelas menunjukkan betapa kadangkala bala yang menimpa itu, hakikatnya adalah akibat daripada perbuatan kita. Ini termasuklah dosa-dosa yang kita lakukan. Ada sebahagian manusia itu, Allah hapuskan terus bila diturunkan bala ke atas mereka. Sebagai contoh, Kaum Nuh yang majoritinya tenggelam lemas dalam banjir besar. Tetapi wujud sebahagian yang lain, Allah hidupkan selepas menerima ujian, ataupun ujian itu diciptakan memang untuk tidak menghilangkan nyawanya, bertujuan memberikannya ‘tamparan peringatan’ akan keadaan dirinya.

Ujian juga, hakikatnya adalah satu bentuk ‘panggilan’ Allah SWT, agar hamba-hambaNya yang selama ini alpa, merapat kepadaNya. Lihatlah firman Allah SWT:
“Dan apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.” Surah Luqman ayat 32.

Jelas bukan? Ujian daripada Allah itu, nyata bukan kosong. Tetapi ada tujuannya. Mustahil sia-sia.
 
Allah bukan tidak menjawab, tetapi Dia Maha Tahu bila hendak menjawab
Lama bertahan kadangkala membuatkan kita kecewa. Lebih menyakitkan hati, apabila kita cuba meluahkan penderitaan kita, orang lain hanya tahu menyatakan sabar sahaja. Sedangkan yang kita perlu adalah ‘tindakan’, bukan sekadar bicara-perkataan.

Tetapi apabila kita balik kepada hakikat ujian tadi, dan tujuannya, bukankah hati sudah sedikit tenang? Nyata di dalam ujian itu juga yang ada hanyalah kebaikan-kebaikan sahaja.
“Yalah, aku faham semua itu, tetapi aku manusia.”

Ya, saya faham. Saya juga manusia. Sebab itulah saya bermula dengan kebersihan iman, dan mengajak kita memahami hakikat ujian. Sebab saya sendiri pernah gugur dan jatuh. Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali. Tersungkur, saat-saat merasakan diri ini ditinggalkan. Pernah hendak cuba menjerit ke langit dan memarahi Allah, pernah juga terfikir untuk merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Saya pernah bersedih hingga ke tahap itu. Dan saya yakin, esok lusa akan ada lagi ujian-ujian yang lebih hebat dari yang pernah saya lalui, yang akan membuatkan saya terlutut semula.

Tetapi, ada kelainan apabila kita memahami apakah itu ujian? Mengapakah diturunkan ujian? Apakah tujuan ujian? Ada perbezaannya apabila kita memahaminya. Apatah lagi apabila kita punya keyakinan terhadap Tuan Punya Ujian.

Akhirnya, lama-kelamaan, saya melihat bahawa putus asa itu sebenarnya berlawanan dengan kewarasan akal. Akhirnya saya berjaya melihat bahawa, menjerit ke langit itu berlawanan dengan kewarasan akal. Begitu juga merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Sebab sebenarnya, kita ada satu lagi pilihan. Itulah dia terus bertahan.

Allah bukan tidak menjawab segala doa, segala solat hajat, segala aduan, segala permintaan. Dia Maha Mendengar, dan tiada tempat pengaduan yang lebih baik daripada Dia. Tinggal, Dia itu juga bukan sekadar Maha Mendengar, bukan sekadar Maha Pemakbul Doa, tetapi Dia juga adalah Yang Maha Tahu Atas Segala-galanya. Dia Maha Tahu bilakah waktu yang sesuai untuk menjawab doa kita, untuk memakbulkan permintaan kita. Dia Maha Tahu kemampuan kita, sampai bilakah kita mampu bertahan. Dia Maha Tahu, apakah manfaatnya ujian yang Dia turunkan kepada kita.

Sebab itu, lihatlah firman-firmanNya berkenaan dengan ‘kelewatan’ pertolonganNya. Semua punya bonus.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Bagaimana agaknya, orang-orang yang teruji, sampai rasa tidak punya lagi harapan, dan pada saat itu sampailah pertolongan yang selama ini diharapkan? Bukankah kekuatannya akan lebih tertingkat? Bukankah dia akan menjadi yang lebih bersyukur? Bukankah keimanannya akan melonjak?

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.” Surah At-Taubah ayat 25-26.

Saat-saat sebahagian manusia telah berputus asa dan berundur, dan sebahagian lain pula kekal bertahan dalam keadaan kekalahan, bukankah apabila Allah turunkan pertolongan pada saat itu akan berlakunya peningkatan terhadap yang kekal percaya? Bukankah telah tertapis daripada golongan pejuang itu mereka yang benar-benar ikhlas memperjuangkan agama Allah?

Sebab itu, Allah Maha Tahu bilakah hendak menjawab doa-doa hambaNya.

Dia tahu waktu dan ketikanya.

Yang tinggal adalah kita. Apakah mahu kekal bertahan dan percaya? Atau mengalah, menjadi yang rugi selama-lamanya?


Penutup: Dan ada orang itu, kekal teruji hingga ke akhirnya.
Ada di dalam sejarah, manusia-manusia yang mati dalam keadaan tidak mencapai kemenangan perjuangannya. Seperti Nabi Yahya yang dipenggal kepalanya, seperti Nabi Zakaria yang dibelah tubuhnya, seperti tuk guru kepada remaja dalam cerita Ashabul Ukhdud yang di kerat dua dari kepalanya, seperti Khubaib ibn ‘Adi RA yang mati dilapah-lapah Abu Jahal jasadnya, seperti Mus’ab bin Umair RA yang mati kudung kedua belah tangannya, seperti Anas bin Nadhr RA yang mati dengan 80 tusukan pada jasadnya hingga wajahnya tidak dikenali sesiapa kecuali adiknya yang mampu mengenalinya dari cincin di jarinya, seperti Hamzah RA yang mati dimamah jantungnya, dan seperti ramai lagi manusia yang telah berlalu di zaman ini(Asy-Syahid Hassan Al-Banna, Asy-Syahid Syed Qutb) dan juga zaman terdahulu yang mati sebelum menikmati kesenangan hidup.

Apakah Allah tidak menjawab doa mereka?

Tidak. Allah menjawab doa mereka. Dengan syurgaNya.

“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar.” Surah As-Saff ayat 11-12.

Mereka adalah bukti-bukti, buat mereka yang kini teruji dan hampir hilang percaya.

Jadi bagaimanakah kita?

Apakah benar Allah meninggalkan kita?

Hakikatnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya.

Tetapi hamba-hambaNyalah yang sering meninggalkan Dia.

Kita ini ingin tergolong dari kalangan mana?

Yang percaya? Atau yang meninggalkanNya?